Test Produk – Apple iPhone 7, nampak sama tapi tak serupa

KELEBIHAN

+ kalis air dan debu IP67
+ kamera lebih berkuasa
+ sistem bunyi stereo

KEKURANGAN

– tiada port audio 3.5mm
– tiada dwi-sim
– rekabentuk lama iPhone 6

Pengenalan

iPhone 7 merupakan telefon pintar ke-10 keluaran Apple. Ia menandakan tahun ke-10 selepas Apple memperkenalkan iPhone buat pertama kalinya pada tahun 2007. Sejak itu, ia telah menjadi kayu ukur kepada industri telefon pintar.

Jika disebut tentang penjualan, Malaysia sering ketinggalan dalam gelombang awal penjualan rasmi iPhone. Tetapi masa demi masa, dan kini dengan iPhone 7, ia mengambil masa paling pantas tiba di Malaysia berbanding iPhone sebelum ini. Dilancarkan di Amerika pada 8 September, ia telah tiba di Malaysia pada 14 Oktober, hanya sebulan perbezaan.

Adakah iPhone 7 ini benar-benar hebat dan sangat mengagumkan? Ikuti kisah dan pengalaman kami ini, dalam menggunakan iPhone 7.

test-produk-apple-iphone-7-depan-atas-besi-hitam

test-produk-apple-iphone-7-pegang-iphone-7-emas-ros-belakang

 

[MUKA 2: Rekabentuk, Prestasi dan Kamera]

[nextpage title=”Rekabentuk, Prestasi dan Kamera”]

Rekabentuk

Dengan nombor yang baru, iPhone 7 seharusnya menampilkan rekabentuk serba baru berbanding iPhone 6s. Tetapi hakikatnya, ia tidak banyak berbeza dengan iPhone 6s, dari segi luaran sekurangnya. Ia lebih kelihatan seperti generasi ketiga iPhone 6.

test-produk-apple-iphone-7-banding-iphone-6s-kamera-belakang-antena

Dimensi dan ukuran luar iPhone 7 adalah sama seperti iPhone 6s dan iPhone 6. Perbezaan yang dapat dilihat di luar adalah garisan antena serta kamera belakang yang lebih tebal dan menonjol. Susah juga nak bezakan jika iPhone 6 dan iPhone 7 diletak bersebelahan.

Seperkara lagi adalah warna baru yang diperkenalkan untuk iPhone 7. Pelancaran iPhone 6s memperkenalkan warna baru Emas Ros. Tetapi iPhone 7 kembali kepada warna asal telefon pintar, iaitu Hitam. Bagaimanapun, Apple memperkenalkan dua warna Hitam untuk iPhone 7, yang digelar Hitam & Hitam Jet (Black & Jet Black).

Jika mengikut langkah sebelumnya, iPhone 7s akan datang pasti kekal dengan rekabentuk yang sama, menjadikan rekaan iPhone 6 akan digunakan berterusan selama 4 tahun.

 

Kuasa Dalaman & Prestasi

Telefon baru pastinya dipasang perkakas baru. Di iPhone 7, ia menerima kuasa pemproses cip A10 Fusion 4-teras, bersama 2GB RAM. Tetapi kuasa ini mencukupi untuk menewaskan semua peranti lain terutama Android, yang memiliki perkakas jauh lebih berkuasa.

test-produk-apple-iphone-7-ujian-geekbench

test-produk-apple-iphone-7-ujian-antutu

Seperti yang dicatatkan pada ujian prestasi di atas, di ujian Geekbench iPhone 7 mencatat 3,385 markah untuk teras tunggal, dan 5,523 untuk teras pelbagai. Manakala ujian AnTuTu memberikan 173,542 mata buat iPhone 7.

Jika anda pengguna iPhone 6s, tidak terasa perbezaan penggunaan harian dengan iPhone 7 ini. Cip pemproses A9 masih mampu memberikan prestasi terbaik untuk penggunaan masakini. Penggunaan iPhone 7 tidak terasa terbeban dan tersangkut, serta tiada bunyi desiran seperti yang dilaporkan beberapa pengguna.

 

Hayat Bateri & Pengecasan

Bateri iPhone 7 masih agak kecil, iaitu 1,960mAh. Tetapi ia memberikan masa penggunaan yang lebih baik dari dulu. Pada hari yang agak sibuk bersama penggunaan Waze, ia boleh bertahan selama 12 jam dengan masa skrin terpasang selama 5 jam. Bagi penggunaan biasa bersama Youtube dan media sosial, ia boleh bertahan selama 18 jam dengan masa skrin hidup selama 7 jam.

Masalah utama pada iPhone 7 adalah pengecasnya. Pengecasan dari 0% sehingga penuh 100% mengambil masa kira-kira 2 jam. Ini kerana Apple masih memberikan pengecas berkuasa 1Amp. Jika anda memiliki pengecas 2Amp, ia boleh mengecas iPhone 7 dengan lebih pantas.

test-produk-apple-iphone-7-pengecas-1amp

 

Pengalaman Penggunaan

Satu perkara serba baru pada iPhone 7 adalah butang Home. Ia tidak lagi menggunakan butang tekan mekanikal, sebaliknya diubah kepada butang sentuh kapasitif. Tetapi Apple menambah rasa penggunaan butang mekanikal pada butang kapasitif ini, melalui enjin getaran taptik.

test-produk-apple-iphone-7-butang-home-atas-besi-hitam

Penggunaan pertama kali butang Home dengan enjin taptik ini, terasa sedikit pelik. Getaran ini juga kurang terasa apabila telefon diletakkan di atas meja. Tetapi selepas menggunakannya beberapa hari, ia sudah menjadi biasa.

Disebabkan tiada lagi butang Home mekanikal, cara untuk ‘restart’ iPhone 7 berbeza dari sebelum ini. Butang kuasa dan butang Volume Down perlu ditekan serentak untuk memaksa ‘restart’.

Pengimbas capjari TouchID masih sangat pantas, seperti tiada imbasan dibuat apabila jari diletakkan pada butang Home. Jauh lebih baik dari pengimbas capjari di peranti utama Samsung.

test-produk-apple-iphone-7-port-lightning-tiada-port-audio-atas-besi-hitam

Ruang bunyi merupakan satu lagi peningkatan di iPhone 7. Ia kini dilengkapi sistem suara stereo, yang menggunakan pembesar suara di bawah dan pembesar suara panggilan di atas. Tetapi sistem bunyi ini masih jauh ketinggalan berbanding pembesar suara stereo yang diletakkan di depan, kerana bunyi kiri dan kanan terasa tidak seimbang. Bagaimanapun, ia masih memberikan bunyi lebih baik dari pembesar suara mono, terutama ketika menonton video.

Tambahan terbaru yang sangat menarik pada iPhone 7 adalah kemampuan kalis air dan debu, yang diiktiraf IP67. Ia bermakna, iPhone 7 boleh ditenggelamkan sedalam 1 meter sehingga 30 minit. Bagaimanapun, Apple tidak mengiklankan tentang kalis air, dan menyatakan dengan jelas jaminan tidak meliputi kerosakan disebabkan air.

test-produk-apple-iphone-7-belakang-atas-air-02

Dari segi paparan, ia tidak berbeza dengan model sebelum ini. Tetapi paparan iPhone 7 memiliki gamut warna dan kecerahan yang lebih baik. Resolusi 1334×750 masih kelihatan tajam pada skrin 4.7-inci. Fungsi 3D Touch pada paparan masih ada di iPhone 7, dengan fungsi trackpad di atas papan kekunci maya adalah penggunaan 3D Touch terbaik.

Perkara paling kontroversi pada pelancaran iPhone 7 adalah ketiadaan port audio 3.5mm. Apple dikatakan sangat berani mengambil langkah ini, tetapi Apple bukanlah yang pertama.

test-produk-apple-iphone-7-port-lightning-tiada-audio-atas-karpet

OPPO sebelum ini telah menghasilkan OPPO R5, manakala Motorola memperkenalkan Moto Z, kedua-dua telefon ini tidak memiliki port audio. Pembuangan port audio ini dilakukan untuk menjadikan telefon lebih nipis. Tetapi tidak pada iPhone 7, kerana ia masih sama tebal dengan iPhone 6s.

Mungkin langkah ini lebih menyusahkan pengguna, terutama yang telah berbelanja besar untuk produk audio yang menggunakan port 3.5mm ini. Bagaimanapun, Apple menyediakan adaptor Lightning ke audio 3.5mm, serta earpod yang dicucuk terus ke port lightning. Masalahnya, adaptor ini perlu sering dibawa, dan tidak boleh digunakan semasa mengecas telefon.

 

Kamera

Ramai yang menggemari hasil kamera iPhone. Dengan perkakas lebih baik di iPhone 7, pasti ia memberi lebih kepuasan kepada peminat iPhone. Kamera belakang iPhone 7 kini menggunakan sensor 12MP dengan apertur f/1.8 yang pantas, menjadikan gambar lebih terang. Ia juga dilengkapi penstabil imej optikal (OIS), yang sebelum ini hanya ada versi Plus.

test-produk-apple-iphone-7-kamera-belakang-terbonjol-atas-karpet

Melancarkan kamera juga lebih pantas, dengan kemaskini terbaru iOS 10. Hanya angkat telefon, dan sapu dari kanan ke kiri dan terus mengambil gambar.

Dalam persekitaran pencahayaan yang bagus, hasil gambar iPhone 7 tidak banyak berbeza dengan iPhone 6s. Tetapi iPhone 7 menghasilkan gambar yang jauh lebih baik dalam persekitaran malap dan kurang cahaya. Tangkapan selfie juga lebih baik dengan sensor baru 7MP di depan.

Bagaimanapun, aplikasi kamera iPhone 7 masih kurang kawalan manual. Tetapan kamera diletakkan terlalu jauh ke dalam ruang tetapan. Malah resolusi gambar dan video tidak boleh diubah, melainkan keluar dari aplikasi kamera.

test-produk-apple-iphone-7-belakang-atas-kayu

Kamera iPhone 7 dilihat berjaya menghampiri kehebatan kamera Galaxy S7 edge/Note7, tetapi ia masih ketinggalan pada bahagian fokus. Kamera iPhone 7 juga berbeza dengan iPhone 7 Plus, yang memiliki dua lensa untuk kegunaan telefoto ala 2x zum optikal.

Lihat contoh gambar yang diambil menggunakan kamera iPhone 7, di Muka 3 Galeri Gambar.

 

[MUKA 3: Kesimpulan dan Galeri Gambar]

[nextpage title=”Kesimpulan dan Galeri Gambar”]

Kesimpulan

Telefon pintar iPhone 7 adalah telefon Apple yang terbaik boleh dimiliki sekarang. Dengan fungsi baru seperti kalis air dan debu, pembesar suara stereo dan kamera lebih berkuasa, sukar untuk menafikan kehebatannya. Tetapi ia tidak terhad di sini sahaja.

Ketiadaan port audio 3.5mm merupakan satu kehilangan yang besar. Ini kerana fon kepala wayarles masih tidak meluas, malah kualiti dan harganya agak kurang berbaloi untuk dimiliki.

test-produk-apple-iphone-7-cucuk-earpod-lightning

Apple juga nampaknya masih tidak berani menambah pengecas pantas, apatah lagi perkara kecil seperti pengecas 2Amp kepada pengguna, berbanding keberaniannya membuang port audio 3.5mm. Pembeli iPhone 7 dan 7 Plus masih menerima pengecas 1Amp sahaja. Satu standard yang sangat ketinggalan zaman.

Jika anda mahu menaik taraf dari iPhone 6 atau model sebelumnya, iPhone 7 adalah peningkatan yang berbaloi. Terutama di bahagian prestasi dan kamera. Apatah lagi, Apple kini meletakkan storan minima 32GB untuk iPhone 7.

Kalau ada yang berminat mencuba iPhone, atau menaik taraf dari iPhone yang lebih lama, masih terdapat pilihan iPhone 6s dan 6s Plus untuk dibeli. Ia kini diberikan storan asas 32GB juga, dari serendah RM2,699.

Jika ada bajet sebanyak RM3,199, anda boleh memilih antara iPhone 6s 128GB atau iPhone 6s Plus 32GB. Prestasi dan kameranya masih agak baik dan paling penting, ia masih memiliki port audio 3.5mm.

test-produk-apple-iphone-7-banding-iphone-6s-port-lightning-tiada-audio-atas-karpet

Untuk yang mahukan prestasi kamera mudahalih terbaik di telefon pintar, kami sarankan untuk membeli Galaxy S7 edge berbanding iPhone 7 ini. Prestasi keseluruhan Galaxy S7 edge masih lebih baik dari iPhone 7. Tetapi untuk peminat peranti iOS, tidak dinafikan iPhone 7 adalah pilihan terbaik.

Di Malaysia, iPhone 7 dijual pada harga RM3,199 untuk storan 32GB, RM3,699 bagi 128GB dan RM4,199 bagi 256GB. Terdapat lima pilihan warna untuk iPhone 7 disediakan: Perak, Emas, Emas Ros dan Hitam. Manakala warna Hitam Jet eksklusif untuk storan 128GB& 256GBsahaja. Rujuk juga tawaran syarikat telekomunikasi untuk iPhone 7 di sini.

test-produk-apple-iphone-7-depanatas-besi-hitam


Galeri Gambar Kamera

klik untuk gambar bersaiz asal

test-produk-apple-iphone-7-kamera-01

test-produk-apple-iphone-7-kamera-02

test-produk-apple-iphone-7-kamera-03

test-produk-apple-iphone-7-kamera-04

test-produk-apple-iphone-7-kamera-05

test-produk-apple-iphone-7-kamera-06

test-produk-apple-iphone-7-kamera-07

test-produk-apple-iphone-7-kamera-08

test-produk-apple-iphone-7-kamera-09

test-produk-apple-iphone-7-kamera-selfie-01

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: