Test Produk – Xiaomi Mi Max, besar tidak semestinya mahal

KELEBIHAN

+ Skrin sangat besar 6.44-inci
+ Bateri besar tahan lama
+ Kamera lebih baik dari Redmi Note 3

KEKURANGAN

– Tiada pengecas pantas
– Pembesar suara kurang lantang
– Perkakas kelas Redmi Note 3

Pengenalan

Meniti populariti skrin besar pada telefon pintar, membuatkan Xiaomi melahirkan Mi Max. Jika jenama lain memperkenalkan skrin 6-inci sebagai definisi baru phablet, Xiaomi melangkah lebih jauh dengan skrin 6.44-inci pada Mi Max. Sedikit kecil dari tergolong dalam tablet, yang menjadikan 7-inci sebagai had minima.

Xiaomi mengasingkan model telefon pintar mereka kepada dua kelas, dengan jenama Mi dan Redmi. Redmi digolongkan dalam kelas telefon pintar bawahan, manakala Mi untuk peringkat lebih tinggi. Pada namanya, Mi Max tergolong dalam kelas atasan, tetapi secara perkakas, ia lebih mirip dalam kelas Redmi.

Benarkah Mi Max yang berharga RM999 tergolong dalam kelas atasan? Kami bongkarkan dengan lebih lanjut di muka seterusnya.

test-produk-mi-max-depan-belakang-batu

 

[MUKA 2: Rekabentuk, Prestasi dan Kamera]

[nextpage title=”Rekabentuk, Prestasi dan Kamera”]

Rekabentuk

Mi Max memiliki badan besi, tidak seperti peranti Mi 5 dan Mi Note, yang menggunakan kaca sebagai kemasan di belakang. Tetapi ia menggunakan rekaan hampir sama dengan Mi Note di belakang, dengan kamera belakang terletak di sudut atas kanan, bersama dwi-tona LED Flash. Ia ditambah dengan pengimbas capjari di bahagian tengah.

test-produk-mi-max-genggam-belakang-kehijauan-01

Pembesar suara diletakkan di bahagian bawah. Kelihatan terdapat dua gril yang mengapit port mikroUSB, tetapi hanya sebelah kanan yang berfungsi sebagai pembesar suara. Di sebelah kiri, adalah lokasi mikrofon.

Usah risau, port audio 3.5mm masih ada di Mi Max. Ia terletak di bahagian atas telefon, bersama pemancar infra merah (IR). Butang kuasa dan kawalan bunyi di sisi kanan, dan slot kad sim serta kad memori mikroSD di sebelah kiri.

Kemasan besi Mi Max tidak mempunyai lengkung di sisi, sebaliknya ia dipotong rata pada beberapa sudut. Ini menjadikannya tidak sesedap memegang Redmi Note 3. Ditambah lagi dengan saiznya yang lebih besar, ia bukan untuk pengguna biasa yang mahu keselesaan menggengam telefon.

 

Kuasa Dalaman

Mi Max merupakan telefon pintar kelas pertengahan. Ini dapat dilihat dari perkakas yang dibina di dalamnya. Pemproses Snapdragon 650 6-teras, 3GB RAM dan 32GB storan dalaman merupakan tulang belakangnya. Tetapi ini adalah perkakas yang sama terdapat di dalam Redmi Note 3.

Mi Max juga menyokong dua slot kad sim 4G LTE, yang berkongsi slot kedua dengan kad memori mikroSD. Satu lagi persamaan dengan Redmi Note 3, tetapi berbeza dari kelas atasan model Mi.

test-produk-mi-max-depan-besi-karat

Hugo Barra, Naib Presiden Xiaomi sebelum ini menyatakan model Mi tidak akan memiliki slot kad memori mikroSD. Ini untuk memastikan prestasinya kekal pantas dengan storan dalaman, dan tidak bergantung harapan kepada kad mikroSD yang lebih perlahan.

Mi Max menafikan kenyataan Hugo dengan kesediaannya menerima kad mikroSD. Melihat kepada perkakas dan mikroSD ini, tidak salah dinyatakan Mi Max sebenarnya adalah Redmi Note 3 dengan skrin dan bateri lebih besar.

Tetapi Mi Max menawarkan lebih dari kuasa pemprosesan sahaja. Ini boleh dilihat dalam prestasi kameranya.

test-produk-mi-max-belakang-kamera-capjari-bunga-01

 

Hayat Bateri & Pengecasan

Satu lagi kekurangan pada Mi Max adalah ketiadaan pengecas pantas. Ia memiliki kapasiti bateri yang besar, memuatkan 4,850mAh di dalamnya. Bateri yang besar perlu lebih masa mengecas, atau pengecas lebih berkuasa. Mi Max memilih yang pertama.

Menggunakan pengecas 5V/2A yang datang bersamanya, Mi Max mengambil masa 75 minit atau 1 jam 15 minit untuk mencapai 50% penuh dan 2 jam 30 minit untuk 100% penuh. 30 minit mengecas hanya memberikan 20% penuh. Jangan lupa, baterinya besar jadi lebih banyak kapasiti dicas walaupun peratusnya kelihatan kecil.

Tetapi Mi Max memberi keputusan berbeza apabila dicas dengan pengecas pantas 9V/2A. 30 minit pengecasan memberi 25% penuh. Manakala 50% penuh dicapai dalam masa 60 minit. Pengecasan penuh pula selesai dalam masa 2 jam 10 minit. Sedikit lebih cepat dari pengecas biasa.

Jangka hayat Mi Max sangat menakjubkan. Ia tidak boleh bertahan sehingga 2 hari, tetapi boleh hidup penuh selama 24 jam, dengan masa hidup skrin selama 8 jam. Ini satu catatan yang jauh melebihi telefon pintar lain. Sifirnya mudah, gunakan bateri berkapasiti besar.

test-produk-mi-max-hayat-bateri-01

 

Prestasi

Sebagai penanda aras, ujian prestasi Mi Max diukur menggunakan dua aplikasi popular, AnTuTu dan Geekbench.

test-produk-mi-max-ujian-prestasi-antutu

test-produk-mi-max-ujian-prestasi-geekbench-4

AnTuTU memberikan 78,163 mata buat Mi max. Manakala di Geekbench, Mi Max memperoleh 1,456 mata bagi teras tunggal dan 2,8623 mata bagi pelbagai teras. Markah ini tidak banyak berbeza dari yang diperoleh oleh Redmi Note 3 pada test produk sebelum ini. Ini mengukuhkan kenyataan awal kami tentang prestai kelas pertengahannya.

 

Pengalaman Penggunaan

Dengan kuasa yang sama seperti Redmi Note 3, Mi Max memberi prestasi yang memuaskan. Penggunaan pelbagai aplikasi adalah lancar, cuma terasa sedikit lengah sewaktu aplikasi dibuka.

Penggunaan aplikasi intensif seperti Waze dan Pokemon Go yang menggunakan GPS sepanjang masa, menjadikan Mi Max sangat panas. Tetapi ia masih dapat terus berfungsi seperti biasa. Tiada fungsi atau aplikasi tersangkut, serta tidak menjadikan telefon terpadam.

test-produk-mi-max-depan-kolam-01

Dengan sistem operasi terbaru Xiaomi iaitu MIUI 8, ia akan mengeluarkan amaran apabila suhu telefon mencecah 45-darjah celcius. Dengan amaran tersebut, ia turut memberi beberapa cadangan untuk menyejukkan semula. Biasanya adalah mematikan aplikasi yang sedang digunakan. Ini adalah satu fungsi yang agak menarik, dan mungkin membantu mengekalkan kelancaran.

Seperkara lagi yang dirasakan kurang, adalah pembesar suaranya. Bunyinya lebih perlahan dari peranti yang pernah diuji sebelum ini. Walaupun ditetapkan kelantangan tertinggi, ia masih tidak cukup kuat. Peranti bersaiz besar sering dikaitkan sebagai pemain multimedia mudahalih, tetapi bukan di Mi Max.

test-produk-mi-max-belakang-kolam-01

 

Kamera

Salah satu kelemahan Redmi Note 3 adalah di bahagian kamera, tetapi ia tidaklah begitu mengecewakan memandangkan harganya yang rendah. Walaupun mempunyai perkakas yang sama, kamera Mi Max adalah berbeza.

Atas kertas, Mi Max dan Redmi Note 3 memiliki kamera yang sama. Sensor 16MP f/2.0, dwi-tona LED Flash dan autofokus pengesanan fasa (PDAF) di bahagian belakang. Di depan pula, 5MP f/2.0 untuk selfie.

test-produk-mi-max-genggam-belakang-kamera-capjari-kehijauan-01

Tetapi terdapat dua perkara yang tiada di Redmi Note 3. Mi Max boleh merakam video sehingga resolusi Ultra HD 4K serta memiliki fungsi HDR automatik. Dua fungsi ini biasanya terdapat pada peranti kelas utama. Maka tidak hairanlah Xiaomi melabelkannya dengan Mi Max, bukan Redmi Max.

Kamera Mi Max juga menghasilkan gambar lebih baik dari Redmi Note 3. Pemprosesan HDR sedikit lebih pantas, tetapi masih perlahan dari Mi 5 dan Mi Note. Tangkapan dalam suasana malap juga lebih bagus. Ia lebih cerah dan kurang bintik hitam berbanding tangkapan Redmi Note 3. Berbaloi juga membayar lebih sedikit dari Redmi Note 3 untuk mendapatkan kamera Mi Max yang lebih baik.

Lihat sampel gambar yang diambil menggunakan kamera Mi Max, di dalam Galeri Gambar di Muka 3.

 

[MUKA 3: Kesimpulan dan Galeri Gambar]

[nextpage title=”Kesimpulan dan Galeri Gambar”]

Kesimpulan

Harga Redmi Note 3 dengan 3GB RAM & 32GB storan adalah RM849. Manakala Mi Max dengan RAM & storan yang sama pula diiklankan dengan harga RM999, RM150 lebih mahal dari Redmi Note 3. Adakah berbaloi membayar lebih untuk perkakas yang sama?

Dari prestasi yang ditunjukkannya, memang berbaloi. Tetapi, ia harus lulus persoalan ini, adakah skrin 6.44-inci sesuai untuk anda? Jika ya, tinggalkan Redmi Note 3 dan dapatkan Mi Max.

Walaupun prestasinya sama, tetapi Mi Max memberikan jangka hayat yang lebih panjang dengan masa pengecasan yang kurang. Malah, ia juga memiliki kamera yang lebih baik dari Redmi Note 3. Satu tanda aras penting buat pengguna telefon pintar masa kini. Ditambah lagi, dengan skrin yang bersaiz lebih besar, itupun jika anda gemarkannya.

test-produk-mi-max-belakang-besi-karat

Di luar keluarga Xiaomi, sukar untuk membandingkan Mi Max. Dari segi saiznya, ia boleh digolongkan bersama Huawei Mate 8 dan Samsung Galaxy A9 Pro. Tetapi harga kedua-dua telefon pintar ini adalah sekali ganda lebih mahal dari Mi Max. Cuma, prestasinya juga jauh lebih baik dari Mi Max.

Mi Max boleh digelar raja bajet phablet 6.0-inci. Jika anda mencari peranti berskrin besar dengan bajet rendah, Mi Max harus berada di senarai teratas. Jangka hayat yang panjang juga merupakan satu bonus buat pengguna.

Jika berminat untuk mendapatkan Mi Max, unit rasmi Malaysia diedarkan oleh Thorus dan boleh dibeli dari wakil penjual di seluruh Malaysia. Ia juga dijual dalam talian di Lazada Malaysia, serta syarikat telekomunikasi seperti Celcom, Maxis, Digi dan Yes.


Galeri Gambar Kamera

klik untuk gambar bersaiz asal

test-produk-mi-max-kamera-001-redbull

test-produk-mi-max-kamera-002-air-pancut

test-produk-mi-max-kamera-003-nasi-goreng

test-produk-mi-max-kamera-004-dataran-merdeka

test-produk-mi-max-kamera-005-publika

test-produk-mi-max-kamera-006-pepper

test-produk-mi-max-kamera-007-bose

test-produk-mi-max-kamera-008-plan-b

test-produk-mi-max-kamera-009-dataran-malam

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: