Huawei sah menjual Mate 9 Porsche Design di Malaysia

KEMASKINI 9.00PM 14/12/2016: Vmall.my memaparkan harga Mate 9 Porsche Design dan Mate 9 Pro

Ura-ura tentangnya kini menjadi kenyataan. Huawei Malaysia hari ini mengumumkan akan membuka tempahan telefon pintar eksklusif mereka, Huawei Mate 9 Porsche Design bermula esok. Telefon pintar Huawei paling premium ini akan boleh ditempah di 11street dan Vmall.my, dengan unit sangat terhad.

Telefon pintar yang membawa bersama nama Leica dan Porsche padanya ini, bagaimanapun dijual dengan harga yang sangat premium. RM6,999 termasuk GST, jauh lebih mahal dari iPhone 7 Plus yang paling mahal. Ternyata khabar angin tentang harganya benar, cuma tidak kelihatan pula Huawei Mate 9 Pro yang dijangka akan tiba bersama edisi Porsche ini.

Kemaskini: Vmall.my memaparkan harga Huawei Mate 9 Pro, RM3,399 tetapi tidak memberitahu bila mula dijual

huawei-mate-9-porsche-hitam-dan-mate-9-pro-emas-depan-belakangMate 9 Porsche Design (kiri) dan Mate 9 Pro (kanan)

Walaupun memiliki nama yang sama dengan Mate 9, Huawei Mate 9 Porsche Design banyak berbeza luaran dan dalaman. Rekaan dari bengkel Porsche menjadikan rupa Mate 9 berbeza, paling ketara dengan meletakkan pengimbas capjari di depan. Skrinnya juga sedikit kecil, seluas 5.5-inci tetapi resolusi WQHD (2560×1440) yang lebih tinggi. Ia juga hanya datang dengan warna Hitam Grafit.

Perkara sama yang dikongsi Mate 9 Porsche Design adalah seperti pemproses terbaru Kirin 960, antaramuka EMUI 5.0 berasaskan Android 7.0 Nougat serta pengecas pantas SuperCharge bersama bateri 4,000mAh.

huawei-mate-9-porsche-design-depan-belakang-sisi

Kameranya juga tidak berbeza, dengan dwi-lensa 20MP monokrom + 12MP RGB yang diiktiraf Leica di belakang, serta 8MP F1.9 bersama autofokus di depan. Telefon pintar ini juga menyokong dua slot kad sim 4G. Apa yang berbeza, kuasa dalaman Mate 9 Porsche Design dinaik taraf dengan RAM sebesar 6GB, serta storan dalaman seluas 256GB.

Huawei Malaysia memaklumkan, tempahan Mate 9 Porsche Design akan bermula esok, 15 Disember 2016 sebanyak 5 unit di laman 11street, dan 5 unit lagi di Vmall.my. Beberapa unit terhad lagi akan dijual oleh pengedar sah Huawei, bermula 22 Disember 2016.

Adakah harga RM6,999 berbaloi dengan kelebihan yang ditawarkan Mate 9 Porsche Design, berbanding Mate 9 berharga RM2,699? Jika ya, jangan terlambat untuk membuat tempahan esok. Rujuk laman produk Huawei Mate 9 Porsche Design untuk lebih maklumat.

%d bloggers like this: