50Mbps tak cukup? Cuba TIME Fiber 500MBps ni

Kalau anda mahukan internet paling pantas di Malaysia, boleh pergi ke pusat servis TIME‎ dan mendaftar pelan jalurlebar rumah terbaru mereka. Kerana TIME Fibre kini menawarkan pengguna di rumah, dengan jalurlebar berkelajuan mencecah 500Mbps.

Pelan jalurlebar TIME 500Mbps ini ditawarkan pada harga RM299 sebulan. Tawaran ini dilihat lebih rendah daripada Maxis Fibre Internet, yang mengenakan bayaran RM398 sebulan, untuk kelajuan 100Mbps.

Terdapat 3 jenis pelan Home Fibre yang disediakan TIME. Pelan terendah berkelajuan 100Mbps (bukan sepuluh tapi seratus), hanya dicaj RM149 sebulan. Manakala pelan 300Mbps pula, hanya RM189 sebulan, tambahan RM40 dari pelan terendah. Kedua-dua pelan ini datang bersama router D-Link DIR-850L.

Untuk pengalaman internet terpantas 500Mbps, pengguna perlu membayar RM299 sebulan, dan ia disertakan router Linksys EA6350.

Pelan TIME Fibre Home Broadband 2016

Jika perlukan panggilan, semua pelan TIME ini mengenakan caj panggilan 9 sen/minit, atau pengguna boleh melanggan pek panggilan RM10 sebulan, dan menerima 2,000 minit panggilan bersama kontrak selama setahun. Lebih menarik, ia menawarkan panggilan IDD serendah 8 sen/minit, ke 60 buah negara.

Ketiga-tiga pelan ini datang dengan penggunaan internet tanpa had, tanpa kuota. Malah, kelajuannya juga sama untuk muat naik dan turun. Kalau langgan pelan 500Mbps, maka muat turun 500Mbps, muat naik pun 500Mbps.

Kalau nak dibandingkan dengan TM Unifi, pelan 30Mbps (10Mbps muat naik) dikenakan RM179 sebulan, dan pelan 50Mbps (20Mbps muat naik) pula RM229 sebulan.

Masalah utama TIME adalah kesediaan dan lokasi servis. Ianya sangat terhad, jika nak dibandingkan dengan TM Unifi atau Maxis Fibre Internet. Rangkaian TIME Fibre hanya terdapat di 250,000 buah rumah, yang kebanyakannya kondominum atau apartment di Lembah Klang. Anda boleh memeriksa kawasan liputan di lamanweb TIME.

Untuk maklumat lanjut, layari lamanweb TIME Fibre Home Broadband.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia