Harga Redmi Note 3 terdedah lebih awal

Mi Malaysia akan mengumumkan harga jualan Redmi Note 3, pada jam 12 tengahari nanti. Sudah pasti harganya akan melebihi dari Redmi Note 2, yang kini masih berharga RM649. Tetapi satu sumber mendedahkan harga tersebut lebih awal.

Menurut ZingGadget, dalam satu majlis makan malam, harga Redmi Note 3 diumumkan pada RM849. Harga ini untuk versi Snapdragon 650, beserta 3GB RAM dan 32GB storan dalaman. Ia akan datang dalam dua warna pilihan, iaitu Emas dan Kelabu.

Redmi Note 3 - zinggadget - harga oleh thorus

Turut dimaklumkan, versi lebih rendah, iaitu 2GB RAM dan 16GB storan tidak akan diumumkan esok. Ini mungkin kerana Mi Malaysia masih mahu menjual Redmi Note 2 di Malaysia.

Tetapi majlis makan malam ini membawa satu lagi persoalan. Dari brosur yang diedarkan, terdapat logo Thorus Technology Sdn Bhd, sebagai pengedar sah Redmi Note 3. Mungkinkah ini bermaksud, Redmi Note 3 akan turut dijual di kedai, bukan lagi khusus di lamanweb Mi Malaysia sahaja?

Redmi Note 3 - zinggadget - spesifikasi dan thorus

Perkara ini mungkin menjadi kenyataan. Ia boleh dilihat menerusi kotak Redmi Note 3 yang kini berwarna-warni, berbeza dengan semua kotak produk Xiaomi sebelum ini yang berwarna coklat sahaja. Kami dimaklumkan, kotak berwarna-warni ini bertujuan menarik minat orang ramai, yang melihatnya di kedai.

Jika Xiaomi mula menjual produknya di kedai, adakah anda akan memilih untuk membeli di kedai, atau terus membeli dalam talian seperti biasa?

[SUMBER]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: