7 Ciri Baru Dalam Note7 Yang Anda Mungkin Tak Tahu

Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2010, seluruh dunia tidak yakin akan kebolehpasaran telefon dengan paparan gergasi ini. Selain itu ia juga hadir dengan teknologi stailus yang dipanggil, S-Pen. Dua perkara itu sahaja telah menidakkan falsafah Steve Job pada masa itu.

Yang pertama, saiz paparan yang ideal hanyalah 3.6-inci bagi memudahkan pengguna mencapai bahagian hujung paparan dengan sebelah tangan. Yang kedua, beliau jijik dengan stailus pada telefon. Walau pelbagai tohmahan dilemparkan, siri Galaxy Note boleh berbangga dengan generasi ketujuh yang bakal tiba tidak lama lagi.

Apa yang boleh anda jangkakan pada Note generasi ketujuh nanti?


1. Nama yang diberi adalah Galaxy Note7

Bermula dengan namanya, Samsung melangkah bendul skima penamaan Note mereka. Untuk menyelaraskan penamaan ke seluruh portfolio Samsung Galaxy, Note yang seterusnya akan menggunakan angka 7. Ia selari dengan Galaxy S7 dan S7 edge.


2. Pengimbas iris

Jika benar, Note7 akan menjadi Note pertama memiliki pengimbas iris. Seperti yang dibocorkan dalam laman Weibo, pengguna akan diminta menjajarkan kedudukan mata mereka kedalam viewfinder kamera hadapan dalam jarak 25 hingga 35 cm.

160728-note7 iris scanner

Tidak dapat dipastikan mekanisme membuka telefon yang digunakan oleh pengimbas iris tersebut.


3. Kamera Dual Pixel

Pada Galaxy S7 dan S7 edge, kamera kedua-dua peranti itu mencatatkan markah paling tinggi dalam ujian DxOMark. Mereka menggunakan sensor Sony IMX260 yang memiliki saiz piksel yang besar (1.44 mikron). Digandingkan pula dengan apertur F1.7, sudah tentu prestasi dalam keadaan malapnya tidak perlu disangkal lagi.

160728-s7 kamera belakang

Mereka jugak adalah telefon pertama yang menggunakan teknologi sistem autofokus Dual Pixel, sama seperti yang ada Canon 80D. Teknologi ini menggunakan kesemua piksel pada sensornya dalam usaha membidik titik fokus.

Oleh sebab itu, kita mungkin akan melihat sistem kamera yang serupa pada Note7.


4. TouchWiz Yang Diperhalus

TouchWiz yang akan digunakan pada Note7 akan ditambah baik daripada Galaxy S7 dan S7 edge. Ia kini dalam fasa beta dan sudahpun boleh dicuba pada peranti Galaxy generasi ini. Satu video yang diterbit oleh HDblog dari Itali menunjukkan Note7 mungkin akan menerima overhaul pada antara mukanya. TouchWiz yang akan datang ini akan digelar “Grace”.


5. Skima Warna Yang Baharu

Jika pada Note5 sebanyak 5 warna ditawarkan, Note yang akan tiba ini hanya ditawarkan dalam 3 warna. Dua daripadanya diwarisi daripada Note5 seperti emas, dan hitam manakala yang satu lagi bewarna biru seperti “pebble blue” Galaxy S3, tetapi lebih cerah.

160728-note7 warna


6. Pengecasan Pantas dan Port USB Type-C

Telefon yang besar semestinya hadir dengan bateri yang besar. Jika kekal menggunakan pengecas konvesional sudah tentu pengguna akan tertambat pada soket dinding atau kesana-kemari mengusung pek bateri. Oleh sebab itu, Samsung mengambil inisiatif memnyertakan fungsi pengecasan pantas pada Note7.

160728-samsung adaptive charging

Tetapi untuk kekal dalam persaingan ini, Samsung perlu lebih berusaha dalam sektor ini kerana pemain seperti OPPO telah meninggalkan mereka dengan agak jauh. Super VOOC daripada OPPO mampu mengecas penuh bateri sebesar 2500mAh dalam masa 15 minit sahaja, hal ini bermakna dalam masa seminit, ia mengisi sekurang-kurangnya 6% kuasa.


7. Memori Dan Storan Yang Luas

Galaxy Note bukanlah hanya sekadar telefon. Dengah S-Pen, ia menjadi kekotak yang mengasah kreativiti penggunanya. Sudah tentu kerja-kerja seni memerlukan memori yang banyak untuk menampung beban kerja tersebut. Dikhabarkan, Note7 hadir dengan RAM sebesar 6GB.

160728-s7 mikroSD

Selain itu, ia juga akan hadir dalam satu konfigurasi storan iaitu 64GB. Kemudian, bagai jentayu menunggu hujan, Samsung mengembalikan pula slot mikro-SD yang hilang pada Note5.


Walau apapun, semua kenyataan ini hanya boleh dibuktikan pada 2 Ogos ini iaitu hari pelancaran Note7 yang akan berlangsung di New York. Teruskan bersama-sama kami untuk info terbaharu Note7.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: