Strix GL502, Laptop Gaming Pertama Dalam Keluarga Strix

ASUS melancarkan Strix GL502, siri laptop yang pertama dalam barisan aksesori komputer yang mendukung lencana Strix. Ia dilengkapi dengan kuasa pemproses yang cukup bertenaga serta bergandingan pula dengan fizikal yang padat.

asus strix gl502 hadapan

Walaupun hanya setebal 23.5mm, Asus tidak sesekali melupakan faktor penyejuk yang mejadi kriteria penting semasa memilih komputer riba gaming. Perkakasan elektronik yang dipateri pada papan utamanya sudah tentu memuntahkan laha yang panas semasa menjalankan permainan. Oleh sebab itu, dua kipas masing-masing khas untuk GPU dan CPU dimuatkan Asus untuk mengekalkan suhu mesin pada tahap optimum.

Strix GL502 memiliki paparan 15.6″ beresolusi 4K (3840×2160). Tugas memproses grafik dikemudikan oleh NVIDIA Geforce GTX 970M dengan ruang VRAM GDDR5 seluas 6GB. Pada bahagian Unit Pemprosesan Pusat (CPU), ia menggunakan pemproses Intel Core i7 generasi ke-6 beserta RAM DDR4 16GB yang boleh dipertingkat menjadi 32GB. Sekeping SSD 128GB disertakan bersama HDD 1TB untuk diisi dengan pelbagai jenis permainan.

Papan kekuncinya mempunyai lampu latar merah untuk membangkitkan suasana bermain di dalam ruang yang malap. Kekunci WASD diberi warna merah menyala, berlainan daripada kekunci yang lain untuk memudahkan peminat genre FPS mencapai kekunci itu dengan pantas. Ia memiliki satu port USB-C dan 3 port USB 3.0.

Mesin permainan mudah alih seberat 2.24kg ini telah mula dijual di Malaysia pada harga RM6999. Sila layari laman produk ini untuk maklumat lanjut.

asus strix gl502 spesifikasi