IC hilang? begini cara gantinya…

Salah satu langkah yang seharusnya ada dalam sektor kerajaan adalah memanfaatkan internet sepenuhnya dalam urusan dengan rakyat.

Jabatan Pendaftaran Negara atau JPN antara yang serius dalam memanfaatkan internet dalam memudahkan urusan yang mana rakyat boleh melakukan transaksi melibatkan urusan harian hanya di depan komputer atau telefon semata-mata.

Misalnya, jika anda kehilangan kad pengenalan, tidak lagi perlu ke kaunter dan beratur namun hanya perlu memohon kembali dalam talian di laman web JPN. Kemudian sila lihat ruang ‘Atas Talian’ dan klik pada ‘Mohon Gantian Bagi MyKad Anda’. Bukan itu saja, malah beberapa perkhidmatan lain juga ditawarkan.

Pendaftaran JPN secara dalam talian

Setelah anda klik pada mana-mana pilhan, anda perlu memasukkan log dan jika belum mendaftar, anda boleh berbuat demikian dengan memasukkan beberapa butiran saja.

Kemudian, sahkan log masuk anda melalui emel dan kemudian anda sudah boleh membuat urusan bagi menggantikan kad pengenalan. Namun, anda perlu membayar fi kad pengenalan tersebut terus ke dalam talian dan bukannya bayaran secara tunai.

Proses permohonan gantian kad pengenalan agak pantas

Di laman Rekod Transaksi, Pengguna akan dipaparkan senarai rekod transaksi bagi setiap permohonan gantian yang pernah dimohon. Terdapat dua tahap status bagi permohonan yang sudah berjaya dikemaskini pembayarannya di JPN iaitu, tahap status “Dalam Proses” bagi permohonan yang masih belum berjaya dikemaskini status pembayarannya di JPN dan; tahap status “Cetak” menunjukkan status pembayaran telah berjaya dikemaskini di JPN dan resit telah sedia dicetak oleh pengguna/pemohon.

Anda boleh pilih untuk mengambil kad pengenalan anda di mana-mana lokasi pejabat JPN yang terdekat.

Laman web gantian MyKad ini hanya menyediakan perkhidmatan penggantian MyKad yang terhad kepada 4 jenis penggantian sahaja iaitu :
1. Gantian kad rosak
2. Gantian cip rosak
3. Gantian biasa (menaiktaraf cip dari 32k/64k ke 80k)
4. Gantian disebabkan kehilangan (tidak lebih 4 kali)

Hanya pembayaran menggunakan kad kredit sahaja dibenarkan. Penggantian MyKad bagi pemilik yang belum menggantikan MyKad selepas berumur 18 tahun tidak boleh dilakukan di laman web ini (Peraturan 18). Pemilik diminta untuk hadir ke kaunter JPN terdekat bagi proses penggantian tersebut.

MyKad merangkumi aplikasi utama 8+1 (dalam cip) dengan akses yang pantas dan selamat dalam menjalankan pelbagai transaksi elektronik seperti pengesahan identiti, kesihatan, pembayaran, pengaksesan, perniagaan dan servis peruncitan.

Ciri keselamatan termasuklah pengesahan menggunakan kekunci simetri kriptografi, sistem operasi pelbagai lapisan dengan ‘firewall’ serta landasan cip yang selamat. MyKad menggunakan menggunakan dua jenis teknologi biometrik bagi tujuan pengenalan diri. Biometrik yang digunakan adalah gambar berwarna pemegang kad dan Sijil Digital untuk pengesahan diri.

Mahu mencuba? Klik https://mykadganti.jpn.gov.my/login.php