Penggunaan aksesori murahan mungkin boleh meragut nyawa anda

Satu kisah tragis memulakan awal minggu ini, apabila berita tentang seorang wanita, Suhana Mohamad yang dilaporkan meninggal dunia kerana terkena kejutan elektrik. Beliau sedang menggunakan telefon pintar yang sedang dicas, ketika kejadian itu.

Ini adalah satu kes yang melibatkan penggunaan pengecas yang tidak dijamin keselamatannya. Menggunakan telefon pintar semasa dicas, adalah perkara yang biasa dilakukan orang ramai. Tetapi ia menjadi merbahaya, apabila menggunakan aksesori yang tidak mematuhi syarat keselamatan.

Aksesori murah dari pihak ketiga, sering menjadi pilihan berbanding aksesori asli yang lebih mahal. Apatah lagi, ia hanya pengecas sahaja. Kenapa perlu membayar lebih untuk pengecas kan?

Honor 6 charger

Sebenarnya, aksesori pihak ketiga yang sangat murah ini, tidak memenuhi standard keselamatan yang ditetapkan pihak berkuasa, seperti SIRIM di Malaysia. Ini sering berlaku kepada bateri dan pengecas murahan yang dijual di tempat seperti pasar malam, atau gerai tepi jalan. Malah, banyak kedai aksesori di pusat membeli-belah, turut menjual aksesori sebegini.

Aksesori asli, akan memiliki mekanisma perlindungan yang memastikan ia tidak meletup atau terbocor arus elektrik. Jika berlaku masalah dengan aksesori asli, pengeluar akan mengeluarkan notis pembaikan atau menarik semula produk dari pasaran, sepertimana yang Microsoft lakukan kepada kabel kuasa Surface Pro yang bermasalah.

Bukan pertama kali masalah yang meragut nyawa ini berlaku, lebih-lebih lagi masalah bateri meletup yang acapkali terjadi. Sentiasa pastikan anda menggunakan aksesori asli, yang dijamin keselamatannya. Perkara ini tidak terhad kepada telefon pintar sahaja, malah dalam apa jua produk elektrik dan elektronik.

Jangan kerana ingin menjimatkan beberapa ringgit, keselamatan diri diabaikan.

[SUMBER: 1, 2]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: