[MWC2016] Dua wakil Acer ke gelanggang WMC – Liquid Jade 2 dan Liquid Zest

Banner Theskop MWC 2016 - dibawakan oleh Samsung

Acer menyertai perang flagship berwakilkan Liquid Jade 2, menggantikan Liquid Jade yang pertama kali diperkenalkan pada Jun 2014 lalu. Skrin HD penuh AMOLED sebesar 5.5 inci menghasilkan warna yang jelas dan nyata.

Teknologi Zero Air Gap yang disertakan pada peranti ini dimaklumkan mampu menambah baik kebolehlihatan skrin di bawah cahaya matahari. Di bahagian bunyian pula, ia menyertakan teknologi Headphone:X daripada DTS, untuk memberikan pengalaman audio yang hebat  apabila digandingkan dengan sebarang fon kepala.

MWC2016 - Acer Jade 2 - kamera belakang

Salah satu ciri menarik yang perlu diberikan perhatian adalah kamera belakang peranti ini. Di bawah penutup belakangnya, terdapat sensor berkuasa 21MP dengan PDAF (autofokus peka fasa), sesuatu biasanya ada pada kamera DSLR. Ia mampu merakam video sebesar 4K dan mempunyai dua LED untuk flash dan juga pencahayaan semasa merakam. 8MP kamera hadapan pula mempunyai ruang lihat selebar 84-darjah.

Daripada segi kuasa pemerosesan, ia dikuasakan oleh cip pemproses Snapdragon 808 heksateras dengan 3GB RAM, serta ruang penyimpanan sebanyak 32GB. Pengguna juga boleh menikmati ruang penyimpanan hibrid di awan seluas 1TB, suatu fungsi yang unik pada peranti ini.

MWC2016 - Acer Liquid Zest - 3G dan 4G

Di sudut yang lain pula, Liquid Zest kelihatan lebih merendah diri dengan paparan IPS sebesar 5-inci pada resolusi 720p. Ia hadir dalam dua variasi, 3G dan 4G, dan berbeza daripada segi cip pemproses yang terkandung pada papan induknya. Versi 3G dijana oleh cip pemproses MT6580 kuadteras 1.3GHz manakala versi 4G dijana oleh cip pemproses MT6735 kuadteras 1.3GHz.

Kedua-dua peranti mempunyai kamera utama berkuasa 8MP dengan apertur F2.0 dan kamera selfie berkuasa 5MP.

Masih tiada harga diumumkan untuk Acer Liquid Jade 2. Bagi telefon Jade Zest pula, model 3G dan 4G masing-masing pada harga EUR109 (~RM506) dan EUR149 (~RM691). Tarikh penjualannya masih lagi belum diumumkan.

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: