EOS-1D X Mark II Sedia Harungi Olimpik Rio 2016

Canon Malaysia hari ini memperkenalkan raja EOS terbaharu, EOS 1D X Mark II. Kamera ini dibangun untuk menggantikan versi pertamanya yang dilancarkan pada Oktober 2011, sejurus sebelum Sukan Olimpik London 2012 berlangsung. Pada kali ini, Canon masih ingin meneruskan usaha mereka untuk menyediakan perkakasan fotografi terbaik buat kalangan jurugambar professional di luar sana.

EOS 1D X Mark II kali ini disiapsiagakan oleh Canon untuk mengharungi Sukan Olimpik Rio yang akan berlangsung pada 5 hingga 21 Ogos ini. Canon memberi jaminan kamera ini tidak akan menghampakan penggunanya kerana setiap inci perkakasannya adalah versi yang ditambah baik daripada sebelumnya.

DSCF6547

EOS 1D X Mark II dilengkapi dengan sensor CMOS bingkai penuh baharu yang dibangunkan Canon. Sebanyak 20.2 juta piksel dipadatkan padanya. Kehadiran dua pemproses imej DIGIC 6+ pula membolehkan prestasi ISO ditingkatkan jauh melangkaui versi Mark I,  daripada 204,800 kepada 409,600.

Setiap bahagian EOS 1D X Mark II dihasilkan dengan ciri ketahanan padanya. Misalnya, jangka hayat mekanisme pengatupnya (shutter mekanism) boleh bertahan sehingga 400,000 pusingan. Badan aloi magnesium serta perlindungan daripada cuaca menjadikannya lebih tegap.

Jurugambar sukan dan hidupan liar pasti menggemari ciri yang seterusnya. Dual Pixel Autofokus (DAF) yang pertama sekali hadir pada EOS 70D telah hadir pada EOS 1D Mark II baharu ini. Dengan bantuan 61 titik autofokus, tumpuan sepenuhnya boleh diberikan pada komposisi. Sehingga 14 gambar boleh ditangkap dalam masa sesaat dan kamera masih mampu tetap meletakkan subjek pada titik fokus. Pemidangnya (viewfinder) pula mencakupi 100% pandangan lensa kamera.

DSCF6556

Kebolehan merakam video pada EOS 1D X Mark II tidak kurang hebatnya. Dengan perkakasan yang mantap, video berkualiti 4K mampu dirakam pada kadar sepantas 60 bingkai sesaat (fps) atau HD sepantas 120 fps. Bukan itu sahaja, pengguna boleh menyimpan gambar pegun daripada video 60 fps pada resolusi kira-kira 8.8 megapiksel daripada mana-mana bingkai yang menarik perhatian anda

Selain itu, penerima isyarat GPS juga disertakan dengan tujuan meletakkan tag koordinat pada gambar. Tidak perlu lagi melakar peta untuk menandakan harta karun. Petik gambar dan simpan sebagai petanya.

Harga rasmi EOS 1D X Mark II baharu yang diumumkan adalah RM 25,299.

%d bloggers like this: