Test Produk – Xiaomi Mi 5, Peranti Premium Bajet Rendah

KELEBIHAN

+ Prestasi tinggi mampu milik
+ Rekaan premium & menarik
+ Pengecas pantas

KEKURANGAN

– Sisi badan tajam
– Lebih panas dari biasa
– Kamera kurang menyerlah

Pengenalan

Sekian lama menanti, akhirnya Xiaomi membawa siri telefon terbaik mereka ke Malaysia. Mi 5 yang dilancarkan pertama kali di pentas MWC 2016 di Barcelona, telah menemui rakyat Malaysia bulan Julai lepas.

Xiaomi Malaysia seperti biasa, memberi peluang kepada kami untuk memandu uji telefon terbaik mereka ini. Harapan yang tinggi menggunung menanti kehebatan yang bakal dipamerkan Mi 5, terutama sekali dengan harganya yang tiada tandingan.

Peranti pertama Xiaomi yang diperkenalkan di Malaysia adalah Mi 3. Di kala itu, ia merupakan telefon yang sangat murah berbanding jenama lain dengan spesifikasi yang sama. Tetapi apabila Mi 4 dilancarkan, ia tidak berjaya dibawa ke Malaysia disebabkan isu rangkaian.

Dengan tibanya Mi 5, ia memberi harapan kepada mereka yang mahukan perkakas tertinggi di telefon pintar, pada harga yang lebih mampu dimiliki. Mi 5 dijual di Malaysia pada harga RM1,549, jauh lebih rendah dari jenama lain yang kebanyakannya dijual melebihi RM2,000.

Berbaloikah membeli Mi 5? Teruskan membaca test produk kami ini.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - depan belakang atas kain merah

 

[MUKA 2: Rekabentuk, Prestasi dan Kamera]

[nextpage title=”Rekabentuk, Prestasi dan Kamera”]

Rekabentuk

Ketika semua jenama lain menghasilkan telefon pintar kelas utama dengan skrin 5.5-inci, Xiaomi kekal dengan skrin lebih kecil sebesar 5.15-inci bersama resolusi HD penuh sahaja. Ia pastinya menarik minat mereka yang kurang gemar skrin besar tapi mahukan prestasi tinggi.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - depan pegang atas jalan batu

Rekaan dan kemasan yang digunakan Mi 5 kelihatan sangat premium. Ia menggunakan rekabentuk seperti Mi Note, menggunakan kaca melengkung 3D di belakang. Bahagian belakang ini memang selesa dipegang disebabkan kaca melengkung ini.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - belakang pegang atas jalan batu

Bingkai utama telefon ini menggunakan besi. Tetapi Xiaomi berjaya menjadikan lengkung kaca dan bingkai besi ibarat tiada sempadan. Tidak terasa garisan antara kaca di belakang dan sisi bingkai besi.

Tetapi pereka Xiaomi mungkin terlupa tentang bahagian depan. Bingkai besi ini mempunyai sudut yang tajam di depan. Sukar untuk memegang Mi 5 untuk jangka masa lama seperti bermain Pokemon Go, kerana terasa tajamnya sisi besi ini. Melainkan, anda menggunakan casing bersamanya.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - bingkasi besi dan kaca bergabung licin

 

Kuasa Dalaman

Ini harus menjadi kekuatan Mi 5, kerana ia menggunakan perkakas terbaik dalam pasaran kini. Cuma, Malaysia hanya menerima variasi terendah Mi 5. Sedikit sebanyak, ia menjadikannya seperti tergolong dalam kelas pertengahan.

Mi 5 yang dijual di Malaysia yang turut kami pandu uji ini, menggunakan CPU Snapdragon 820 yang memiliki kelajuan lebih rendah 1.8GHz, berbanding kelajuan biasa 2.2GHz. Ia bergandingan dengan 3GB RAM LPDDR4 yang pantas, bersama 32GB storan dalaman UFS 2.0 yang lebih pantas dari storan eMMC.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - sisi kanan depan istana lama

Tiada slot memori tambahan. Tetapi ia menyokong dua kad sim nano sehingga 4G LTE. Mi 5 adalah salah satu telefon yang disahkan menyokong rangkaian TDD-LTE Yes 4G. Bermakna, ia juga menyokong panggilan berkualiti tinggi melalui LTE (VoLTE).

Test Produk Xiaomi Mi 5 - sisi kiri depan istana lama

MIUI 7 merupakan antaramuka yang tersedia digunakan apabila Mi 5 keluar dari kotak. Ia merupakan sistem operasi ciptaan Xiaomi, yang diubahsuai dari Android 6.0 Marshmallow. Tetapi tidak lama lagi ia akan menerima kemaskini ke MIUI 8.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - depan pegang depan istana lama

 

Hayat Bateri & Pengecasan

Kapasiti bateri Mi 5 dilihat agak biasa untuk telefon 5.2-inci, sebesar 3,000mAh. Bagaimanapun, Mi 5 menyokong pengecasan pantas Qualcomm Quick Charge 3.0 dan menggunakan sambungan USB-C. Dilihat dari kepala pengecasnya, ia menyokong pengeluaran tenaga 5V/2A, 9V/1.2A dan 12V/1A.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - pengecas pantas quick charge 3

Pengecasan penuh Mi 5 mengambil masa lebih kurang 100minit, dengan kadar yang agak rata 1 minit untuk 1% kenaikan. Bermakna, 30 minit pengecasan boleh memenuhi 30% kapasiti bateri Mi 5, dan 60 minit pula mencecah 60%.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - port usb-c atas jalan batu

Hayat bateri Mi 5 untuk penggunaan biasa, dilihat tidak banyak berbeza dari peranti lain. Penggunaan normal harian memberikan masa hidup selama 13 jam 47 minit, dengan masa hidup skrin sekitar 4 jam 10 minit.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - hayat bateri

Seperti biasa, kami menjalankan ujian bateri Geekbench dan hasilnya agak menakjubkan. Ia menerima markah sebanyak 7,568 dengan masa hidup selama 12 jam 36 minit. Satu keputusan ujian yang agak luar biasa. Untuk perbandingan, vivo V3Max memiliki bateri sebesar 3,000mAh mencatat masa 6 jam 41 minit bersama 4,016 markah. Mungkin penggunaan lebih ringan mampu memberikan hayat lebih lama kepada Mi 5.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - geekbench ujian bateri

 

Prestasi

Snapdragon 820 merupakan pemproses terbaik tahun ini. Ia menduduki carta teratas ujian Antutu yang sering dijadikan tanda aras prestasi. Tetapi bagaimana pula prestasi CPU Snapdragon 820 yang mempunyai kelajuan lebih perlahan ini?

Melalui ujian prestasi Antutu v6.2.0, pemproses Snapdragon 820 di dalam Mi 5 memberikan markah 115,228. Sememangnya agak tinggi, tetapi masih jauh ketinggalan dari peranti lain yang menggunakan Snapdragon 820 dengan kelajuan sebenar 2.2GHz.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - antutu ujian prestasi 02

Ada satu lagi Mi 5 tersenarai di atas. Ia adalah Mi 5 versi tertinggi, yang menggunakan CPU Snapdragon 820 dengan kelajuan sebenar 2.2GHz. Jadi, perbezaan markah Antutu Snapdragon 820 berkelajuan 2.2Ghz dan 1.8GHz adalah sekitar 20,000 mata.

Bagi ujian Geekbench 3.0 yang menguji CPU sahaja, Mi 5 memperoleh markah 1,902 untuk teras tunggal dan 4,721 bagi teras pelbagai. Sebagai pengguna CPU Snapdragon 820, sememangnya ia mengatasi prestasi CPU yang lain.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - geekbench ujian prestasi

 

Pengalaman Penggunaan

Kesimpulan pendek penulis, Mi 5 adalah peranti kelas utama dengan prestasi sedikit rendah. Mungkin jika penulis meletakkannya sebagai peranti kelas pertengahan, ia akan mengurangkan rasa kecewa ketika menggunakan telefon pintar ini.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - belakang pegang bendera malaysia

Antara punca kekecewaan adalah ia mudah menjadi lebih hangat dari biasa. Telah banyak telefon pintar kami uji, tetapi kepanasan Mi 5 sedikit luar biasa. Menjalankan beberapa aplikasi intensif seperti bermain Pokemon Go dan menjalankan navigasi Waze, ia mudah menjadi panas dan mengganggu prestasi.

GPS kadang-kadang mula hilang titik lokasi dan data WiFi juga putus-putus. Ini perkara yang agak sukar diterima kerana ia menggunakan CPU Snapdragon 820 yang memiliki kelajuan lebih rendah, dan tidak dikhabarkan mengalami masalah kepanasan seperti Snapdragon 810.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - kamera depan ats depan istana lama

Rekabentuknya dengan bingkai besi yang tajam di sisi juga menambah rasa tidak selesa. Ia sukar untuk dipegang lama kerana terasa tajam besi. Ketajamannya dilihat boleh digunakan untuk memotong sayur atau buah-buahan. Pengguna Mi 5 disyorkan untuk mendapatkan casing bagi telefon mereka.

Xiaomi turut menyatakan bahagian kamera Mi 5 menerima penambahbaikan. Tetapi ia dilihat jauh dari setanding dengan kamera peranti utama lain. Kami akan sentuhnya lebih mendalam di bahagian Kamera kemudian.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - pengimbas capjari depan istana lama

Pengimbas capjari yang menjadi norma di telefon pintar masakini, terasa kurang sensitif di Mi 5. Dalam kebanyakan masa, 2 dari 3 cubaan mengimbas capjari adalah gagal. Contoh pengimbas capjari yang sangat berkesan adalah OPPO F1 Plus dan juga Huawei Mate 8. Kelewatan kunci dibuka kadang-kadang boleh menyebabkan terlepas peluang terutama ketika mengambil gambar.

Satu tambahan yang kami gemar di Mi 5, adalah pemancar infra merah. Mungkin ramai merasa ia kurang berguna, tapi ia boleh menjadi alat kawalan jauh semua-dalam-satu. Penulis menggunakannya untuk mengawal TV, Astro, penghawa dingin dan juga kipas secara jarak jauh di rumah. Hanya menggunakan telefon pintar Mi 5 ini sahaja.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - pemancar infra merah atas jalan batu

 

Kamera

Antaramuka kamera MIUI 7 tidak banyak berbeza dari sebelumnya. Sapu dari kanan ke kiri untuk tetapan, dan dari kiri ke kanan untk penapis. Sapu dari bawah ke atas pula mengubah penggunaan kamera belakang dan depan.

Mi 5 boleh merakam video sehingga resolusi 4K, salah satu tanda aras peranti kelas utama. Kamera belakangya pula merakam gambar sehingga 16MP f/2.0 yang dibekalkan penstabil imej optikal (OIS) 4-paksi.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - kamera belakang atas jalan

Ia adalah lebih maju dari kebanyakan peranti lain yang menggunakan 2-paksi OIS sahaja. Tetapi hasil gambar Mi 5 dilihat masih jauh dari stabil. Mungkin ia sangat berguna untuk tangan yang sering bergegar sahaja.

Satu lagi tanda aras peranti utama bagi kami, adalah pemprosesan gambar HDR. Di Mi 5, ia mengambil masa agak lama untuk memproses. Ini memerlukan pengguna bertahan menstabilkan tangan, ketika mengambil gambar HDR. Malah, mungkin OIS tidak aktif menjadikan gambar mudah kabur ketika tangkapan HDR.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - UI kamera selfie

Paling sukar, tidak boleh mengambil banyak gambar dengan pantas menggunakan mod HDR di Mi 5. Perlu mengunggu proses HDR selesai, barulah boleh gambar seterusnya diambil. Perkara ini masih agak ketinggalan berbanding kamera peranti utama lain seperti Galaxy S7 edge. Lihat lebih banyak contoh gambar yang diambil, di Muka 3 Galeri Gambar.

Untuk kamera selfie, Mi 5 dilihat agak bertenaga. Dengan kemampuan saiz piksel sebear 2-mikron, apertur f/2.0 dan lensa lebar 80-darjah, menjadikan tangkapan gambar 4MP lebih cerah. Jangan lupa untuk menggunakan mod Beautify bersamanya, pasti gambar sangat menawan. Satu perkara lagi yang menarik tentang selfie di telefon Xiaomi adalah, kebolehannya meneka umur dan jantina.

Selfie mengecam umur dan jantina

 

[MUKA 3: Kesimpulan dan Galeri Gambar]

[nextpage title=”Kesimpulan dan Galeri Gambar”]

Kesimpulan

Xiaomi sering membuktikan, harga bukanlah tanda kualiti. Tetapi dengan Mi 5, nampaknya apa yang anda bayar, itulah yang anda dapat. Dengan membayar harga peranti kelas pertengahan iaitu RM1,549, anda akan mendapat Mi 5 dengan prestasi kelas pertengahan juga.

Sedikit sebanyak, perkara ini mengingatkan kami tentang produk Xiaomi yang paling mengecewakan, iaitu Mi 4i. Mi 5 masih boleh beroperasi dengan prestasi yang memuaskan, cuma memikirkan sepatutnya ia di dalam kelas utama, memberi sedikit rasa kecewa di dalam hati.

Test Produk Xiaomi Mi 5 - belakang pegang bendera malaysia

Masalah rekabentuk badan yang tajam, lebih panas dari biasa dan prestasi GPS & WiFi yang terganggu, menambah rasa kedukaan. Malah, Xiaomi perlu belajar dari rakan mereka di China, iaitu Huawei dan OPPO untuk menghasilkan pengimbas capjari yang pantas dan lebih responsif.

Jika anda mempunyai bajet tambahan, OnePlus 3 dengan CPU Snapdragon 820 berkelajuan penuh 2.2GHz, 6GB RAM dan 64GB storan dilihat lebih berbaloi dimiliki. Bagaimanapun, Mi 5 masih pilihan baik untuk bajet RM1,500. Kerana tiada yang menghampirinya dari segi perkakas untuk harga sebegitu.


Galeri Gambar Kamera

klik untuk gambar bersaiz asal

Test Produk - Xiaomi Mi 5 - kamera 001Persimpangan Times Square New York yang sentiasa sibuk

Test Produk - Xiaomi Mi 5 - kamera 002Padang yang luas di bawah awan dan langit biru

Test Produk - Xiaomi Mi 5 - kamera 003Trak Bomba berhenti di tengah jalan New York

Test Produk - Xiaomi Mi 5 - kamera 004Warna-warni nasi goreng udang

Test Produk - Xiaomi Mi 5 - kamera 005Suasana trafik New York di siang hari

Test Produk - Xiaomi Mi 5 - kamera 006Gambar dedaunan jarak dekat

Test Produk - Xiaomi Mi 5 - kamera 007Orang ramai berpusu-pusu di stesen keretapi

Test Produk - Xiaomi Mi 5 - kamera 008Gambar muka jarak dekat

Test Produk - Xiaomi Mi 5 - kamera 010Suasana tengah malam di New York

Test Produk - Xiaomi Mi 5 - kamera selfieSelfie di stesen keretapi bawah tanah

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: