Bil melambung, apa yang TNB boleh lakukan

Baru-baru ini, pengguna internet dikejutkan dengan peningkatan mendadak bil elektrik akibat musim El Nino yang melanda negara ini.

Tenaga Nasional Berhad dalam satu kenyataan berkata permintaan tertinggi elektrik di Semenanjung Malaysia mencatatkan bacaan pada 17,788 MW pada 20 April, iaitu peningkatan sebanyak 37.82 peratus berbanding pada 1 Januari di mana bacaannya mencatat 12,906 MW.

Dalam laporan Astro Awani, agensi berita tersebut memetik TNB sebagai berkata keadaan panas pada siang hari yang meninggalkan kesan bahang sehingga ke awal pagi mempengaruhi tabiat penggunaan peralatan elektrik khususnya pendingin hawa, yang secara relatifnya menggunakan lebih banyak elektrik berbanding peralatan lain.

 

“Secara amnya, pengguna pendingin hawa lebih cenderung menurunkan suhu pada tahap lebih rendah, meningkatkan kelajuan kipas pendingin hawa dan menggunakan pendingin hawa untuk tempoh yang lebih lama,” kata TNB dalam kenyataan mereka.

 

Tambahnya, kesemua faktor ini menyumbang kepada peningkatan penggunaan elektrik secara mendadak, sekali gus memberi kesan ke atas bil elektrik pengguna.

 

“Satu kajian kes di Selangor menunjukkan penggunaan tiga unit pendingin hawa oleh seorang pengguna meningkat daripada lima jam sehari pada Disember 2015 kepada lapan jam sehari pada bulan ini.

 

“Penggunaan elektriknya meningkat 40 peratus daripada 428kwh kepada 598kwh. Kenaikan ini menyebabkan bilnya meningkat daripada RM125.52 kepada RM231.69,” tambahnya.

Aplikasi MyTNB

TNB mempunyai aplikasi yang dinamakan MyTNB yang membolehkan anda menyemak bil elektrik bulanan atau mengira secara kasar penggunaan peralatan elektrik.

Apa yang boleh dilakukan TNB pada masa depan termasuk memanfaatkan sepenuhnya internet untuk segalanya atau IoT di mana TNB mampu menyalurkan maklumat lebih terperinci kepada pengguna contohnya dengan penggunaan elektrik secara terus melalui aplikasi tersebut.

Agak sukar untuk membahagikan kadar penggunaan elektrik mengikut peralatan elektrik tertentu jadi dengan memberikan pengguna maklumat penggunaan elektrik secara terus di aplikasi boleh membantu pengguna supaya lebih berhati-hati dengan penggunaan mereka.

Secara teorinya, meter TNB boleh dipasang dengan peralatan IoT yang boleh dihubungkan ke telefon pengguna melalui aplikasi tersebut secara wifi dan memindahkan data. Bukan hanya maklumat itu saja, kadar pengguna mengikut watt boleh disediakan juga bersama anggaran kos elektrik semasa.

Dengan cara ini, pengguna boleh mendapatkan anggaran bacaan meter dan berhati-hati apabila ia melibatkan perbelanjaan utiliti yang agak tinggi.

Sam

Bekas wartawan di New Straits Times Press yang kini sepenuh masa bersama TheSkop.com berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang teknologi

%d bloggers like this: