Telefon pintar Vivo Xplay 5 dengan 6GB RAM kelihatan di Malaysia

Vivo adalah yang terawal mengumumkan secara rasmi, telefon pintar dengan 6GB RAM iaitu Xplay 5. Dengan bekalan RAM yang melebihi kebanyakan komputer biasa, ia kini boleh dibeli di Malaysia dalam bentuk set import AP. Tetapi, ia bukan untuk orang kebanyakan.

DirectD, salah satu pusat jualan yang sering menjadi rujukan pembeli di Lembah Klang, mengumumkan unit AP vivo Xplay 5 dengan 6GB RAM telah tiba di pusat jualan mereka. Lebih mengagumkan, harga jualannya ialah RM2,999. Ia bukanlah yang termahal pernah dilihat, kerana Galaxy S7 edge berharga RM3,099 telah banyak terjual di Malaysia, tetapi berbaloikah mendapatkan vivo Xplay 5 ini?

Vivo Xplay 5 pelbagai sudut depan belakang

Dari spesifikasinya, vivo Xplay 5 memang hebat. Ia dikuasakan CPU Snapdragon 820 bersama gandingan hebat 6GB RAM dan storan dalaman 128GB. Dari depan, ia kelihatan seperti Galaxy S7 edge kerana vivo Xplay 5 memiliki skrin dwi-lengkung di sisi, berukuran 5.43-inci dengan resolusi super tajam Quad HD.

Kameranya pula hanya 16MP f/2.0 di belakang, yang menggunakan autofokus pengesanan fasa (PDAF). Manakala kamera depan pula, 8MP f/2.4 sahaja. Ia dibekalkan bateri yang agak besar, berkapasiti 3,600mAh dan menjalankan sistem operasi Android 6.0 Marshmallow.

Vivo Xplay 5 depan berdiri belakang baring

Vivo Malaysia baru sahaja melancarkan V3Max dan V3, yang berkongsi populariti dengan filem Captain America: Civil War. Tetapi ketibaan rasmi Xplay 5 ke Malaysia masih samar-samar. Untuk perbandingan, Xplay 5 di China berharga RMB4,288 (~RM2,647).

Kalau nak jadi yang pertama miliki telefon pintar dengan 6GB RAM, bolehlah dapatkan set AP vivo Xplay 5 ini dari kedai DirectD, atau lamanweb dalam talian DirectD.

%d bloggers like this: