Jam pintar LG dan Android Wear 2.0 dilancar awal sehari

Bulan lepas, ura-ura tentang pelancaran sistem operasi baru Google untuk jam pintar mula tersebar. Pada mulanya, pelancaran Android Wear 2.0 dijadualkan pada 9 Februari. Khabar terbaru menyatakan, ia diawalkan sehari kepada 8 Februari 2017.

Menurut Evan Blass, pelancaran Android Wear 2.0 dijadualkan bersama jam pintar terbaru dari LG. Bukan satu, tetapi dua jam pintar LG akan diperkenalkan kelak. LG Watch Sport dan LG Watch Style.

LG Watch Sport dikatakan adalah versi terhebat. Muka jamnya berukuran 1.38-inci, dengan badan setebal 14.2mm. Ia akan disertakan RAM sebesar 768MB bersama storan dalaman 4GB. Baterinya pula 430mAh.

Manakala LG Watch Style pula dibekalkan muka jam berdiameter 1.2-inci dan ketebalan badan 10.8mm. Ia akan mempunyai 512MB RAM beserta 4GB storan, tetapi bateri lebih kecil, hanya 240mAh.

Perbezaan saiz LG Watch Sport (kiri) dan LG Watch Style (kanan)

LG Watch Sport juga memiliki kelebihan kalis air dan debu lebih tinggi, IP68 berbanding IP67 pada LG Watch Style. Paling utama, LG Watch Sport akan memiliki sensor degupan jantung. Selain itu, hanya LG Watch Sport memiliki sambungan selular (3G & LTE), Bluetooth dan WiFi. Berbanding hanya Bluetooth dan WiFi pada LG Watch Style.

Kedua-dua jam pintar LG ini serasi untuk dipadankan dengan peranti iOS. Malah, ia juga memiliki satu ciri utama Apple Watch, iaitu butang Digital Crown yang digunakan untuk navigasi di jam pintar.

LG Watch Style berwarna Silver

Dijangka lebih banyak model jam pintar Android yang lama, akan diumumkan naik taraf ke Android Wear 2.0 ini. Kita nantikan pengumuman rasmi pada 8 Februari kelak.

[SUMBER: VentureBeat]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: