[IFA2016] Cabut sahaja papankekunci Miix 510 jika tidak diperlukan

Rekaan hibrid tablet dan laptop yang ditampilkan Microsoft Surface, sememangnya satu kejayaan besar. Ini kerana ia mula diikuti ramai pengeluar lain, dan salah satu darinya adalah Lenovo.

Lenovo mempamerkan Miix 510 di pameran IFA 2016, dengan rekaan hampir serupa seperti tablet Microsoft Surface. Miix 510 merupakan sebuah tablet dengan ‘kick-stand’ di belakang, dan boleh berfungsi seperti laptop sepenuhnya apabila dipasang papankekunci boleh cabut.

Lenovo IFA2016 - Miix 510 buka atas meja

Apa yang membuatkan Miix 510 berbeza dari yang lain? Pastinya pada engsel yang menjadi tunjang ‘kick-stand’, menggunakan engsel Yoga yang diinspirasikan dari tali jam tangan. Skrin sentuhnya yang berukuran 12.2-inci, menghasilkan paparan HD Penuh.

Prestasi Miix 510 sangat tidak menghampakan kerana ia dikuasakan CPU Intel Core i7 generasi ke-6, sehingga 8GB RAM LPDDR4 serta pilihan storan mencecah 1TB. Benar-benar ibarat laptop sebenar. Apatah lagi, baterinya boleh memberi kuasa sehingga 7.5 jam penggunaan berterusan.

Lenovo IFA2016 - Miix 510 atas riba

Apabila dipasang papankekunci, Miix 510 bukanlah laptop ternipis. Tetapi dengan berat 1.25kg dan ketebalan 15.9mm, ia memang layak diberi gelaran laptop yang nipis dan sangat ringan.

Selain papankekunci berlampu dan touchpad, Lenovo turut menyediakan pen stylus yang serasi digunakan bersama skrin sentuh di Miix 510. Tablet ini turut dilengkapi sambungan tanpa wayar WiFi 802.11ac, Bluetooth 4.0 dan pilihan tambahan 4G LTE. Sambungan wayar pula terhad kepada satu USB-C, satu USB 3.0 bersaiz penuh dan juga port audio 3.5mm.

Lenovo IFA2016 - Miix 510 evolusi tablet laptop

Jika anda seseorang yang kadang-kadang tidak memerlukan papankekunci ketika menggunakan laptop, Miix 510 ini boleh menjadi milik anda bermula Oktober 2016. Ia akan dijual bermula dari harga EUR699 (~RM3,204) termasuk papankekunci dan pen stylus.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: