TIME Internet dan TM UniFi bergaduh di Facebook?

Salah satu perang paling sengit di Malaysia sekarang, adalah perang internet jalur lebar. Paling sengit sekali, pastinya perang internet mudahalih di antara Celcom, Digi, Maxis, U Mobile dan beberapa penyedia lain. Tapi, internet talian tetap pun tak kurang dahsyatnya.

Tahun ini, perang internet jalur lebar tetap bermula dengan TIME menawarkan internet berkelajuan 500Mbps di rumah, menjadikan pelan 100Mbps mereka lebih murah, hanya RM149 sebulan.

Kemudian datang pula Maxis memberi servis tambahan Maxperts untuk pelan MaxisONE Home 100Mbps mereka, yang dicaj RM398 sebulan. Akhir sekali, TM muncul dengan pelan UniFi Pro, memberi kelajuan 100Mbps di rumah berharga RM329. Kedua-dua pelan ini nampak lagi mahal dari TIME Internet kan?

Untuk menambah kehangatan, TIME Internet meraikan ketibaan servis baru Maxis Maxperts dan juga TM UniFi Pro 100Mbps dengan ucapan tahniah di Facebook TIME Internet. TIME mengucapkan tahniah kepada Maxis yang melancarkan MaxisONE Home dengan kelajuan internet yang pantas. Tapi ucapan untuk TM UniFi sedikit berbeza.

Facebook TIME Internet - mengutuk TM UniFi

Facebook TIME Internet mengucapkan hello kepada TM Everyone Connects (Facebook untuk TM), dengan ucapan, TM lambat sampai ke parti tapi TIME masih gembira dengan kedatangan TM. Ada macam bunyi sarkastik?

Apa yang menjadi menariknya adalah, apabila TM membalas ucapan Facebook TIME Internet tersebut. TM (melalui akaun Facebook Everyone Connects), mengucapkan terima kasih tetapi hairan bagaimana untuk berparti dengan TIME Internet, kerana TIME selalu tiada.

Adakah ini ucapan sarkastik TM kepada TIME, yang mempunyai liputan yang sangat kecil? Ramai mengetahui pelan TIME Internet jauh lagi murah dari MaxisOne Home dan TM UniFi. Tapi talian internet TIME hanya terdapat di tempat sangat terpilih, kebanyakannya di kawasan elitis sahaja.

Tetapi tidak lama kemudian, TIME membalas semula dan mengatakan mereka tidak mengambil duit pembayar cukai sebanyak RM1.4 billion??? Betul ke ni TIME? Tiba-tiba berucap seperti ahli politik yang berhormat? Nak paksa orang makan cili, tapi sendiri tak boleh nak makan cili?

Facebook TIME Internet - TIME membalas selepas TM balas

Secara kasar, TIME internet hanya terdapat di 250,000 rumah, berbanding TM UniFi yang tersedia di 1.8 juta rumah di Malaysia. Lebih kurang 15% sahaja capaian TIME berbanding TM UniFi. Mungkin luas liputan ini berkaitan dengan keputusan kerajaan. Tetapi sebagai sebuah syarikat perniagaan, perlukah TIME membuat komen sebegini? Mungkin TIME perlukan wakil di parlimen memperjuangkan hak mereka mendapat lebih banyak liputan?

Peperangan antara syarikat seperti ini, sering memberi faedah kepada pengguna. Tetapi jika perlu memilih sisi, adakah anda akan memeprtahankan TIME, atau turut sama dengan TM UniFi? Atau jadi pihak ketiga seperti Maxis dan buat tak tahu sahaja?

[SUMBER]

https://youtu.be/7vqDxv2qiYw

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia