Cyberjaya bandar pintar LoRa pertama Asia Tenggara

Penggunaan peranti ‘Internet of Thing’ (IoT) akan boleh digunakan secara meluas di Cyberjaya, selepas ia dilengkapi dengan sistem rangkaian Jarak jauh (Long Range – LoRa). Ia bakal direalisasikan melalui kerjasama Cyberview Sdn Bhd dan Atilze Digital Sdn Bhd.

Kerjasama ini dimeterai melalui satu perjanjian kerjasama (MoC) selama setahun, yang diadakan di Hotel Istana hari ini. Ia ditandatangani oleh YBhg Dato’ Faris Yahya, Pengarah Urusan Cyberview bersama Gerard Lim, CEO Atilze. Dengan kerjasama ini, Cyberjaya akan menjadi bandar pintar pertama di Asia Tenggara, dilengkapi rangkaian LoRa.

LoRa adalah sejenis teknologi rangkaian lebar yang rendah tenaga, tetapi mampu mencapai jarak jauh (LPWAN). Ia adalah teknologi rangkaian paling maju, dan direka untuk memenuhi keperluan IoT. LoRa adalah penyelesaian yang jauh lebih murah berbanding penggunaan rangkaian 4G LTE.

Sebagai pakar penyelesaian rangkaian, Atilze akan menyediakan perkakas dan infra seperti gateway, sistem antena, node, modul serta akses ke platform data awan IoT. Selepas selesai pemasangan, Atilze akan terus memantau, menguruskan dan menyediakan servis menyelenggara dan sokongan kepada rangkaian LoRa di Cyberjaya.

Menurut perjanjian ini, gateway dan sistem antena akan disediakan secara percuma oleh Atilze. Manakala bagi pihak Cyberview pula, mereka akan menyediakan akses kepada menara dan bumbung bangunan untuk pemasangan perkakas.

Atilze - konsep IoT Cyberjaya bersama CyberviewKonsep IoT di Bandar Pintar

‎Beberapa projek pemula aplikasi IoT, bakal digerakkan di Cyberjaya menggunakan rangkaian LoRa ini. Ia memfokuskan kepada elemen bandar pintar, antaranya:

  1. Lampu jalan pintar, terpasang di waktu malam ketika ia mengesan pergerakan manusia atau kenderaan.
  2. Kawalan bangunan pintar, seperti suhu, kelembapan, barometer, kualiti udara dan sebagainya. Boleh digunakan untuk memeriksa Indeks Kualiti Udara (AQI).
  3. Pemantau Air, memeriksa tahap air di longkang, sungai, tasik dan tangki air.
  4. Pemantau aset, seperti bas awam yang beroperasi di Cyberjaya, memeriksa waktu ketibaan dan lokasi.
  5. Sistem Keselamatan, di rumah dan pejabat.
  6. Sistem meletak kenderaan pintar, untuk mengesan, menempah dan membuat bayaran.

Penggunaan IoT bersama rangkaian LoRa, merupakan kunci penting kepada penyelesaian bandar pintar. Ia akan merevolusikan bukan sahaja perniagaan, malah kepada pengguna di rumah jua. Cyberjaya sebagai hub teknologi Malaysia, bakal menjadi contoh penyelesaian bandar pintar dengan penggunaan IoT dan LoRa pertama di Asia Tengara.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: