Intel Core m Kini Berselindung Disebalik Kemegahan Core i?

Beberapa hari yang lalu, Intel telah mengumumkan cip pemproses mudah alih generasi ketujuh mereka dengan nama kod “Kaby Lake”. Tetapi ada satu lagi perkara, Intel juga telah menjenamakan semula cip Core m mereka, m5 dan m7, kepada Core i. Apakah implikasinya?

160908-intel-kaby-lake-siries

Sebelum generasi ke-7, siri Core m dan Core i berada dalam kelas yang tersendiri. Core m ditujukan pada komputer ultranipis, 2-dalam-1 dan seangkatan dengannya. Memiliki tahap thermal design power (TDP) yang sangat rendah. 4.5 watt, bermakna cip ini sangat rendah penggunaan tenaganya. Maka, pengguna boleh menjangkakan prestasi pengkomputeran yang agak lemah berbanding siri Core i yang memiliki TDP yang berlipat kali ganda lebih tinggi. Rumusannya, Core m dibangunkan untuk tujuan pengkomputeran tahap rendah.

Core i pula adalah cip yang berada dalam kelas pertengahan dan atasan dalan kasta cip pemproses Intel. Walaupun siri Core i turut memiliki cip yang cekap tenaga seperti Core i3-6100U, tahap TDP -nya masih tinggi iaitu 15 watt. Cip kelas atasan seperti Core i7-6700K pula menggunakan tenaga setinggi 91W.

160908-intel-kaby-lake-tdp

Adakah pengguna akan keliru dengan langkah penjenamaan ini? Walau apapun, mari kita lihat hasil penjenamaan semula Intel ini supaya kita lebih peka semasa membeli kelak.

Apa yang anda perlu lakukan adalahh memberi lebih perhatian pada nombor model pemproses pada setiap cip yang anda periksa. Nombor model akan kelihatan seperti ini: Core i3-(X1)(X2)(X3)(X4)(X5), Core i5-(X1)(X2)(X3)(X4)(X5), atau Core i5-(X1)(X2)(X3)(X4)(X5).

  • X1 merujuk pada generasi cip tersebut. Dalam kes Kaby Lake, anda seharusnya melihat nombor 7 pada X yang pertama.
  • X2 dan X5 pula secara dasarnya menunjukkan penggunaan tenaga cip tersebut. Jika anda melihat abjad Y pada X2 seperti Core i7-7Y75, ia adalah cip extremely low power. Jika ada abjad U pada X5 seperti core i7-7500U, ia adalah cip ultrarendah tenaga. Antara Y dan U, Y lebih rendah penggunaan tenaganya.
  • Pada X5, anda mungkin bertembung dengan abjad seperti H, HK, HQ. Ia merujuk pada cip pemproses kelas atasan. H untuk high performance graphics, HK untuk high performance graphics dan unlocked, manakala HQ untuk high performance graphics dan kuadteras.
  • Maka, untuk mengenal pasti cip m5 dan m7 yang menjadi mangsa penjenamaan semula, anda cuma perlu mencari abjad Y pada X2

160908-intel-kaby-lake-sku

Diharapkan penjelasan ini sedikit sebanyak memberi cahaya kepada pengguna yang kurang peka tentang cip pemproses yang ada dalam komputer mereka. Isu ini seringkali diambil kesempatan oleh pihak yang tak bertanggungjawab untuk menjual laptop dengan cip generasi lama pada harga yang tinggi walhal pengguna boleh membeli laptop dengan cip paling baru pada harga yang sama.

Selepas ini, pastikan anda membeli Core i7 yang memang berprestasi tinggi atau i5 yang memang jimat tenaga ya!

[sumber]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: