ASUS ZenPad 3S 10 LTE tablet Android premium terbaru di pasaran

Pasaran tablet mungkin agak berkurangan kebelakangan ini, tetapi ia tidak menghalang pengeluar untuk menghasilkan tablet berkualiti tinggi, macam ASUS ZenPad 3S 10 LTE (Z500KL) ini. Ia merupakan tablet premium yang kelihatan elegan, sangat nipis dan ringan tetapi berkuasa tinggi.

Badan ASUS ZenPad 3S 10 LTE ini dihasilkan dari sebongkah aluminium, memberikannya rupa yang sangat menawan. Badan besi dengan sudut bulat menjadikannya peranti yang selesa dipegang, ditambah lagi dengan kemasan matte yang tidak licin. Ketebalan tablet ini hanya 5.8mm, jauh lebih nipis dari kebanyakan telefon pintar masakini.

ASUS Zenpad 3S 10 LTE - belakang tegak depan melintang

Paparan ASUS ZenPad 3S 10 LTE berukuran 9.7-inci, mungkin kelihatan sama seperti tablet lain. Tetapi ia memiliki resolusi tinggi QXGA, berkepadatan 2048×1536 meletakkanya di dalam kategori paparan 2K. Ia juga memiliki bezel yang sangat nipis, hanya 5.32mm tebal. Ini memberikan nisbah skrin-ke-badan setinggi 78%, salah satu tablet yang paling kompak dan nipis.

ASUS menambah fungsi premium tablet ini dengan pembesar suara stereo 5-magnet, diperkasa dengan teknologi pintar NXP Amplifier. Ia juga menyokong sistem DTS Headphone:X, yang mampu menghasilkan bunyi maya sekeliling 7.1 saluran apabila disambung fon kepala.

ASUS Zenpad 3S 10 LTE - speaker 7 saluran

Segala prestasi hebat di ASUS ZenPad 3S 10 LTE dijana menerusi bateri berkapasiti tinggi 7,800mAh dan menyokong pengecasan pantas Quick Charge 3.0. Ia boleh diisi penuh dalam masa 3 jam menerusi sambungan USB-C.

Kehebatan dan fungsi premium tablet ASUS ini dijana oleh pemproses Snapdragon 650 6-teras dengan bantuan 4GB RAM. Ia memiliki storan dalaman 32GB dan boleh diperluas melalui slot kad mikroSD sehingga 128GB.

Jarang tablet memiliki kamera yang hebat seperti di telefon pintar, tetapi ASUS memastikan tablet premium ini memiliki kamera yang perkasa. Ia dilengkapi sensor 8MP autofokus di belakang, dengan teknologi ASUS PixelMaster yang memastikan gambar sentiasa cerah walaupun dalam suasana malap. Tangkapan swafoto pula dikendali oleh kamera hadapan 5MP, berkeluasan 85-darjah dan menyokong fungsi panoramik 140-darjah untuk ruang swafoto lebih luas.

ASUS Zenpad 3S 10 LTE - main game

ASUS ZenPad 3S 10 LTE menjalankan sistem operasi Android Marshmallow 6.0 dan dilapisi antaramuka ZenUI 3.0 yang menarik. Ia memiliki sistem keselamatan biometrik, melalui pengimbas capjari yang terletak pada butang Home di depan.

Tablet premium ASUS ZenPad 3S 10 LTE ini telah mula dijual di Malaysia bulan ini, pada harga RM1,799 termasuk GST dalam warna Slate Grey. Pembelian ini turut diberikan pelindung folio secara percuma. ASUS juga menjual ASUS Z stylus untuk lebih banyak pengalaman penggunaan.

Maklumat lanjut berkenaan tablet ini boleh didapati di laman web ASUS ZenPad 3S 10 LTE.

ASUS Zenpad 3S 10 LTE - folio cover depan

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: