Tempah Galaxy Note7 lebih pantas di 11street

Samsung baru sahaja selesai melancarkan phablet terbaik mereka, Galaxy Note7. Lebih baik lagi, Malaysia termasuk dalam senarai teratas penjualan hari pertama telefon pintar ini. Dimaklumkan, tempahan akan dibuka pada 8 Ogos, dan jualan akan bermula pada 18 Ogos 2016. Tetapi, tak sampai 24 jam selepas pelancaran, dah ada kedai yang mengaku mula menjual Galaxy Note7.

Salah satu laman e-dagang terkemuka Malaysia, 11street mulai hari ini 3 Ogos, telah membuka tempahan Galaxy Note7, jauh mendahului tarikh 8 Ogos yang ditetapkan Samsung Malaysia. Nasib baik harga jualannya sama, RM3,199 sahaja termasuk GST. Malah, 11street menawarkan hadiah misteri untuk 100 tempahan pertama. Apa agaknya hadiah misteri ni. Tetapi tarikh penghantaran ditetapkan pada 19 Ogos.

Galaxy Note7 dilancar di New York - atas atap bangunan

Dari kaca mata kami, Galaxy Note7 ni memang peranti terhebat dalam pasaran kini. Ia memperbaiki kelemahan di dalam Galaxy Note5, dan memperguna kehebatan yang ada di dalam Galaxy S7 edge.

Galaxy Note7 yang baru ini, mengembalikan semula slot kad mikroSD yang hilang semasa Galaxy Note5. Ia juga ditambah fungsi kalis air yang menepati piawaian IP68, walaupun semasa S-Pen ditarik keluar dari slotnya.

Skrin Note7 masih kekal sebesar 5.7-inci dengan resolusi Quad HD, tetapi ia kini dilindungi kaca Corning Gorilla Glass 5, pertama digunakan pada telefon pintar. Kaca ini dikatakan mampu menahan jatuh dari setinggi 1.6 meter, 80% sepanjang masa.

Galaxy Note7 dilancar di New York - S-Pen separuh keluar

Kuasa dalamannya sama seperti Galaxy S7 edge, menggunakan CPU Exynos 8890 8-teras bersama 4GB RAM LPDDR4. Mungkin ada yang kecewa kerana RAM bukan 6GB, tetapi Samsung memberi storan dalaman lebih besar 64GB. Storan lebih besar macam lebih berguna dari RAM lebih besar. Kenapa tak jadikan keduanya lebih besar Samsung?

Untuk S-Pen, ia kini ditambah 4 fungsi baru iaitu Glance, kanta pembesar, penterjemahan teks dan gambar serta mencipta animasi GIF.

Kamera Galaxy Note7 adalah yang terbaik, kerana ia menggunakan modul yang sama seperti Galaxy S7 edge. Kamera belakang dilengkapi sensor dwi-piksel 12MP f/1.7, dan kamera depan pula 5MP f/1.7. Kehebatan kamera ini memang telah terbukti di Galaxy S7 edge, malah menjadi kamera paling kami gemari.

Galaxy Note7 dilancar di New York - belakang tulis S-Pen

Bateri Galaxy Note7 lebih besar, dengan kapasiti 3,500mAh. Kali ini, Samsung menggunakan sambungan USB jenis-C untuk pengecasan, yang boleh mengecas penuh 100% dalam masa 100 minit. Ia juga menyokong pengecasan wayarles pantas.

Jadi, adakah anda ingin menjadi yang terbaik, yang tak pernah orang lain.. Bukan, jadi yang pertama di dunia miliki Galaxy Note7 tanpa perlu berebut semasa tempahan Samsung Malaysia dibuka, atau beratur di hari pertama jualan? Bolehlah lawati laman 11Street Malaysia dan membuat tempahan Galaxy Note7 di sana.

Jangan lupa, tonton juga pengalaman kami bersama Galaxy Note7 di New York menerusi video di bawah ini.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: