Desas-desus akhir Galaxy S8

Malam ini, jam 11 malam waktu Malaysia, akan bermulanya majlis pelancaran telefon pintar terbaru Samsung, iaitu Galaxy S8. Pelancaran ini akan diadakan di bandaraya New York, Amerika Syarikat jam 11 pagi waktu tempatan.

Apa yang mungkin ada pada Galaxy S8 nanti?

Dari khabar angin yang kuat bertiup di laman maya, dapat disimpulkan akan terdapat dua versi Galaxy S8 akan diperkenalkan, iaitu Galaxy S8 dan Galaxy S8 Plus yang lebih besar. Galaxy S8 menerima skrin seluas 5.8-inci dan Galaxy S8 Plus pula 6.2-inci. Nisbah skrin tidak lagi menggunakan 16:9, sebaliknya menjadi 18:9, nisbah yang sama seperti LG G6.

Kedua-duanya akan memiliki lengkung depan dan belakang yang sama seperti Galaxy Note7. Dari luar tiada rekaan berbeza di antara kedua-dua Galaxy S8 ini, hanya saiz sahaja. Port audio 3.5mm juga akan dikekalkan, di samping kekalisan air dan debu IP68.

Rekaan Galaxy S8 menerima perubahan agak ketara dari Galaxy S7, terutama sekali kedudukan pengimbas capjari. Galaxy S8 tidak lagi akan memiliki butang fizikal Home, menjadikan pengimbas capjari diubah ke bahagian belakang, diletakkan di tepi kamera.

Samsung membuang butang fizikal Home untuk menjadikan badan Galaxy S8 lebih kecil, walaupun saiz skrin lebih besar. Ini dapat dilihat ruang bukan skrin di bahagian atas dan bawah, menjadi sangat kecil. Tiga butang utama Home, Back & Recent bertukar menjadi butang atas skrin, bukan lagi butang kapasitif.

Evan Blass yang sering menerima maklumat terbocor, memaklumkan beberapa warna Galaxy S8 yang akan diperkenalkan iaitu Black Sky, Orchid Grey, dan Arctic Silver. Warna Emas dan Biru juga dijangka akan disediakan.

Dari segi teknikal, Galaxy S8 dan S8 Plus akan dikuasakan pemproses baru dan eksklusif dari Qualcomm, Snapdragon 835. Ia juga mungkin akan menggunakan pemproses buatannya sendiri Exynos 8895 terutama sekali untuk pasaran Malaysia. Peranti baru ini akan menggunakan sekurang-kurangnya 4GB RAM bersama 64GB storan.

Memandangkan pengimbas capjari terletak di belakang, Galaxy S8 turut akan dibekalkan pengimbas muka dan iris untuk membuka kunci skrin dari depan. Ia juga menerima pembantu digital baru dari Samsung, dikenali sebagai Bixby.

Dari segi kamera, tiada dwi-lensa digunakan sebaliknya Samsung akan kekal dengan sensor 12MP dwi-piksel di belakang. Yang menarik, ada yang mengatakan Galaxy S8 mampu merakam video gerak perlahan sehebat 1000 bingkai sesaat (fps). Hanya Sony Xperia XZs yang baru diumumkan di Malaysia, mampu berbuat demikian.

Adakah anda teruja dengan ciri-ciri yang disebut di atas? Mungkinkah semua desas-desus ini benar? Mahukah anda bertukar ke Galaxy S8 sebaik ia tiba di Malaysia, terutama sekali jika anda pengguna Galaxy S7?

Sertai kami jam 11 malam ini, untuk melaporkan berita terkini tentang pelancaran Galaxy S8 yang baru ini. Anda juga boleh menontonnya secara langsung menerusi laman web Samsung Galaxy UNPACKED 2017.

[SUMBER: Evan Blass, TechRadar, TheVerge]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: