TIME Labur Dalam Kabel Dasar Laut Terpantas Asia

Kepentingan kabel dasar laut tidak boleh disangkal. Walaupun kini pengguna biasa lebih menggemari Wi-Fi dan LTE untuk berhubung dengan Internet, tunjang Internet itu sendiri adalah kabel dasar laut kerana data tidak boleh dipindahkan secara wayarles merentasi lautan dan benua. Semuanya bermula sekitar 1858 apabila kabel dasar laut pertama dihamparkan merentasi lautan Atlantik, dari Ireland hingga ke benua Amerika.

Ia memendekkan masa penghantaran maklumat dengan amat ketara. Misalnya, telegraf yang mengandungi 509 huruf hanya mengambil masa 17 jam 40 minit berbanding dengan menghantar mesej menggunakan kapal yang memakan masa berbulan-bulan.

TIME dotCom adalah salah satu syarikat daripada Malaysia yang mempunyai kepentingan dalam Asia Pasific Gateway (APG). APG adalah kabel dasar laut yang mula beroperasi bulan ini dan merentasi jarak sepanjang 10,400 km. Ia memiliki 11 titik pendaratan yang salah satunya adalah di Kuantan, Pahang.

161107-apg-map

Peta laluan APG sejauh 10,400 km merentasi Laut China Selatan

APG sedikit tersasar daripada jadual asal kerana semasa majlis menandatangani kerjasama dengan 11 lagi rakan kongsi yang lain, ia dijangka mula beroperasi suku ketiga 2014.

Untuk pengetahuan anda, APG adalah kabel rangkaian dasar laut paling pantas di Asia setakat ini kerana boleh memancarkan data selaju 54 Tbps. Tambah mengagumkan, ia direka untuk kalis bencana alam seperti gempa bumi dan ribut taufan.

Selain TIME, Telekom Malaysia turut memiliki bahagian dalam beberapa kabel dasar laut yang menghubungkan negara kita dengan Internet. Misalnya, Asia Submarine-cable Express (ASE. Ia mula beroperasi pada Ogos 2012 dan sepanjang 7,500 km. Kabel ini menghubungkan Malaysia dengan negara sejauh Jepun yang boleh mengangkut data sepantas 15 terabit sesaat.

Satu lagi kabel dasar laut yang akan meningkatkan kualiti jalur lebar negara kita adalah Sistem Kabel Rakyat 1Malaysia (SKR1M). Projek hasil kerjasama TM dan TIME ini dijangka siap pertengahan tahun hadapan ini akan mengukuhkan jaringan antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak yang berkemampuan mengangkut data sehingga 12.8 terabit sesaat.

Selepas ini, kita bolehlah menikmati kandungan digital lebih pantas dan utuh kerana data tidak perlu mengembara jauh untuk sampai ke pengguna di Malaysia dengan adanya kabel dasar laut yang terus menyambungkan negara kita dengan negara luar. Jika anda berminat untuk mengetahui perkara berkaitan kabel dasar laut, anda boleh melayari pautan ini.

[sumber, 2, 3]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia