Fujifilm Perbaharui Raja Kamera Jalanan Dengan X100F

Siapa tak kenal dengan Fujifilm siri X100? Ia memang tersohor sebagai kamera street photography terbaik dengan rekaan retro, tetapi padat dengan teknologi terkini. Selepas X100S yang dilancarkan 2014, Fujifilm hadir dengan X100F.

170119-fujifilm x100f belakang

Kamera rangefinder ini mengekalkan rekaan yang sama seperti siri-siri terdahulu dengan beberapa perubahan pada kedudukan butang di bahagian belakang. Walau bagaimanapun, disebalik badan aloi magnesium yang dimilikinya, Fujifilm telah memasukkan pelbagai pembaharuan yang akan nyata lebih baik daripada generasi sebelum ini.

Berada dalam kategori kamera kompak dengan sensor imej yang besar, X100F kini menggunakan sensor 24MP berbanding 16MP pada kamera sebelum ini. Titik fokus ditambah enam kali ganda menjadi 325 untuk menjadikan proses membidik fokus jauh lebih baik.

170119-fujifilm x100f atas

Pemproses imej juga telah ditukar kepada X-Processor, pemproses imej yang turut digunakan pada flagship Fujifilm seperti X-Pro2 dan X-T2. Kini, anda boleh menangkap gambar sepantas 8fps.

Pada skrin paparan dan viewfinder, tiada penambahbaikkan dikesan berdasarkan helaian spesifikasi. Ia masih mengekalkan panel paparan 3 inci dengan 1.04 juta bintik serta viewfinder dengan panel LCD 2.36 juta bintik.

Fujifilm X100F dilancarkan pada harga USD 1,300 (RM 5,787).  Layari laman rasmi Fujifilm Global untuk maklumat lanjut.

170119-fujifilm x100f spesifikasi

[Sumber: FUJIFILMFUJILOVE]