Apa Yang Boleh Kita Jangka Di MWC 2017?

Kemas kini 23 Februari 2017

Mobile World Congress edisi 2017 (MWC 2017) akan menaikkan tirainya pada 27 Februari ini. Sebagai platform terkemuka untuk pengeluar teknologi komunikasi mempamerkan inovasi masing-masing, sudah pengguna boleh mengharapkan pelbagai produk baru diumumkan di sana, terutamanya produk telefon. Sebelum itu, mari kita lihat apa entiti-entiti besar sedang persiapkan menjelang temasya raya itu.

Team TheSkop akan berkampung di Barcelona sepanjang MWC2017 untuk membawa liputan langsung terus dari sana nanti.


Blackberry – 25 Feb. 2017

Seperti Nokia, Blackberry juga hampir kelemasan dek ditenggelami populariti Android dan iOS. Selepas menamatkan sistem operasi Blackerry OS, mereka memberikan hak pengeluaran telefon berjenama Blackberry kepada pihak ketiga. Kini, Blackberry lebih menumpukan pada sektor keselamatan siber dengan membangunkan lebih banyak teknologi-teknologi berkaitannya.

Pengeluaran telefon pintarnya telah disumberluarkan kepada beberapa pihak seperti TCL, PT BB Merah Putih, dan Optiemus Infracom Ltd untuk menghasilkan telefon untuk pasaran yang khusus. Blackberry Mercury yang telah dipamerkan di CES baru-baru ini akan dilancarkan secara rasmi kepada dunia di MWC ini.

Blackberry akan menyiarkan sidang media mereka di YouTube.


Huawei/honor – 26 Feb. 2017

Huawei ada menghantar jemputan kepada media untuk menghadiri satu pelancaran flagship pada 26 Februari. Walaupun ketandunsan maklumat tentang apa yang akan dilancarkan. Pemerhati meramalkan ia adalah P10, pewaris kepada P9 yang laku keras semasa dilancarkan April tahun lalu.

Dua varian P10 akan dilancarkan iaitu P10 dan P10 Plus. Mereka dikatakan akan menggunakan cip pemproses terbaru daripada HiSilicon iaitu Kirin 960 dan pengimbas cap jari telah dialihkan ke bahagian hadapan serta masih mengekalkan konfigurasi dual kamera. Warna yang ditawarkan agak unik, iaitu hijau emas dan biru manakala warna selamat seperti hitam dan perak tidak pula kedengaran.

Jam tangan juga akan dilancarkan. Huawei Watch 2 menggunakan sistem operasi Android Wear 2.0 dan memiliki fungsi LTE. Honor 8 Lite mungkin akan dilancarkan di MWC 2017 menurut sebuah laman dari Jerman.

Tiada maklumat tentang Livestream setakat ini. Besar kemungkinan ia akan bersiaran di laman rasmi Huawei di YouTube.


LG – 26 Feb. 2017

Ketiadaan Samsung dalam sektor telefon di acara ini membuatkan yang lain cuba berebut perhatian bagi mempamerkan telefon. LG sudahpun mengumumkan mereka akan perkenalkan telefon baru di MWC.

LG G6 memang sudah terlondeh dan semua sudah sedia maklum akan rupa parasnya. Cuma maklumat berkaitan spesifikasi masih belum disahihkan. Antara ciri-ciri yang pasti adalah seperti ketiadaan konsep modular, dwikamera belakang, dan kekalisan air/debu pada tahap IP68.

Kamera pada LG G6 juga dikatan hebat. Menggunakan konfigurasi dualkamera, kedua-dua kamera menggunakan sensor 13MP. Sudut pandang kamera belakang LG G6 adalah seluas 125 darjah berbanding 92 darjah pada Google Pixel, kamera yang menduduki takhta kamera terbaik DxO Mark.

Selain dua kamera belakang, satu lagi pembaharuan yang LG bawakan adalah pada paparannya. Paparan LG G6 mempunyai nisbah tegak dan lintang 1:2 yang bermakna ia lebih lebar daripada paparan widescreen kontemporari. LG juga berbangga dengan antara muka baru yang akan mereka perkenalkan tak lama lagi. Ia memanfaatkan keluasan paparan yang unik itu.

Livestream pelancaran LG G6 akan ditayangkan di laman YouTube mereka.


Motorola – 26 Feb. 2017

Motorola adalah yang pertama mengesahkan kehadiran di MWC 2017 melalui jemputannya kepada pihak media. Ia adalah Moto G generasi kelima mereka iaitu Moto G dan Moto G5 Plus yang dibangunkan untuk mengisi ruang kategori telefon kelas pertengahan. Melalui maklumat spesifikasi yang dibocorkan, kedua-duanya menggunakan cip pemproses Snapdragon dengan varian yang lebih besar memiliki teknologi PDAF yang pastinya melipatgandakan kepantasan membidik fokusnya.

Moto G5 Plus adalah model yang paling berkuasa antara duanya. Telefon berpaparan sebesar 5 inci beresolusi HD penuh ini menggunakan pemproses Snapdragon 625 dengan RAM seluas 2GB. Storannya pula seluas 64GB dan disertakan bersama satu slot mikro-SD untuk meluaskan penyimpanan sehingga 128GB.

NFC juga hadir pada Moto G5 Plus yang boleh digunakan bersama Android Pay kelak.

Moto G5, varian yang lebih kerdil pula menggunakan Snapdragon 430 dengan RAM seluas 2GB. Kamera belakangnya adalah 13MP manakala kamera hadapan 5MP. Panel paparan yang ia gunakan adalah sebesar 5 inci dengan resolusi HD penuh. Fungsi pengecasan pantas turut hadir pada Moto G5 untuk mengisi bateri berkapasiti 2,800 mAhnya.


Nokia

Di China, Nokia 6 dilancarkan dan menerima sambuta yang sangat hebat. Ia membuatkan HMD global ingin mencuba melobi nama Nokia di pentas antarabangsa. Nokia dimaklumkan akan melancarkan Nokia 3, 5, dan 6 di MWC 2017.

Melalui maklumat yang dikongsikan, Nokia 3 dan 5 adalah peranti berspesifikasi rendah, sama seperti Nokia 6. Hal ini kerana ia menggunakan Snapdragon 430 dengan hanya 2GB RAM. Harganya Nokia 3 dan 5 masing-masing dijangkakan pada EUR199 (~RM936) dan EUR149 (~RM701).

Oh, lagi satu, Nokia juga akan membawa kembali legenda Nokia 3310 pada temasya ini. Bagaimana ia akan bersebati dengan telefon-telefon hari ini? Hanya masa akan menetukannya.


Samsung – 26 Feb. 2017

Apalah MWC tanpa Samsung kan?Sejak Galaxy S2, Samsung telah menggunakan paltform MWC mengumumkan peranti Galaxy S terbaru mereka tanpa gagal hinggalah S7 & S7 edge. Walau bagaimanapun, rentetan tragedi Galaxy Note7, kita tidak akan melihat pelancaran telefon baru di MWC kali ini.

Samsung hampir pasti akan melancarkan Samsung Galaxy Tab S2 pada MWC 2017 kerana terdapat kebocoran gambar peranti itu. Merujuk kepada gambar yang dikongsikan, tablet itu seperti menggunakan materi kaca sepenuhnya sebagai badannya. Dimensiya juga bertepatan dengan Galaxy Tab S asal yang bersaiz 9.7″.


Sony


Xperia XZ dilancarkan semasa IFA 2016 bersama-sama Xperia X Compact dalam bulan September 2016. Agak awal jika mereka ingin menunjukkan Xperia XZ2. Flagship Sony pun memang selalu menggunakan platform IFA untuk dilancarkan. Tapi, Sony ada menghantar jemputan untuk menghadiri sidang media pada 27 Februari ini. Besar kemungkinan beberapa buah telefon kelas pertengahan.

Sony dijangkakan mengumumkan sehingga 5 telefon pada MWC 2017. Tetapi angin rumor kencang mengatakan salah satunya adalah Sony Xperia X2 kerana Sony Xperia X hampir menjangkaui umur setahun dan kita sepatutnya boleh menjangkakan kemas kini siri itu dalam masa terdekat. Spekulasi ada menyebut Sony Xperia X2 akan mempunyai ciri-ciri seperti:

  1. Saiz pada 5.2″/5.4″ dengan paparan 2K ataupun 4K.
  2. Pemproses Snapdragon 625/821 dengan luas RAM sekurang-kurangnya 4GB.
  3. Ia menggunakan Android 7.0 Nougat.
  4. Storan sehingga 64GB.
  5. Sensor kamera IMX400 yang baru ataupun sensor 23MP yang masih belum diumumkan.

Ataupun, Sony akan perkenalkan tablet baru Sony Xperia Z6 Tablet kerana mereka pernah melancarkan sebuah tablet semasa MWC 2013.


Xiaomi

Ramai memaklumkan Xiaomi tidak akan menyertai MWC 2017. Tetapi dalam diam-diam mereka ingin melancarkan sesuatu yang lain daripada yang lain.

Hanya sejumlah pengeluar saja yang berani mengambil langkah menghasilkan cip mereka sendiri. Apple ada A, Samsung ada Exynos, Huawei ada Kirin, dan tak lama lagi Xiaomi akan hadir dengan “Pinecone”. Jika benar, Xiaomi boleh mengurangkan kos yag dibelanjakan untuk membeli cip daripada pihak ketiga dan mengalihkannya ke saluran yang lain.


ZTE

ZTE masih tidak menghantar sebarang jemputan untuk menghadiri sidang medianya. Ia tidak bermakna ZTE tidak akan hadir dengan tangan kosong. Pada Januari lalu, satu laman negara China ada mendedahkan sebuah peranti yang baru mendapat kelulusan Teena. Diberi nama kod BA602, peranti ini dikategorikan sebagai kelas pertengahan. Kita mungkin dapat melihat telefon ini di sana nanti.

ZTE BA602 sperti yang muncul di laman Teena

Mereka juga dilaporkan akan melancarkan jam tangan Android Wear pertama mereka yang diberi nama ZTE Quartz, untuk bersaing dengan jam LG Watch Sport dan LG Watch Style.

Selain telefon da jam tangan pintar, ZTE memaklumkan akan melancarkan telefon pintar pertama yang mempunyai modem LTE 1 Gigabit. Kelajuan sebegitu pastinya akan memacu pertumbuhan kandungan 4K, VR dan 360 darjah. Walau bagaimanapun, ZTE masih merahsiakan butiran mengenainya.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: