Bersosial Beri Kesan Yang Sama Macam Morfin

Sebut sahaja morfin, mesti kita terbayangkan penjara dan rotan penyebat. Hanya dengan memiliki 4 sudu morfin, seseorang berpeluang dipenjara seumur hidup dan 10 sebatan rotan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1951.

Morfin pada asalnya dicipta untuk kegunaan perubatan. Ia adalah ubat tahan sakit yang bertindak terus pada sistem saraf tunjang. Tetapi masalah penyalahgunaannya telah menyumbang kepada ketagihan dan kematian.

Graf dipetik daripada kertas kajian itu.
Graf dipetik daripada kertas kajian itu.

Tahukah anda bahawa badan kita menghasilkan morfin sendiri? Endorfin adalah sebatian yang dirembeskan oleh sistem saraf tunjang dan juga kelenjar pituitari. Seperti morfin, endorfin juga bertindak dengan merencat penyiaran isyarat sakit ke otak. Selain itu, endorfin juga mencetuskan keadaan euforia, iaitu perasaan gembira dan khayal.

Apa kaitannya antara morfin dengan bersosial?

Badan kita merembeskan endorfin dalam keadaan tertentu. Misalnya, apabila bergelak ketawa. Teori Opioid Hasilan Otak dalam Kerapatan Sosial (BOTSA) mencadangkan bahawa jika seseorang itu memencilkan diri, tahap endorfin dalam badannya adalah rendah.

Terbaharu, seorang pelajar daripada Oxford University mengkaji hubung kait antara keutuhan rangkaian sosial kita dengan tahap toleransi seseorang kepada kesakitan. Beliau menyimpulkan bahawa lebih luas cakupan sosial seseorang itu, lebih tinggi tahap toleransinya terhadap sakit.

Apa yang beliau lakukan adalah mengumpul sejumlah 107 orang sukarelawan. Kemudian beliau menjalankan satu soal selidik untuk menentukan luas rangkaian sosial subjek tersebut.

Selepas itu, ujian toleransi kesakitan dijalankan. Kesemua peserta diminta senaman duduk separa sambil bersandar ke dinding (wall-sit). Kemudian, mereka diminta pula mengekalkan kedudukan itu selama boleh dan masa bertahan mereka dicatatkan dalam saat. Kemudiannya, satu ujian statistik dijalankan untuk menguji perkaitan antara pemboleh ubah yang dikajinya. Hasil kajian beliau menyatakan bahawa memang ada korelasi antara keluasan rangkaian sosial seseorang dengan keupayaannya melawan kesakitan.

Dapatan penyeledikan itu memang menarik. Mungkin selepas ini kita boleh melanjutkan projek ini untuk meliputi rangkaian media sosial pula. Hal ini kerana, kajian yang dijalankan oleh Facebook memaklumkan bahawa, setiap pengguna Facebook hanya berjarak 3.46 pengguna antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, jika kita memiliki cuma 4 rakan di Facebook, kita boleh menjejaki keseluruhan pengguna Facebook yang lain hanya melalui 4 rakan tersebut. Adakah hal ini menjadikan pengguna Facebook seorang yang tahan sakit?

Versi penuh penyelidikan ini boleh diperoleh di laman web nature.com.

 

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: