[MWC2017] LG G6 Telefon Pertama LG Yang Boleh Menyelam

Menjadi buah mulut ramai dan setelah beberapa kali terbocor, hari ini LG secara rasminya melancarkan LG G6 sehari sebelum MWC 2017. Telefon ini unik kerana mempunyai konfigurasi paparan yang luar biasa, ia lebih lebar berbanding paparan widescreen kontemporari kerana nisbah paparannya 18:9 dan ia adalah telefon pertama LG yang kalis air pada tahap IP68.

Menggunakan konfigurasi kamera berkembar, dua sensor 13MP menguasakan kedua-dua kamera belakangnya. Salah satu kamera itu mempunyai jarak fokal pendek, 12mm, untuk memberikan sudut pandang yang luas, sehingga 125 darjah.

Kamera yang satu lagi memiliki jarak fokal yang lebih panjang iaitu 29 mm. Panjang fokal ini amat sesuai untuk kegunaan potrait. Kedua-duanya memiliki apertur f/1.8 bagi memberikan keupayaan low-light yang tinggi.

Kamera selfie juga turut menerima lensa berjarak fokal pendek. Ia melihat seluas 100 darjah dan mampu memuatkan banyak muka ketika anda ber-selfie menggunakan kamera bersensor 8MP ini.

Nisbah paparan luar norma pada LG G6 direalisasikan dengan menggunakan panel paparan sebesar 5.7″ dengan resolusi 1440 x 2880. Fitur ini boleh dimanfaatkan oleh peminat Instagram kerana dua gambar segi empat sama boleh diletakkan sebelah menyebelah tanpa perlu disaizkan semula oleh sistem.

Pada papan utama, anda akan menemui cip Snapdragon 821, cip yang sama digunakan pada Google Pixel dan OnePlus 3T. Sekurang-kurangnya 4GB RAM disediakan untuk membolehkannya mendukung fungsi Google Daydrem.

Kesemua komponen itu digerakkan bateri berkapasiti 3,200 mAh dengan fungsi pengecasan pantas. LG G6 dihasilkan dalam tiga warna iaitu putih, hitam, dan perak. Bila ia mula dijual dan harga tidak pula didedahkan. Sama-sama kita nantikan.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: