Yang Ditunggu Tiba, Note7 Kini Rasmi

Setelah pelbagai cabaran yang ditempuhi Galaxy Note, kini ia sudahpun sampai ke generasi ketujuhnya. Samsung hari ini secara rasmi memperkenalkan Galaxy Note7, phablet terhebat masa ini.

Seperti yang dijangka, paparannya memang akan memuaskan penagih kandungan multimedia. Paparan QHD Super AMOLED sebesar 5.7 inci akan memberikan citra yang menakjubkan untuk penggunanya. Jika Galaxy Note Edge memiliki paparan lengkung pada satu bahagiannya sahaja, Note7 memilki pada kedua-dua bahagiannya seperti Galaxy S7 edge.

Seperti yang dikhabarkan, Galaxy Note7 mempunyai sensor Iris dalam kalangan 11 sensor yang dimasukkan Samsung pada papan induknya. Pengimbas Iris yang didatangkan bersama peranti ini tidak mengecewakan. Ia mampu mengimbas mata anda walaupun berada dalam keadaan gelap dengan bantuan cahaya inframerah yang dipancarkan terus ke mata anda.

Galaxy Note7 dilancar di New York - pengimbas IRIS dragonball

Jika kekuatan Hang Tuah terletak pada huruf “T”, kekuatan Galaxy Note terletak pada “S Pen”. Apalah Note tanpa pena? S Pen pada Galaxy Note7 juga menerima penambahbaikkan ketara. Bukan sahaja ia kalis air dengan piawaian IP68 seperti perumahnya, input yang diberikan juga lebih berkesan dan jitu.

Fungsi Air Commnad pula telah diperlbagaikan. Misalnya, “Glance” membolehkan pengguna melihat paparan mini aplikasi yang sedang berjalan pada latar, “Magnify” pula akan memperbesar bahagian yang ditunjuk mengguna S Pen seperti kata pembesar. Jika ingin menterjemah sesuatu ayat daripada bahasa lain, lukiskan rantau disekeliling ayat tersebut dan ia akan terus diterjemah.

Galaxy Note7 dilancar di New York - S-Pen separuh keluar

Peranti demi peranti, Samsung terus melapiskan seni bina premium pada Galaxy Note7 pada setiap lekuk dan permukaan yang ada pada badannya. Ia memastikan cengkaman sempurna dalam tangan pengguna. Corning Gorilla Glass generasi kelima, yang pertama dalam peranti Samsung, pula melindungi panel paparan sekiranya jatuh.

Sebanyak tiga warna Galaxy Note7 ditawarkan iaitu emas, perak, dan hitam. Mungkin warna merah jambu akan diperkenalkan kemudian bagi menyerlahkan ciri feminin pada wanita.

Pada bahagian optikal, ia mewarisi kamera yang sama daripada Samsung Galaxy S7. Hal ini bermakna, pengguna akan menerima kamera terbaik dalam pasaran telefon pintar hari ini dan menerima perakuan DxOMark selaku kemara telefon paling baik setakat ini. Sensor sebesar 12MP beserta teknologi Dual Pixel beserta OIS dan apertur F1.7 adalah ciri-ciri kamera belakangnya manakala kamera hadapannya pula sekuasa 5MP, juga dengan apertur F1.7.

Galaxy Note7 dilancar di New York - belakang tulis S-Pen

Pada jabatan teknikal pula, sekeping pemproses Exynos 8890 lapan teras digunakan untuk mendukung segala kerja berat yang dihumbankan pengguna padanya. Ia dibantu oleh RAM sebesar 4GB dan ruang penyimpanan seluas 64GB, lebih besar berbanding Note5. Jika tidak mencukupi, korbankan saja satu slot sim untuk memasukkan kad mikro-SD sebesar 256GB.

Peranti ini dikuaskan oleh bateri sebesar 3,500mAh. Untuk mengisi ruang tenaga yang besar, Samsung memberikan fungsi pengecasan pantas padanya. Tenaga boleh diisi daripada kosong ke penuh dalam masa 100 minit sahaja. USB Type-C yang ada pada Note kali ini adalah yang pertama dalam kalangan peranti Samsung.  Lebih menarik, ia juga boleh dicas secara wayarles dan menyokong piawaian pengecasan daripada WPC dan PMA.

Galaxy Note7 dilancar di New York - sambungan USB-C

Itulah dia serba sedikit tentang telefon Samsung Galaxy Note7. Yang lebih menggembirakan kami di TheSkop adalah Malaysia termasuk dalam kalangan gelombang pertama menerima Galaxy Note7 iaitu pada 19 Ogos ini.

Teruskan bersama kami di TheSkop untuk maklumat lanjut tentang Samsung Galaxy Note7.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: