Maklumat Samsung Galaxy S8 Mula Bocor

Selepas membentangkan permasalahan yang dihadapi Samsung Galaxy Note7 yang gagal, ada pula yang membocorkan berita tentang Samsung Galaxy S8. Menurut pembocor terkenal @Evleaks, Galaxy S8 akan hadir dalam dua perisa seperti sebelumnya. Kali ini, tiada butang fizikal kelihatan pada bahagian hadapan. Ia menjadikan ada versi Galaxy S8 yang lebih besar berbanding Galaxy Note.

Seperti LG G6, Galaxy S8 juga memfokuskan pada penghasilan telefon dengan panel paparan yang luas. Panel Super AMOLED-nya berukuran 5.8 inci dan 6.2 inci, memberikan cakupan hingga 83% bahagian hadapan dengan nisbah paparan 18.5 kepada 9. Kedua-duanya memiliki resolusi QHD dan hadir dalam konfigurasi lengkung untuk memberikan ilusi nirbingkai.

Pada bahagian bateri, ia akan menggunakan bateri berkapasiti 3,000mAh (5.8 inci) dan 3,500mAh (6.2 inci). Tidak banyak perubahan pada kapasiti bateri dilihat. Tetapi pada cip pemproses, ia dijangka amat cekap tenaga kerana menggunakan cip Snapdragon 835 yang dihasilkan daripada pemerosesan 10nm, menjadikan 20% lebih kecekapan penggunaan tenaga dari sebelumnya.

Samsung dikatakan akan mengekalkan penggunaan 4GB RAM, dan memperkenalkan sambungan USB-C pada Galaxsy S8. Satu perkara yang penting, Galaxy S8 juga akan mengekalkan port audio 3.5mm padanya.

Komponen optikalnya menerima sedikit penambahbaikkan. Daripada 5MP kamera swafoto pada Galaxy S7, ia kini menjadi 8MP. Kamera belakang pula masih sama pada 12MP dan memiliki apertur F1.7. Satu lagi perkara baru, tiada lagi butang fizikal Home di depan. Pengimbas capjari pula diletakkan di belakang, di sebelah kamera.

Samsung Galaxy S8 terbocor - kamera belakang dan pegimbas capjari

Samsung juga dilapor akan melancarkan satu aksesori bersama-sama Galaxy S8 kelak. Samsung DeX adalah aksesori seakan Microsoft Continuum, sebuah dok yang menukar telefon menjadi komputer. Bixby juga akan diperkenalkan pada majlis pelancaran itu. Ia adalah pembantu digital seperti Google Assistant dan Apple Siri.

Galaxy S8 tidak akan muncul di MWC 2017 di Barcelona, sebaliknya Samsung dijangka akan mengadakan majlis pelancaran Galaxy S8 pada 29 Mac di Bandaraya New York. Selepas dilancarkan, ia akan mula dijual pada 21 April pada harga sekitar EUR799 (~RM3,776) untuk model 5.8 inci dan EUR899 (~RM4,249) untuk model 6.2 inci.

[Sumber: Venture Beat]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: