Nvidia GeForce GTX 1060 beri kuasa Pascal kepada orang ramai

Selepas memperkenalkan pemproses grafik (GPU) Nvidia GeForce GTX 1080 dan 1070, Nvidia akhirnya mengumumkan GPU lebih mampumilik dari siri yang sama, GeForce GTX 1060. Ia merupakan tambahan terbaru dari siri grafik Pascal, yang menampilkan kuasa pemproses dan penjimatan tenaga serba baru.

Perkara paling menarik pada GTX 1060, adalah harganya. Nvidia menyatakan ia dijual bermula dari USD249 (~RM991), tak sampai separuh dari harga GTX 1080 iaitu USD599 (~RM2,385). Tetapi, GTX 1060 memiliki prestasi setara GTX 980, dengan penjimatan tenaga yang lebih baik.

Nvidia GeForce GTX 1060 - top view

Pemproses grafik GTX 1060 menampilkan 1,280 teras CUDA, 6GB memori GDDR5 berkelajuan sehingga 8Gbps. Ia dihasilkan menggunakan proses FinFET 16nm, memberinya ruang untuk memacu kelajuan teras sehingga 1.7GHz. Malah, ia boleh ditekan lagi untuk dipacu sehingga 2.0GHz.

Dengan kuasa pemproses ini, ia boleh menjalankan tajuk permainan terkini sehingga 15% lebih pantas, dan menggunakan kuasa 75% lebih efisyen berbanding GPU lain.

Kad grafik GTX 1060 kini telah sedia dihasilkan oleh rakan niaga Nvidia seperti ASUS, Colorful, EVGA, Gainward, Galaxy, Gigabyte, Innovision 3D, MSI, Palit, PNY dan Zotac. Ia akan mula dijual bermula 19 Julai 2016 di lebih 238 negara termasuk Malaysia, dengan harga permulaan USD249 (~RM991).

Seperti sebelum ini, Nvidia akan turut menghasilkan kad grafik GeForce GTX 1060 Founder’s Edition, pada harga USD299 (~RM1,190). Ia dihasilkan sendiri oleh Nvidia menggunakan bahan dan komponen premium, seperti badan diperbuat dari aluminium dan sistem penyejukan terma yang lebih sejuk dan senyap. Maklumat lanjut boleh diperolehi di lamanweb Nvidia.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: