Merayau Dengan Webe Di Luar Negara

Webe, sebuah telco alaf baru yang dilancarkan tak lama dulu kini meluaskan sayapnya ke luar negara apabila memperkenalkan khidmat perayauan kepada pelanggan mereka. TheSkop menerima pelawaan webe untuk menjadi antara yang terawal mengalaminya iaitu di Singapura.

Istilah perayauan dalam dunia telco memang sangat sensitif dalam kalangan pengguna. Mana taknya, tersalah langkah, bil yang amat tinggi menunggu apabila pulang ke tanah air. Yang peliknya, kadang kala bil tersebut jauh melebihi had kredit yang ditetapkan keatas akaun mereka. Tak hairanlah ramai yang mengamuk di pusat-pusat perkhidmatan telco. Zaman media sosial kini telah mengubah pola keperluan khidmat perayauan, pengguna kini melihat pada jumlah data yang ditawarkan. Tambahan pula, membeli sim kad tempatan tempat dikunjungi sering kali lebih murah berbanding menggunakan perkhidmatan perayauan telco mereka sendiri.

161123-webe-roaming-sms

SMS pengaktifan servis perayauan oleh webe

Semua telco sedaya upaya untuk sediakan pengalaman berkomunikasi yang terbaik buat pelanggan mereka tanpa mengira sempadan. Webe juga tidak terkecuali. Sehari sebelum berangkat ke Singapura, talian webe kami telah diaktifkan fungsi perayauannya. Sejurus melepasi Tuas Checkpoint, telefon mula memburu isyarat telco rakan perayauan webe di Singapura iaitu Starhub. Telefon boleh berhubung sehingga ke rangkaian 4G LTE dan bayaran yang dikenakan adalah cuma RM39, tanpa kuota data.

Sebagai komitmen mereka untuk sediakan perkhidmatan yang licin merentasi sempadan, webe membawa falsafah nirhad mereka ke Singapura. Untuk mengujinya, kami menonton beberapa video YouTube dalam resolusi HD penuh. Selain itu, kami juga mendengar muzik menggunakan saluran Spotify dan radio internet melalui Tunein Radio. Aplikasi navigasi seperti Google Maps dan Waze pula tidak menghadapi masalah untuk digunakan.

161123-webe-roaming-data-usage

Pada akhir ujian, lebih 700MB digunakan dalam masa kurang daripada 30 minit

Kesemua ujian berjalan lancar walaupun semasa menonton video, ada beberapa ketika video terhenti untuk mem-buffer. Pada hemat kami, ia lebih kepada masalah teknokal dipihak Starhub, selaku rakan perayauan webe di Singapura. Di akhir ujian, kami telah menggunakan lebih 700MB data dalam masa kurang daripada 30 minit. Lebih menarik, perayauan memberikan satu kelebihan yang pengguna tidak dapat semasa menggunakan webe di dalam Malaysia, anda boleh menggunakan webe sebagai hotspot secara percuma!

Webe mengkehendakkan RM300 sebagai cagaran oleh pelanggan yang ingin mengaktifkan fungsi perayauan ini. Ia tidak boleh dituntut kecuali pengguna menamatkan langganan mereka. Buat masa ini, syarat deposit RM300 dipakai untuk semua pelanggan. Telco lain ada memungut deposit ini tetapi terdapat beberapa syarat yang mengecualikannya seperti pelanggan itu telah melanggan untuk satu tempoh tertentu.

161123-webe-roaming-speedtest

Beberapa screenshot daripada Speedtest

Kami merasakan polisi tersebut agak menjerat pelanggan kerana RM300 adalah satu amaun yang tinggi untuk sesetengah pengguna. Mungkin Webe boleh melonggarkan polisi tersebut dengan memulangkan semula dalam bentuk rebat pada bil bulanan selepas tempoh langganan tertentu sebagai tanda menghargai kesetiaan mereka.

Begitulah pengalaman kami sepanjang menggunakan perkhidmatan perayauan Webe di Singapura. Jika dibandingkan dengan telco lain, harga khidmat perayauan Webe adalah sekitar penyedia yang lain. Celcom menyediakan data tanpa had pada RM38, sama seperti Digi tapi pada harga yang paling murah iaitu RM36. Maxis, walaupun pada harga RM38 pengguna boleh menggunakan internet tanpa had, hanya 500MB data disediakan pada kelajuan penuh dan selebihinya pada kelajuan perlahan. U Mobile adalah yang paling murah, RM10 dan tanpa had, tetapi hanya 500MB untuk data berkelajuan pantas.

Apakah pandangan anda tentang perkhidmatan perayauan webe? Sila lontarkan sebarang pertanyaan kepada kami untuk terus disalurkan kepada pihak webe. Mereka sangat mengalu-alukan sebarang saranan dan pendapat pengguna demi memperbaik perkhidmatan mereka.

Layari laman rasmi mereka untuk maklumat lanjut.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: