Dwi-kamera swafoto vivo V5 Plus sedia ditempah

vivo Malaysia akan melancarkan telefon pintar pakar selfie terbaru mereka, V5 Plus pada Jumaat ini. Ia menampilkan dua kamera hadapan, untuk merakam swafoto ke tahap lebih tinggi.

Belum ada maklumat rasmi dari vivo Malaysia, tetapi info tentang spesifikasi dan harga tentangnya telah terpapar, menerusi laman web DirectD. Ini kerana DirectD telah mula membuka tempahan untuk vivo V5 Plus, dan menyediakan hadiah misteri percuma.

Dari laman web DirectD tersebut, vivo V5 Plus akan dijual di Malaysia pada harga RM1,799. Hanya satu warna ditawarkan, iaitu Emas. Untuk harga ini, sedikit sebanyak ia menjadi pesaing terdekat dengan OPPO R9s dan juga Samsung Galaxy A (2017) yang baru dilancarkan awal tahun ini.

vivo V5 Plus - tempahan dibuka DirectD hadiah misteri percuma

Telefon pintar vivo V5 Plus menggunakan pemproses Snapdragon 625 8-teras, bersama 4GB RAM dan storan seluas 64GB. Slot kad mikroSD terbina di dalam untuk memori tambahan. Ia memiliki skrin 5.5-inci dengan resolusi HD Penuh. Kuasa baterinya sebesar 3,160mAh dan ia menyokong pengecasan pantas.

Kamera belakang vivo menggunakan sensor 16MP. Tetapi kamera hadapannya adalah jauh lebih hebat. Ia menggabungkan dua sensor, 20MP dan 8MP, bagi merakam swafoto yang lebih hebat. Tiada LED Flash di depan, tetapi ia akan menggunakan cahaya skrin bagi mencerahkan lagi swafoto.

Satu perkara yang agak menarik, rekaan badan vivo V5 Plus ini saling tidak tumpah dengan iPhone 7. Lebih-lebih lagi garisan antena di atas kameranya.

vivo V5 Plus - antena macam iphone 7

vivo V5 Plus merupakan naik taraf daripada telefon pintar vivo V5 yang melantik Dato’ Siti Nurhaliza sebagai duta. vivo V5 dikuasakan pemproses Mediatek 6750, 4GB RAM, 32GB storan dalaman dan mempunyai skrin 5.5-inci HD sahaja. Kamera depannya 20MP f/2.0 manakala kamera belakang 13MP. Bateri pula sebesar 3,000mAh.

Nantikan maklumat lanjut berkenaan vivo V5 Plus pada majlis pelancarannya Jumaat ini. Kami akan berada di sana untuk melaporkannya terus kepada anda.

[SUMBER: SoyaCincau, DirectD]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: