Huawei P10 akan tiba di Malaysia seawal minggu depan

Ramai yang tertarik dengan Huawei P10, apatah lagi ia tampil dengan warna Pantone yang sangat menawan. Untuk peminat di Malaysia, ada berita baik untuk anda. Khabarnya, Huawei P10 akan membuat kemunculan pertama di Malaysia seawal minggu depan.

Semasa pelancaran Huawei P10 di MWC 2017, Malaysia tersenarai di dalam gelombang pertama jualan yang dikatakan sekitar Mac 2017. Kini tiba pula khabar angin pelancaran Huawei P10 di Malaysia, apabila beberapa pengedar telah menerima jemputan berkaitan Huawei P10, pada 8 Mac 2017. Mungkin pelancarannya akan dibuat tidak lama selepas itu.

Jika perkara ini benar, ia adalah ketibaan paling pantas dari pelancaran antarabangsa tiba ke Malaysia. Mungkin ia adalah langkah lebih baik dengan menjualnya sebelum Samsung Galaxy S8 dilancarkan.

Huawei P10 sememangnya telefon yang menarik, kerana banyak peningkatan berbanding Huawei P9. Huawei P10 memiliki skrin HD Penuh 5.1-inci, manakala P10 Plus pula 5.5-inci dengan QuadHD, pertama di telefon Huawei. Kedua-duanya menggunakan pemproses Kirin 960 yang sama dengan Mate 9, dengan pilihan 4GB RAM bersama storan 64GB, atau 6GB RAM bersama storan 128GB.

Leica meneruskan lagi kerjasama dengan Huawei di dalam P10, dengan menaiktaraf kepada dwi-lensa Leica 2.0 Pro Edition. Ia menggandingkan sensor monokrom 20MP bersama sensor RGB 12MP. Kali ini, ia dibekalkan penstabil imej optikal (OIS). Huawei P10 akan menggunakan lensa Summarit dengan apertur f/2.2 tetapi Huawei P10 Plus menggunakan lensa Summilux dengan apertur f/1.9.

Huawei kali ini bekerjasama dengan Pantone, memberikan warna yang segar, menonjol dan sangat menarik. Warna Pantone yang dihasilkan untuk Huawei P10 adalah Emas Prestij, Hijau, Biru dan Kelabu.

Tentang harga pula, semasa pelancaran diumumkan Huawei P10 berharga EUR649 (~RM3,043) dengan 4GB RAM & 64GB storan. Manakala Huawei P10 Plus mempunyai dua versi, 4GB RAM + 64GB storan berharga EUR699 (~RM3,277) dan 6GB RAM + 128GB storan berharga EUR799 (~RM3,746).

Tidak lama lagi, pasti ada pengumuman rasmi dari Huawei Malaysia. Sama-sama kita nantikan.

[SUMBER: ZingGadget]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: