Huawei Matebook mencabar Surface di Malaysia bermula esok

Microsoft nampaknya berjaya menjadikan tablet yang boleh berubah menjadi komputer, sangat popular menerusi Surface. Selepas Acer melancarkan Alpha Switch 12 dan HP tampil dengan Spectre X2, hari ini Huawei pula mengumumkan ketibaan tablet 2-dalam-1 mereka ke Malaysia, iaitu Huawei Matebook.

Tablet Huawei Matebook pertama kali diperkenal kepada umum semasa pameran MWC 2016 di Barcelona. Ia merupakan sebuah tablet dengan papankekunci boleh cabut, sama seperti Microsoft Surface yang sangat popular. Bezanya, ia lebih nipis dengan harga lebih murah.

Terdapat beberapa variasi Huawei Matebook, tetapi Huawei Malaysia akan mula menjual versi yang dikuasakan CPU Intel Core m3 terlebih dahulu di Malaysia. Ia akan mula dijual esok, 30 Julai 2016 di Stor Huawei Experience dan stor dalam talian Vmall.my. Harganya pula hanya RM3,999 termasuk GST, yang datang sekali bersama papankekunci yang turut menjadi pelindung.

Huawei Matebook yang dikuasakan Intel Core m3 ini, bergandingan dengan 4GB RAM LPDDR3 serta 128GB storan SSD. Ia memiliki skrin 12-inci IPS, dengan resolusi 2160 x 1440. Badannya diperbuat dari besi aluminium seluruhnya dengan ketebalan yang sangat nipis, hanya 6.9mm sahaja. Berat tabletnya pula hanya 640 gram, menjadikannya antara yang paling ringan.

Apabila dipasang papankekunci yang turut memiliki lampu di belakang, ia menjadi sebuah mesin paling produktif. Dengan sistem operasi Windows 10, hampir semua tugasan boleh dibuat dengan mudah. Malah, bateri Huawei Matebook mampu bertahan sehingga 9 jam lamanya untuk penggunaan berterusan. Untuk pengecasan, ia hanya memerlukan 2.5 jam untuk dicas penuh menerusi sambungan USB-C.

MWC2016 - Huawei Matebook - 058

Huawei Matebook juga memiliki sistem keselamatan yang terbaik, dengan pengimbas capjari yang ditetapkan pada butang kuasa di sisi. Membuka kunci Windows 10 boleh dibuat pantas, semudah menekan butang kuasa sambil mengimbas capjari pengguna.

Huawei Matebook ditawarkan dalam kombinasi panel hitam, badan kelabu dan papankekunci hitam, ataupun panel putih, badan emas dan papankekunci berwarna coklat. Papankekunci yang turut bertindak sebagai pelindung ini, turut dijual berasingan pada harga RM499.

Huawei MateBook dengan MateDock dan MatePen

Untuk meningkatkan lagi produktiviti, Huawei juga menawarkan aksesori tambahan seperti Huawei Matepen yang berharga RM369. Ia memiliki sensitiviti sehingga 2,048 tahap tekanan, untuk menghasilkan ketebalan lakaran yang berbeza. Baterinya boleh bertahan sehinggga 100 jam, dan boleh juga digunakan sebagai penunjuk lazer dan butang kawalan penyampaian slide.

Aksesori Huawei Matedock pula memberikan sambungan tambahan HDMI, VGA, LAN Ethernet dan 2x USB 3.0. Ia boleh disambung menggunakan port USB-C di Matebook. Ia akan dijual menerusi laman Vmall.my dengan harga jualan RM399.

Selain variasi Core m3, Huawei juga akan menjual Matebook dengan variasi core m5 pada harga RM5,399 dan variasi core m7 RM6,699. Ia akan datang dengan RAM sehingga 8GB, serta storan SSD sehingga 512GB. Lawati Stor Huawei Experience berhampiran dan laman Vmall.my untuk mula membeli Huawei Matebook bermula 30 Julai 2016.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: