Lego Life laman sosial yang mesra dan selamat untuk kanak-kanak

Lego merupakan sejenis permainan batu bata yang digemari bukan sahaja kanak-kanak, malah mempunyai ramai pengikut dii peringkat dewasa. Ini boleh dilihat menerusi penglibatan Lego dalam pelbagai aktiviti seperti rekaan watak filem, komik dan sebagainya.

Berita terbaru yang kami dengar, Lego baru saja melancarkan aplikasi media sosial mereka yang tersendiri, yang diberi nama Lego Life. Apa yang membezakannya dari Facebook adalah, jaminan keselamatan terhadap kanak-kanak yang menjadi sasaran pengguna utamanya.

Secara kasar, pengguna Lego Life boleh memuat naik gambar dan menaip komen pada gambar-gambar di dalam media sosial ini. Tetapi, kesemuanya dipantau. Muat naik gambar dan komen ini perlu mendapat kelulusan moderator terlebih dahulu. Malah komen hanya boleh dibuat menggunakan templat yang disediakan, atau melalui emoji Lego sahaja.

Lego Life - komen dengan emoji

Untuk keselamatan tambahan, tiada maklumat peribadi akan diminta termasuk gambar. Malah, gambar yang mahu dimuat naik tidak boleh menunjukkan manusia di dalamnya. Sebarang pautan ke laman web juga tidak dibenarkan.

Buat masa ini, aplikasi mudahalih Lego Life terdapat di iOS dan Android. Ia menyokong peranti dari serendah iPhone 4S dan iPad 2, yang menjalankan sistem operasi iOS 8.0 dan ke atas. Aplikasi Android pula memerlukan perkakas sekurangnya 1GB ram dan sistem operasi Android 4.1.0 JellyBean ke atas.

Lego Life - antaramuka di pelayar komputerAntaramuka Lego Life di pelayar komputer

Cuma, Malaysia masih tidak ada di dalam senarai negara sokongan peranti lagi, jadi aplikasi ini masih belum boleh dimuat turun. Bagaimanapun, Lego Life masih boleh diakses menerusi pelayar di komputer. Setakat ini, negara yang boleh memuat turun aplikasi Lego Life kebanyakannya di Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand. Tiada negara Asia di dalam senarai lagi.

Pendaftaran Lego Life adalah percuma dan tiada had umur untuk mendaftar. Orang dewasa yang meminati Lego dan mahu berkongsi gambar Lego mereka, juga boleh menyertai Lego Life. untuk mendaftar, layari laman web Lego Life.

[SUMBER: BBC]

%d bloggers like this: