Canon Perkemas Semua Produk Kamera dan Pencetak SELPHY Mereka

Pada acara pelancaran EOS 1D X Mark II juga, Canon Malaysia memperkenalkan sejumlah produk untuk melengkapkan liputan tawaran mereka daripada golongan amatur hinggalah professional.

EOS 80D dan EOS 1300D

canon eos 1300d 80d

Canon EOS model dua digit ditujukan khas untuk jurugambar separa professional. EOS 80D adalah pengganti 70D dan ia membawakan beberapa pembaharuan menarik berbanding abangnya. Pertama sekali adalah sensornya ditambah baik kepada 24 megapiksel. Selain itu, bilangan titik fokus sebanyak 45 adalah satu pertambahan yang mendadak daripada 19 titik sebelumnya. Bagi meningkatkan prestasi keseluruhannya, pemproses imej DIGIC 6 digunakan. Beberapa konfigurasi disediakan untuk dibeli:

1. EOS 80D (Badan) = RM4,899
2. EOS 80D (EF-S 18-55 IS STM) = RM5,499
3. EOS 80D (EF-S 18-135 IS USM) = RM6,699
4. EOS 80D (EF-S 18-200 IS) = RM 6,899

Buat pengguna yang baru berjinak-jinak dengan kamera DSLR tetapi tidak mahu berbelanja besar, Canon juga ada menyediakan kamera yang sesuai untuk mereka. EOS 1300D ditawarkan sebagai jambatan kepada jurugambar kamera telefon pitar yang mahu meneroka dunia DSLR. Dikuasakan oleh pemproses DIGIC 4+ dan sensor APS-C sebesar 18 megapiksel, EOS 1300D mampu menghasilkan gambar dengan hingar yang minimum walaupun dalam keadaan malap. Ia dijual pada harga RM 2,099 berama lensa EF-S 18-55 IS II.

PowerShot G7 X Mark II

canon g7xm2

Siri Powershot G adalah kamera kompak premium daripada Canon. PowerShot G7 X Mark II adalah pengganti PowerShot G7 X. Seperti versi sebelumnya, PowerShot G7 X Mark II memberikan gambar yang menakjubkan melalui badan yang kompak. Kamera ini dikuasakan oleh pemproses imej paling baharu iaitu DIGIC 7.

Aperturnya yang luas (F1.8 – F2.8) memberikan imej bokeh yang menawan. Walaupun kecil, ia mampu mengezum sehingga 40 kali dan sensor CMOS sebesar 1 inci 20.1 megapiksel berkemampuan menangkap foton cahaya walaupun dalam keadan yang malap. Terdapat juga penstabil imej optikal (OIS) untuk memberikan gambar yang lebih tajam tanpa menggunakan tripod.

Kamera ini akan mula dijual pada Jun 2016.

PowerShot SX720 HS, SX 540 HS, dan SX420 IS

canon sx720hs sx540hs sx420is

Pengguna yang ingin kamera dengan keupayaan zum yang jauh, barisan PowerShot mampu memenuhi keperluan tersebut. PowerShot SX540 HS dan PowerShot SX420 IS mempunyai jarak zum masing-masing pada 50x (24-1200mm) dan 42x (24-1008mm). PowerShot SX720 HS pula mempunyai keupayaan zum 40x (24-960mm) dan dengan bantuan teknologi ZoomPlus daripada Canon, ia jarak zum boleh ditambah sehingga 80x.

Jika pengguna ingin merakam video, kamera ini mampu merakam gambar HD penuh pada kadar bingkai 60 sesaat pada PowerShot SX540 HS. Semua kamera PowerShot SX mempunyai Wi-Fi dan NFC untuk memudahkan perkongsian gambar antara kamera, telefon pintar dan platform Connect Station CS100.

PowerShot SX720 HS, SX 540 HS, dan SX420 IS masing-masing dijual pada RM1,459, RM1,499, dan RM909.

IXUS 175, 180, dan 285HS

canon ixus 175 180 285HS group

Dari kiri: IXUS 175, IXUS 180, dan IXUS 285HS

Keluarga IXUS juga tidak ketinggalan menerima pembaharuan yang dibawakan Canon. Sebanyak tiga kamera IXUS yang menggunakan pemproses imej DIGIC 4+ diperkenalkan. Pemproses tersebut menghasilkan imej berkualiti tinggi bersama-sama kepantasan memprosesan yang baik tetapi menggunakan tenaga yang minimum. Pengguna boleh menjangkakan hayat bateri lebih lama. Ia menawarkan jarak zum sehingga 12 kali (IXUS 285 HS).

IXUS kamera menawarkan ciri seakan DSLR dalam badan yang kompak. Mempunyai berat kurang daripada 150g, kamera siri IXUS amat sesuai dijadikan kamera harian terutamanya buat golongan amatur. IXUS 285 HS dan IXUS 180 mempunyai Wi-Fi dan NFC terbina untuk memudahkan gambar dipindahkan, manakala IXUS 175 pula menggunakan kad memori FlashAir™ dan Eye-Fi untuk memindahkan gambar secara wayarles.

Ahli IXUS terbaharu ini dijual pada harga RM399 (IXUS 175), RM599 (IXUS 180), RM799 (IXUS 285HS).

SELPHY CP1200: Pencetak gambar serba boleh

DSC_0021-01

En. Jeffrey Kung, Penolong Pengarah, Bahagian Maklumat dan Pengimejan Pengguna (CII) Canon, apabila menjawab soalan daripada wartawan tentang rasionalisasi disebalik pengenalan pencetak gambar walhal pengguna masa ini hanya melihat gambar pada skrin digital, beliau menyatakan bahawa walaupun Canon bergerak seiring dan arus modenisasi, gambar fizikal masih mempunyai pasarannya yang tersendiri.  Selain itu, Canon ingin mewujudkan satu hubungan yang kukuh antara semua produknya. Sasaran mereka adalah apabila pengguna melihat pencetak itu, mereka mengaitkannya dengan barisan kamera EOS, PowerShot, dan IXUS.

SELPHY CP1200 dijual pada harga RM499.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: