Perbandingan Kamera Huawei P9 dibantu Leica Menentang Galaxy S7 edge, iPhone 6s Plus dan Lumia 950.

Huawei tampil menggegarkan dunia peranti mudahalih, apabila mengumumkan kerjasama dengan pakar kamera terkemuka dunia, Leica. Kerjasama ini direalisasikan buat pertama kalinya di dalam telefon pintar terbaru, Huawei P9.

Menurut Huawei, Leica turut sama berkongsi pengalaman dan menyelia penghasilan Huawei P9, sehingga ia benar-benar mencapai standard yang dimahukan Leica. Hanya dengan itu, melayakkan Huawei P9 membawa logo Leica bersamanya.

Sekarang, apakah benar kamera Huawei P9 dengan kerjasama Leica ini, benar-benar hebat? Di sini, kami bandingkannya dengan tiga lagi telefon pintar utama masakini iaitu Apple iPhone 6s Plus, Microsoft Lumia 950 dan kamera telefon kegemaran kami, Samsung Galaxy S7 edge.

Pencabar terbaru, Huawei P9 mempunyai dwi-lensa kamera belakang 12MP, bersama autofokus lazer dan dwi-LED flash. Tetapi Huawei P9 tidak memiliki penstabil imej optikal (OIS), menjadikannya kekurangan terbesar berbanding 3 telefon yang lain. Apertur juga agak kecil, f/2.2 tetapi saiz piksel yang agak besar, 1.25-mikron menjadikan tangkapan rendah cahaya masih bagus.

Perbandingan gambar kamera Huawei P9 - dwi-lensa kamera

Lensa kedua kamera Huawei P9 bukan merakam tahap kedalaman seperti kebanyakan dwi-lensa kamera telefon lain, tetapi ia berfungsi merakam gambar monokrom dalam resolusi 12MP. Menurut Huawei, ia merakam lebih ketelitian dengan gabungan sensor warna RGB. Kamera selfie pula 8MP f/2.4, agak sama dengan Nexus 6P.

Bagi Apple iPhone 6s Plus, kamera iSight 12MP f/2.2 di belakang sering menerima pujian ramai. Ia dipadankan bersama dwi-LED Flash dan OIS. Saiz pikselnya juga agak besar, sebesar 1.22-mikron. Untuk kamera depan, ia menggunakan sensor FaceTime HD 5MP yang mempunyai bantuan kecerahan Retina Flash.

Microsoft membawakan sensor PureView 20MP bagi kamera belakang Lumia 950. Aperturnya sebesar f/1.9 yang dibantu bukan dua, tetapi tiga Flash LED. Resolusinya memang sangat tinggi, tetapi saiz piksel agak kecil, hanya 1.12-mikron. Tangkapan selfie pula diuruskan oleh sensor 5MP f/2.4.

Akhir sekali adalah Samsung Galaxy S7 edge yang sangat kami minati. Sensor dwi-piksel 12MP di belakang diaktifkan semudah menekan butang home dua kali sahaja. Fokusnya juga super pantas. Ia ditambah dengan apertur terbesar f/1.7 di lensa depan dan belakang. Kamera belakang ini dibantu OIS bersama saiz piksel terbesar jua, 1.4-mikron. Sensor 5MP terdapat di kamera depan, bersama skrin bercahaya untuk selfie lebih cerah.

Semua telefon ini ditetapkan pada mod auto, dengan LED Flash dipadamkan. Dan ujian tangkapan gambar bermula.

 

[MUKA 2: Perbandingan gambar di luar dan di dalam bangunan]

[nextpage title=”Perbandingan gambar di luar dan di dalam bangunan”]

NOTA: Klik gambar untuk melihatnya lebih besar. Klik pautan di bawah gambar untuk melihat gambar asal yang tidak diedit.

Gambar 1 (Dalam Bangunan)

Perbandingan gambar kamera Huawei P9 - Gambar 01

Gambar asal: iPhone 6s Plus, Lumia 950, Huawei P9, Galaxy S7 edge

Latar berwarna-warni ini dengan pencahayaan lampu berwarna kuning, Huawei P9 dilihat menghasilkan kontras warna lebih baik. Manakala Galaxy S7 edge memberikan keseimbangan keputihan lebih baik. iPhone 6s Plus agak bagus tetapi warnanya kurang bertenaga. Lumia 950 pula memberi lebih ketelitian, tetapi agak gelap berbanding yang lain.

Gambar 2 (Luar Bangunan)

Gambar asal: iPhone 6s Plus, Lumia 950, Huawei P9, Galaxy S7 edge

Gambar 3 (Luar Bangunan)

Perbandingan gambar kamera Huawei P9 - Gambar 02

Gambar asal: iPhone 6s Plus, Lumia 950, Huawei P9, Galaxy S7 edge

Tangkapan di luar bangunan ini, memberi kelebihan kepada Lumia 950 dengan resolusi 20MP. Ia merakam lebih ketelitian. Tiga lagi kamera yang lain memberikan hasil yang memuaskan. Huawei P9 dan Galaxy S7 edge dilihat mempunyai pemproses tambahan, yang menajamkan gambar.

Gambar 4 (Luar Bangunan)

Perbandingan gambar kamera Huawei P9 - Gambar 03

Gambar asal: iPhone 6s Plus, Lumia 950, Huawei P9, Galaxy S7 edge

Hasil gambar kereta ini tidak banyak berbeza. Lumia 950 sekali lagi dilihat lebih baik kerana resolusi tinggi 20MP.

Gambar 5 (Makro)

Perbandingan gambar kamera Huawei P9 - Gambar 05

Gambar asal: iPhone 6s Plus, Lumia 950, Huawei P9, Galaxy S7 edge

Dalam tangkapan dekat ini, Galaxy S7 edge menghasilkan gambar lebih cerah dengan bantuan apertur yang besar. Tetapi P9 dilihat mempunyai penghasilan warna yang lebih asli.

 

[MUKA 3: Perbandingan gambar rendah cahaya dan selfie]

[nextpage title=”Perbandingan gambar rendah cahaya dan selfie”]

NOTA: Klik gambar untuk melihatnya lebih besar. Klik pautan di bawah gambar untuk melihat gambar asal yang tidak diedit.

Gambar 6 (Rendah cahaya)

Perbandingan gambar kamera Huawei P9 - Gambar 06

Gambar asal: iPhone 6s Plus, Lumia 950, Huawei P9, Galaxy S7 edge

Seperti yang dijangka, Galaxy S7 edge dengan apertur f/1.7 menghasilkan tangkapan rendah cahaya yang paling cerah dan paling kurang kabur. Huawei P9 agak ketinggalan berbanding yang lain, berkemungkinan kerana apertur f/2.2 yang jauh lebih kecil.

Gambar 7 (Selfie)

Perbandingan gambar kamera Huawei P9 - Gambar 07

Gambar asal: iPhone 6s Plus, Lumia 950, Huawei P9, Galaxy S7 edge

Untuk gambar selfie ini, Galaxy S7 edge mempunyai lebih pendedahan cahaya sambil mengekalkan ketelitian. Seperkara lagi, Galaxy S7 edge juga mempunyai lensa selfie lebih lebar berbanding yang lain, satu kelebihan untuk selfie beramai-ramai.

Kesimpulan

Dari ujian awal gambar ini, Huawei P9 menghasilkan gambar yang sangat menarik, boleh dibariskan di kalangan kamera terbaik di telefon pintar. Tetapi, ia dilihat masih tidak mampu menewaskan Galaxy S7 edge. Tangkapan gambarnya memuaskan dalam kebanyakan masa, walaupun tiada OIS. Bagi tangkapan rendah cahaya, Huawei P9 agak ketinggalan dengan apertur kecil f/2.2.

Dari hasil tangkapan gambar ini, Galaxy S7 edge masih mendahului yang lain. Malah, ia mengambil gambar lebih pantas, sesuatu yang tak dapat kami tunjukkan di sini.

Apa pandangan anda dengan kualiti gambar Huawei P9 yang menerima bantuan kejuruteraan Leica ini? Cuba tinggalkan komen sikit.

 

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: