Test Produk – Wiko Highway Pure, nipis ringan berkilauan

KELEBIHAN

+ sangat ringan
+ sangat nipis
+ edisi khas dengan kristal swarovski

KEKURANGAN

– kuasa kelas rendah
– bezel tebal
– bateri kecil tanpa pengecas pantas

Pengenalan

Wiko adalah satu jenama baru di Malaysia, tetapi ia bukanlah satu nama yang baru di peringkat antarabangsa. Wiko berasal dari Perancis, dan merupakan salah satu dari jenama yang paling banyak terjual di sana.

Wiko tiba di Malaysia awal tahun ini, dengan tiga model telefon pintar iaitu Lenny 2 yang sangat mampu milik, Fever yang berkuasa tinggi dan Highway Pure yang sangat bergaya. Apa yang lebih menarik, Wiko membawa edisi khas Highway Pure, yang bertatahkan kristal swarovski di butang kuasa dan kawalan bunyi. Menurut Wiko, Malaysia adalah satu-satunya negara menjual versi swarovski ini.

Menarik bunyinya. Jadi, kami bawa telefon pintar ini bersiar-siar untuk dipandu uji.

Test Produk Wiko Highway Pure - depan belakang karpet biru

 

[MUKA 2: Rekabentuk, Prestasi dan Kamera]

[nextpage title=”Rekabentuk, Prestasi dan Kamera”]

Rekabentuk

Test Produk Wiko Highway Pure - dalam tangan skrin depan

Satu perkara yang dipersetujui ramai apabila memegang Wiko Highway Pure ini, adalah beratnya. Ianya sangat ringan, hanya 98 gram termasuk bateri. Ini adalah telefon pintar pertama yang kami pegang, mempunyai berat kurang dari 100 gram.

Perkara kedua pula, adalah ketebalan telefon ini. Ianya sangat nipis, 5.1mm tebal. Ia masih tidak dapat menandingi kenipisan OPPO R5 iaitu 4.85mm, tetapi ia masih sangat nipis. Wiko turut menyertakan casing plastik keras secara percuma di dalam kotak, yang melindungi belakang Highway Pure. Tapi ia tidak menjejaskan kenipisannya.

Walaupun nipis, Highway Pure adalah telefon yang agak sedap dipegang. Binaan kerangka besinya terasa padu dan padat. Tidak ada lompong atau ruang kosong dirasakan, memberi rasa yang sangat premium.

Test Produk Wiko Highway Pure - dalam tangan belakang

Wiko melengkapkan bahagian belakang Highway Pure dengan kaca Corning Gorilla Glass 3. Sebagai perlindungan tambahan, kaca depan dan belakang dipasang siap dengan pelindung skrin. Malah, kamera belakangnya tiada bonjolan. Rekabentuk yang sangat menarik.

Watak utama pada rekaan Highway Pure edisi khas Malaysia ini, pastinya adalah 16 batu kristal Swarovski Zirconia yang terletak di butang kiri dan kanan telefon. Menarik bunyinya kan? Seperti tudung bawal yang dipasang batu kristal Swarovski, menjadikan harganya mencecah RM5,000.

Cuma, kristal Swarovski Zirconia yang ditampal pada butang Highway Pure ini, tidak berapa menarik perhatian ramai. Kami cuba memberi telefon pintar ini kepada beberapa orang wanita dan meminta komen mereka tentang rekabentuk telefon ini. Tiada yang menyebut tentang kilauan di butang, sehinggalah diberitahu. Mungkin lebih banyak batu Swarovski Zirconia diperlukan untuk menarik perhatian.

Test Produk Wiko Highway Pure - sisi kanan butang swarovski 003

Dengan kenipisan peranti, ia memerlukan pengorbanan. OPPO R5 yang paling nipis, terpaksa membuang port audio 3.5mm untuk mencapai kenipisan 4.85mm. Wiko Highway Pure tidak melakukan perkara yang sama, tetapi dapat dilihat ruang bukan skrin lebih besar dari biasa.

Contohnya, ruang di bawah skrin tidak digunakan langsung. Tiga butang utama, terletak di atas skrin, bukannya menjadi butang kapasitif di bawah skrin. Ini menjadikannya kosong tiada kegunaan. Ia mungkin tidak memberi sebarang makna, tetapi jika ia boleh dinipiskan dengan menjadikan skrin lebih besar, atau meletakkan butang kapasitif atau pembesar suara di depan, ia kelihatan lebih berguna.

Test Produk Wiko Highway Pure - ruang kosong besar di bawah

 

Kuasa Dalaman dan Pengecasan

Prestasi tinggi bukanlah sasaran Highway Pure dihasilkan. Ini dapat dilihat apabila Wiko hanya menggunakan CPU kelas permulaan, iaitu Snapdragon 410 64-bit di dalamnya. Ia ditambah lagi dengan 2GB RAM yang dilihat agak biasa, tetapi storan dalamannya sebesar 32GB. Ia pasti boleh mengisi ribuan selfie. Tetapi tiada slot kad mikroSD disediakan, maka pemberian storan lebih besar sangat dialu-alukan.

Wiko Highway Pure menjalankan sistem operasi Android 5.0.2 Lollipop. Antaramukanya pula dinamakan Wiko Highway Pure L Version 8, menurut tetapan ‘About Phone’. Secara kasar, seperti tiada beza antaramuka ini dengan Android sejati. Cuma yang paling ketara, ialah tiadanya ‘Apps Drawer’.

Hanya terdapat satu slot kad sim di telefon ini, yang boleh diakses dengan mencucuk jarum atau pin di sebelah kanan telefon. Ia menyokong rangkaian 4G LTE CAT4, dengan kelajuan muat turun mencecah 150Mbps, dan muat naik 50Mbps.

Test Produk Wiko Highway Pure - dalam tangan belakangtabir putih

Wiko meletakkan pembesar suara Highway Pure di belakang. Walaupun kualitinya mungkin tidak sebaik pembesar suara di depan atau di bawah, tetapi ia sangat lantang. Untuk mendengar lagu di khalayak ramai, ia bukan masalah untuk telefon ini.

Bateri pula hanyalah 2,000mAh, dan tiada pengecasan pantas. Pengecas yang diberikan mempunyai kuasa pengeluaran 5V 1A sahaja. Mungkin nampak kecil, tetapi Snapdragon 410 adalah CPU yang jimat tenaga. Cuma, masa mengecasnya agak lama. Walaupun hanya 2,000mAh, ia mengambil masa 2 jam untuk dicas sepenuhnya.

Test Produk Wiko Highway Pure - spesifikasi about phone

 

Kamera

Tiada yang boleh dibanggakan sangat dengan spesifikasi kamera Highway Pure. Kamera depannya 8.0MP dengan apertur f/2.0. Ia digandingkan dengan satu LED Flash. Sudah pasti ia datang dengan autofokus, tetapi bukannya pengesanan fasa yang lebih pantas. Kamera depan pula, 5MP f/2.4 dengan fokus tetap.

Aplikasi kamera di Highway Pure agak mudah digunakan. Apabila dipegang secara mendatar, pilihan kamera, video dan galeri gambar tersusun di sebelah kanan. Manakala tetapan lain seperti Flash dan mod di sebelah kiri. Tetapan pendedahan (exposure) tidak terdapat terus di atas skrin, berbeza dengan Samsung atau Xiaomi. Jika ia boleh diakses pantas, pasti gambar boleh diambil dengan lebih cerah, atau gelap mengikut keperluan.

Kamera ini menyokong mod HDR untuk gambar yang lebih menarik. Tetapi proses HDR agak mengambil masa, dan memerlukan tangan kekal stabil semasa HDR diproses. Jika tidak, gambar akan menjadi kabur.

Mod profesional pula memberi akses kepada beberapa kawalan manual, tetapi tiada kawalan fokus. Tetapan pendedahan boleh diubah di sini, termasuk tetapan ISO dan keputihan.

Untuk kamera depan, telah menjadi kewajipan untuk datang bersama mod kecantikan Beautify. Selain itu, kamera depan ini juga memiliki mod selfie lebar, atau selfie panorama.

Untuk video, kedua-dua kamera depan dan belakang boleh merakam video sehingga resolusi HD Penuh 1080p.

Test Produk Wiko Highway Pure - antaramuka aplikasi kamera

 

Ujian Prestasi

Dengan kuasa CPU Snapdragon 410 sahaja, tidak perlu berharapkan prestasi yang tinggi padanya. Tetapi, telefon ini tidak memiliki lengah yang sangat nyata. Secara keseluruhan, ia memberi pengalaman penggunaan yang baik.

Tetapi, ujian prestasi tetap akan dijalankan. Menurut Antutu, Wiko Highway Pure menerima markah 26,422 sahaja. Ini meletakkannya jauh dari peranti kelas pertengahan lain, apatah lagi kelas atasan.

Test Produk Wiko Highway Pure - ujian Antutu

Bagi ujian Geekbench 3 pula, markah untuk teras tunggal hanyalah 466. Manakala markah untuk teras pelbagai pula 1,388. Markah ini setara dengan CPU Snapdragon S4 Pro, CPU kelas utama 3 tahun lalu. Tidak banyak boleh diperkatakan tentang hasil ujian prestasi ini.

Test Produk Wiko Highway Pure - ujian Geekbench 3

Kami turut cuba bermain game intensif dengan telefon ini. Game perlumbaan Asphalt 8 menjadi pilihan. Agak mengagumkan, permainan berjalan sangat lancar tanpa tersangkut-sangkut. Tetapi ia boleh berjalan dengan lancar, kerana kualiti telah diturunkan. Bermain dengan lancar, tanpa latarbelakang dan rekaan kereta berkualiti tinggi.

 

[MUKA 3: Kesimpulan dan Galeri Gambar]

[nextpage title=”Kesimpulan dan Galeri Gambar”]

Kesimpulan

Telefon pintar Highway Pure oleh Wiko ini memang mempunyai kehebatan tersendiri yang jarang dilihat di telefon pintar lain. Rekaan yang senipis ini, sememangnya mampu menarik perhatian orang sekeliling lantas bertanyakan tentangnya. Cuma, gimik tambahan Swarovski Zirconia ini masih tidak cukup kuat.

Seperkara lagi, adalah lebih baik untuk Wiko membekalkan kuasa prestasi sekurang-kurangnya di kelas pertengahan, bagi peranti yang memfokuskan tentang gaya. Selain kecantikan luaran, kuasa dalaman juga harus lebih baik dari kelas asas, agar ia tidak mengurangkan impak positif yang diberikan selepas memegangnya.

Secara keseluruhan, Highway Pure adalah satu peranti yang sangat bergaya dengan badan besi nipis dan ringan. Kapasiti bateri memang terpaksa dikorbankan untuk mencapai tahap senipis ini, tetapi jika ia dilengkapi pengecasan pantas, pasti mengurangkan keresahan bateri yang hampir habis.

Jika anda ingin mencari telefon pintar yang bergaya dan unik tanpa perlukan kuasa tinggi, Wiko Highway Pure adalah pilihan terbaik. Pasti sukar untuk melihat orang di sekeliling menggunakannya, malah edisi khas Swarovski ini tidak boleh dibeli di negara luar selain Malaysia. Berminat? Ia boleh dibeli pada harga RM999 termasuk GST. Rujuk lamanweb Wiko Malaysia untuk maklumat lanjut.

Test Produk Wiko Highway Pure - sisi kiri butang swarovski 001 Test Produk Wiko Highway Pure - sisi kanan butang swarovski 002 Test Produk Wiko Highway Pure - sisi atas kosong Test Produk Wiko Highway Pure - sisi bawah USB dan audio

 

Galeri Gambar Kamera

klik untuk gambar asal

Kamera Wiko Highway Pure - dalam 001Dalam bangunan

Kamera Wiko Highway Pure - dalam 002Dalam peti sejuk

Kamera Wiko Highway Pure - dalam 003Dalam bangunan malap

Kamera Wiko Highway Pure - dalam 004Dalam bangunan cerah

Kamera Wiko Highway Pure - luar 001 HDRLuar bangunan cerah dengan HDR

Kamera Wiko Highway Pure - luar 001Luar bangunan cerah tanpa HDR

Kamera Wiko Highway Pure - luar 002Luar bangunan cerah

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: