[CES2017] Tiga Model Lenovo ThinkPad X1 Ini Dikuasakan Cip Kaby Lake

ThinkPad memang sudah menjadi piawaian pengguna yang selalu bergerak dek kerana kelasakannya yang tinggi. Lenovo hari ini meneruskan legasi IBM itu dengan memperkenalkan beberapa pembaharuan dalam keluarga flagship mereka, ThinkPad X1. Tiga komputer diumumkan iaitu Lenovo ThinkPad X1 Carbon, Lenovo ThinkPad X1 Yoga, Lenovo ThinkPad X1 Tablet.

Produk ThinkPad X1 generasi baru ini menyertakan pelbagai inovasi baru dan dibina untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.


ThinkPad X1 Carbon

ThinkPad X1 Carbon (2017) yang terbaru ini adalah generasi kelima. Ia lebih ringan berbanding versi sebelumnya. Pada badannya, panel paparan HD penuh sebesar 14 inci digunakan. Pad Sesentuhnya kini adalah daripada jenis Precision Trackpad yang dibangunkan Microsoft.

170103-lenovo-x1-carbon-tengah-cas

Daripada segi port penyambungan, pengguna akan menikmati kemudahan seperti dua Thunderbolt 3, USB-A, HDMI, dan USB-C.

Varian yang paling atas dalam ThinkPad X1 Carbon (2017) menggunakan cip Intel Core generasi ke-7, 1TB SSD, dan 16GB DDR3.

ThinkPad X1 Yoga

Lenovo X1 Yoga diperkenalkan tahun lepas, dan pada tahun ini, Lenovo sekali lagi menaikkan standard sebuah komputer versatil. Lenovo X1 Yoga berkongsi ciri-ciri yang hampir sama dengan X1 Carbon, cumanya ia hadir dengan skrin sesentuh.

170104-lenovo-thinkpad-x1-yoga

Panel paparan pada komputer ini boleh dikilas 360 darjah, lantas mengubah laptop ini menjadi sebuah kanvas lukisan segera.

Pada berat 1.49 kg, ThinkPad X1 Yoga sedikit berat berbanding ThinkPad X1 Carbon yang seberat 1.13 kg. Daripada segi port penyambungan, pengguna akan menerima port seperti dua USB-C yang menyokong Intel Thunderbolt 3, tiga USB 3.0, HDMI, mikro-SD dan RJ45.

Satu kelainan yang dibawakan Lenovo pada ThinkPad X1 Yoga ini adalah ia diperkenalkan dalam warna perak.

Varian paling atas ThinkPad X1 Yoga menggunakan paparan 2K 1440p, cip pemproses Intel Core generasi ke-7, 16GB DDR3, dan 1TB SSD.

ThinkPad X1 Tablet

Lenovo ThinkPad X1 Tablet (2017) bukanlah tablet seperti yang disangka. Ia memiliki spesifikasi seakan laptop sebenar, tetapi dalam badan 12 inci. Ia memang betul-betul mencabar kewibawaan Microsoft Surface.

170103-lenovo-x1-tablet

Satu ciri unik yang pastinya menjadi faktor penarik adalah kehadiran slot kad SIM yang menyokong LTE-A. Maka, pengguna tak perlu bergantung kepada sambungan Wi-Fi untuk berhunung dengan internet.

Panel paparan IPS digunakan yang memiliki resolusi 2K HD 1440p. Port yang hadir di sekeliling tablet ini adalah seperti USB-C, mini display port, dan mikro-SD.

Varian paling atas tablet ini menggunakan cip pemproses Intel Core generasi ke-7, 1TB SSD, dan 16GB DDR3. Sebanyak tiga warna boleh dipilih iaitu hitam, perak, dan merah.


ThinkPad X1 Carbon (2017) dijual pada Februari 2017 pada harga bermula USD 1,349 (MYR 6,066).
ThinkPad X1 Yoga (2017) dijual pada Februari 2017 pada harga bermula USD 1,499 (MYR 6,741).
ThinkPad X1 Tablet (2017) dijual pada Mac 2017 pada harga bermula USD 949 (MYR 4,267).

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: