Skill Pengekodan Diajar Di Sekolah Bermula Tahun Depan

Bermula tahun hadapan, pelajar sekolah akan diajar pengekodan komputer seawal darjah tiga. Itulah yang diumumkan oleh CEO Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood.

160719-datuk yasmin mahmood ceo mdec

Sebagai permulaan, 22 sekolah akan dipilih sebagai perintis kepada inisiatif melahirkan generasi penggerak dunia digital. Subjek pengekodan akan diserap masuk kedalam kurikulum sekolah rendah (KSSR) dan menengah (KSSM).

Ia selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 yang menggariskan lima aspirasi iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. Langkah itu diharapkan boleh memantapkan kemahiran kognitif serta memupuk pemikiran aras tinggi sambil menjalin masuk pengetahuan IT sebagai alat mengajar.

Walau bagaimanapun, butiran lanjut inisiatif itu hanya akan diumumkan pada Ogos ini.

Tidak perlu disangkal lagi kepentingan pengetahuan pengekodan pada hari ini. Sedang dunia digital kini semakin canggih dan bertumbuh pesat, kita tidak dapat lari daripada menggunakan komputer. Daripada bergantung kepada pihak lain untuk membangunkan teknologi yang kita gunakan sehari-hari, adalah lebih baik kita sendiri mengasuh dan menyemai sendiri anak-anak celik pengekodan ini supaya kelak boleh berbakti kepada negara.

Ianya bukanlah perkara yang baru. Malahan, negara-negara maju lain sudahpun menggerakkan usaha masing-masing dalam inisiatif yang hampir serupa. Misalnya, Facebook menderma $15 juta kepada Code.org, sebuah NGO yang berpengkalan di Seattle, untuk mempromosikan pengekodan dalam kalangan pelajar sekolah. Google juga tidak ketinggalan menelusuri arus modenisasi apabila memperkenalkan projek Blok untuk mengasah kemahiran pengekodan dalam kalangan kanak-kanak.

Tidak perlu menjengah jauh, negara kita sendiripun mempunyai program tersebut. Cyberview Sdn. Bhd. dengan kerjasama Terato Tech telah menganjurkan program cuti sekolah yang dinamakan Minecraft Game Design. Melalui program tersebut, peserta diajar cara pengekodan sehingga mampu menghasilkan permainan sendiri.

Jika tak sabar menunggu sesi persekolahan tahun depan, sekarangpun anda boleh mula belajar pengekodan. Box Island adalah permainan penuh warna-warni yang ada menyelitkan pengekodan sebagai temanya.

[sumber, sumber gambar]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia