Tinggalkan dunia realiti dan hidup di dunia maya dengan MSI VR One

Komputer mudah alih paling praktikal pernah kami lihat, MSI VR One Backpack PC kini telah berada di pasaran. Beg yang sangat canggih ini telah mula dijual di Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, Australia, China dan Taiwan. Bagi Malaysia, MSI menjanjikan ia akan tiba sebelum Hari Krismas bulan depan.

MSI VR One merupakan sistem komputer boleh pakai seperti beg. Dari rupanya, ia boleh dikategorikan sebagai sangat nipis dan ringan, dengan berat kurang 3.6kg serta ketebalan 54mm sahaja.

msi-vr-one-beg-depan-belakang

Walaupun nipis dan ringan, kuasanya tidak dapat dinafikan berprestasi tinggi. Ini kerana ia menggunakan pemproses Intel Core i7 generasi ke-6, yang telah di’overclock’ siap oleh MSI dari kilang lagi.

Grafiknya pula menggunakan kuasa Pascal NVIDIA dari model GeForce siri ke-10. Kuasa hebat ini dipadankan lagi dengan RAM DDR4 sebesar 16GB. Sudah pasti storan SSD yang sangat pantas digunakan oleh MSI VR One.

Rekaan beg MSI VR One memudahkan ia digunakan sewaktu bergerak, terutama sekali ketika menjalankan aplikasi realiti maya (VR). Semua port sambungan terletak di bahagian atas, menjadikan peranti tambahan boleh disambung dengan mudah, seperti HTC Vive.

msi-vr-one-semua-sambugan-di-atas-beg

Dengan sambungan HDMI, DisplayPort, USB-C, Thunderbolt 3 dan USB 3.0 tersedia, ia boleh menjalankan pelbagai bentuk hiburan dan kandungan multimedia mudah alih.

Kuasa sebegini hebat, pasti menelan tenaga yang banyak. Kerana itu MSI mencipta VR One boleh memuatkan dua pek bateri. Dengan ini, salah satu bateri boleh ditukar bila-bila masa tanpa perlu mematikan VR One. Kebebasan penuh menggunakan VR One, tanpa perlu terikat kepada sumber kuasa di dinding.

msi-vr-one-dua-pek-bateri-boleh-cabut

Buat pengguna di Malaysia, MSI akan menjual VR One dalam dua konfigurasi. Model VR One 7RE akan dikuasakan kad grafik GeForce GTX1070 yang memiliki 8GB RAM GDDR5, bersama 512GB storan SSD dijual pada harga RM11,999. Manakala model VR One 7RD dikuasakan GeForce GTX1060 6GB GDDR5 dan 256GB SSD pula, berharga RM9,999 di Malaysia.

Dalam sebulan lagi, komputer MSI VR One yang serba canggih ini akan tiba di Malaysia. Nantikan laporan terkini tentang ketibaannya, menerusi Facebook MSI Malaysia Notebook. Manakala senarai penjual MSI di Malaysia boleh dirujuk di pautan ini.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: