Pameran Kerjaya Google Ignite dibuka khas buat graduan AdWords

Google Ignite merupakan satu inisiatif oleh Google Malaysia, memberikan ruang kepada pelajar universiti tempatan memasuki alam pekerjaan. Ia merupakan program latihan ke industri, yang menumpukan kepada aspek kemahiran pemasaran digital di kalangan pelajar universiti di Malaysia.

Tahun ini, Google Ignite telah berjaya menganugerahkan pensijilan Google AdWords kepada lebih 1,200 pelajar di Malaysia, dari April sehingga awal bulan ini. Ia merupakan sebahagian dari 5,200 pelajar dari 20 universiti tempatan, yang turut serta dalam kursus ini.

Dengan kerjasama Malaysian Advertising Association (MAA) dan JobStreet.com, pelajar diberi peluang untuk bersaing meraih tempat menjalani latihan industri, bersama pelbagai rakan Google, syarikat digital dan jenama terkemuka Malaysia. Ia dilakukan menerusi Pameran Kerjaya Google Ignite, di mana 225 tempat latihan industri ditawarkan oleh 67 buah syarikat.

Pameran Kerjaya Google Ignite 001

Pelatih yang berjaya mendapat tempat latihan, akan memperoleh pengalaman kerja dan kemahiran profesional di lapangan yang sangat bernilai. Latihan industri ini akan berjalan selama tiga bulan, dengan pelajar berpeluang untuk diambil kerja sepenuh masa di syarikat tempat latihan.

Untuk pelajar yang tidak berjaya mendapat tempat menerusi pameran kerjaya ini, mereka tidak perlu risau kerana pensijilan Google AdWords sangat bernilai dan akan menarik perhatian agensi-agensi dan jenama-jenama digital untuk diambil sebagai pekerja, kata Denise Gamo, Ketua Pemasaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Google Malaysia.

Pameran Kerjaya Google Ignite 2016Denise (tengah) bersama Chook Yuh Yng, dari JobStreet.com (kiri) dan Connie Ng, dari MAA (kanan)

Google Ignite bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar, malah memberi tenaga kerja kepada majikan dengan bakat yang berkualiti serta kepakaran khusus dalam pemasaran digital. Ini dapat membantu syarikat untuk mengembangkan perniagaan mereka, tambah Denise.

Sepanjang tempoh inisiatif ini, Google telah menyediakan sumber pembelajaran atas talian berkaitan Google AdWords, kepada universiti yang terlibat bagi pembelajaran sendiri dan latihan dalam universiti. Modul Ignite meliputi Asas-asas Carian, Carian Terperinci dan Paparan Terperinci, di mana mereka yang lulus peperiksaan Asas-asas Carian dan salah satu dari modul lain akan dianugerahkan pensijilan AdWords. Kesemua latihan dan peperiksaan adalah percuma.

Untuk maklumat lanjut mengenai Google Ignite, layari lamanweb Google Ignite.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: