Razer Lancar 4 Aksesori Komputer Dengan Tema Overwatch

Bersempena dengan permainan yang bakal dilancarkan oleh Blizzard bulan hadapan, Razer melancarkan satu set aksesori permainan bertemakan permainan tersebut. Overwatch adalah FPS berbilang pemain dalam talian yang menampilkan 21 karakter. Berlatarbelakangkan masa hadapan, sepasukan enam wira akan bertempur dengan pasukan yang lain untuk menyelesaikan objektif tertentu. Peperangan berlaku di seluruh dunia seperti Mesir, London, China dan banyak lagi.

razer keyboard overwatch 2

Papankekunci Razer Black Chroma versi Overwatch mempunyai lampu latar yang bergerak balas dengan perkara yang terjadi di atas skrin. Misalnya, jika terkena tembakan, lampu akan berkelip merah. Kekunci mekanikalnya dicetuskan dengan daya setinggi 50g untuk memberikan pengalaman berperang yang lebih nyata. Kekuncinya juga tahan lama dan telah diuji sehingga 80 juta kali tekanan. Jika sesuatu keadaan memerlukan pemain menekan banyak kekunci sekali gus, fungsi anti-ghostingnya boleh menampung sehingga 10 kunci serentak.

razer manowar overwatch 2

Overwatch Razer ManO’War TE pula adalah sebuah fon kepala yang direka untuk memberi keselesaan walau dipakai berjam-jam lamanya. Pemacu fon kepala ini besar sekali, berukuran 50mm dan berupaya menghasilkan bunyi yang halus dan jelas. Komunikasi dengan rakan sepasukan amat mudah dengan kehadiran mikrofon jenis MEMS yang rintang inteferens. Ia boleh diluncur masuk ke dalam badan utama jika tidak diperlukan.

razer mouse overwatch 2

Tetikus juga diperkenalkan dalam set Razer Overwatch ini. Ia datang daripada model Deathadder Chroma. Razer Deatchadder Chroma Overwatch memiliki sensor optik dengan kejituan 10 ribu DPI pada bahagian bawahnya. Pada pencahayaan, lampu LED pada bahagian atas boleh diprogramkan untuk memancarkan salah satu daripada 16.8 juta warna. Seperti papankekunci dalam set ini, lampu pada tetikus ini jugak bergerak balas terhadap situasi pada skrin seperti jenis karakter yang digunakan semasa bermain.

razer mousepad overwatch

Melengkapkan set aksesori ini, sekeping alas tetikus juga dilancarkan. Razer Goliathus Extended Overwatch mempunyai dimensi seluas 92cm x 29cm. Ruang legar untuk tetikus yang ditawarkan alas tetikus ini sangat luas, cukup untuk tetikus merayau-rayau tenpa tergelincir di pinggir alas.

Tetikus Razer DeathAdder Chroma Overwatch akan mula dijual pada 3 Jun manakala ahli-ahli yang lain akan mula dijual 2 Jun. Belian boleh dibuat melalui kedai dalam talian mereka, RazerZone. Mereka juga menyediakan penghantaran percuma ke Malaysia untuk pembelian sekurang-kurangnya RM 359. Harga jualan mereka adalah seperti berikut:

  1. Tetikus Razer DeathAdder Chroma Overwatch – RM 399
  2. Alas Tetikus Razer Goliathus Speed Overwatch – RM 179
  3. Papan Kekunci Razer Blackwidow Chroma Overwatch – RM 899
  4. Fon Kepala Overwatch Razer ManO’War TE – RM 519

Untuk maklumat lanjut tentang aksesori komputer edisi Overwatch, sila layari laman rasminya.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: