[IFA2016] Anggun menawan paling layak buat Lenovo Yoga Book

Jenama Yoga oleh Lenovo merupakan salah satu siri laptop yang digemari ramai. Di Pameran IFA 2016 yang berlangsung di Berlin, Jerman menyaksikan kelahiran satu lagi keluarga Yoga yang sangat menarik, yang diberi nama Yoga Book.

Yoga Book bukanlah sebuah laptop biasa, malah ia adalah tablet yang sangat unik. Rekaan 2-dalam-1 yang kelihatan luarbiasa ini tidak memiliki kekunci fizikal, sebaliknya menampilkan kekunci Halo secara digital di atas skrin. Malah, pen stylusnya boleh menulis di atas skrin dan kertas.

Lenovo IFA2016 - Yoga Book menaip kekunci halo

Yoga Book memiliki badan aloi Magnesium Aluminium yang sangat nipis dan ringan. Beratnya hanyalah 690 gram, dengan ketebalan 9.6mm atau 4.05mm di bahagian paling nipis. Ditambah bateri yang boleh hidup sehingga 15 jam, ia merupakan perkakas produktiviti paling mudah dibawa bersama.

Skrin utama Yoga Book berukuran 10.1-inci, menggunakan paparan IPS dengan resolusi HD Penuh. Skrin kedua juga berukuran 10.1-inci, boleh berubah menjadi papankekunci bersama touchpad, atau digunakan sebagai alas lakaran ke skrin utama. Skrin kedua ini mempunyai lapisan kasar dengan kemasan matte, serta teknologi haptik terbina.

Lenovo IFA2016 - Yoga Book stylus menulis dwi skrin

Yoga Book boleh berubah dari posisi laptop ke tablet, terima kasih kepada engsel unik Yoga seperti tali jam besi. Engsel ini boleh diputar 360-darjah, dan ia sangat teguh serta fleksibel.

Prestasi hebat Yoga Book dijana menerusi CPU Intel Atom Atom x5-Z855 4-teras, dan digandingkan dengan 4GB RAM LPDDR3 serta 64GB storan. Slot mikroSD padanya menyokong sehingga 128GB memori tambahan. Sistem bunyi padanya diperkasa oleh Dolby Audio Premium serta Dolby ATMOS.

Lenovo IFA2016 - Yoga Book laptop atas meja

Sistem operasi Yoga Book boleh dipilih antara Android 6.0 Marshmallow, ataupun Windows 10. Ia dilapisi antaramuka Book UI yang direka khas untuk memudahkan penggunaan bersama Yoga Book.

Laptop 2-dalam-1 Yoga Book akan mula dijual di peringkat global bermula September ini. Versi Android akan datang dengan pilihan warna Emas atau Kelabu besi, dijual pada harga bermula dari EUR499 (~RM2,287). Manakala versi Windows 10 datang dalam warna Hitam sahaja, dengan harga bermula dari EUR599 (~RM2,746).

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: