Ketibaan Mi 5 ke Malaysia semakin hampir

Mi Malaysia petang ini telah menampal satu gambar di Facebook, tentang 1 2 3 4 5 yang akan tiba. Ini pasti tidak lain dan tidak bukan, memberitahu ketibaan Mi 5 ke Malaysia tidak lama lagi.

Mi 5 diperkenalkan buat pertama kali di pameran MWC 2016, yang turut menjadi pentas pertama Xiaomi di pameran mudahalih terulung di dunia. Jika ia dijual sebelum raya ini, pasti ramai yang dapat beraya dengan telefon baru Xiaomi ini nanti.

MWC 2016 - pelancaran Mi 5 - putih depan

Mi 5 adalah telefon pintar terhebat dimiliki Xiaomi kini. Dengan skrin 5.15-inci HD penuh, ia dikuasakan CPU Snapdragon 820 bersama pilihan RAM 3GB atau 4GB. Ia turut menggunakan storan dalaman UFS 2.0 yang lebih pantas dari eMMC.

Rekabentuknya seperti Mi Note versi kecil, dengan lengkuk kaca di badan belakang. Bingkainya diperbuat dari besi dengan kemasan licin menggabungkan bingkai dan kaca di belakang.

MWC2016 - Mi5 - putih hitam belakang

Kamera yang disertakan menggunakan sensor Sony 16MP f/2.0 bersama penstabil imej optikal 4-paksi di belakang. Di hadapan pula 4MP tetapi ia menggunakan piksel berukuran 2-mikron.

Mi 5 dilengkapi pengimbas capjari di depan, yang turut bertindak sebagai butang Home. Ia menyokong dua sim 4G LTE, bersama bateri sebear 3,000mAh yang dicas pantas menggunakan USB-C.

Semasa pelancaran di MWC 2016, terdapat tiga model Mi5 diperkenalkan iaitu:

  • Snapdragon 820 1.8GHz, 3GB RAM, 32GB storan dan belakang kaca – RMB1,999 (~RM1,243)
  • Snapdragon 820 2.15GHz, 3GB RAM, 64GB storan dan belakang kaca – RMB2,299 (~RM1,429)
  • Snapdragon 820 2.15GHz, 4GB RAM, 128GB storan dan belakang seramik – RMB2,699 (~RM1,678)

Di India, hanya Mi 5 dengan spesifikasi terendah sahaja dijual. Ia dijual pada harga Rp 24,999 (~RM1,525). Kalau mahu membeli lebih pantas, DirectD turut menjualnya dengan versi terendah berharga RM1,399 dan model 64GB storan pula RM1,699.

Saksikan pandangan awal kami tentang Mi 5 di MWC melalui video di bawah ini.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia