97% aduan talian & jalur lebar diselesaikan CFM sepanjang 2015

Pasti ramai yang sering merungut tentang pelbagai masalah berkaitan perkhidmatan talian mudahalih, ataupun jalur lebar tetap di rumah mahupun pejabat. Tetapi, ke manakah rungutan itu disalurkan? Jika syarikat telekomunikasi masih tidak memberi penyelesaian, pengguna digalakkan memanjangkan aduan tersebut ke Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM).

CFM adalah sebuah badan organisasi bebas yang ditubuhkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). CFM ditugaskan untuk melindungi hak pengguna, selaras dengan keperluan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

CFM logo COVER

Menurut CFM, dari Januari hingga Disember 2015, sebanyak sebayak 7,326 aduan daripada pengguna di seluruh Malaysia diterima CFM. Jumlah ini meningkat 6.11% berbanding tahun sebelumnya.

Dari jumlah ini, sebanyak 97% aduan pengguna telah diselesaikan oleh CFM, dengan baki 3% masih dalam proses penyelesaian. Ia dapat diselesaikan dengan kerjasama pembekal perkhidmatan, yang selaras dengan Kod Amalan Am Pengguna untuk Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (GCC).

Dari 7,326 aduan pada tahun 2015, CFM mengesan terdapat 5 jenis kategori aduan yang paling banyak diterima, iaitu:

1. Kualiti Perkhidmatan Kurang Memuaskan
2. Bil & Caj
3. Kualiti Liputan yang Kurang Memuaskan
4. SMS
5. Tiada Liputan

Secara spesifik, 42% aduan mengenai Perkhidmatan Kurang Memuaskan dan 29% aduan mengenai Bil & Caj, merangkumi majoriti masalah yang diadukan pengguna. Masalah Gangguan Perkhidmatan sendiri mencatatkan sebanyak 989 aduan tahun lepas.

Jika anda menghadapi masalah berkaitan talian mudahalih, ataupun jalur lebar tetap, segera buat aduan rasmi kepada syarikat talian yang berkaitan, dan dapatkan nombor rujukan aduan.

Jika mereka masih gagal menyelsaikannya, ataupun penyelesaian tidak memuaskan, pengguna boleh membuat aduan kepada CFM. Cara termudah membuat aduan ke CFM, adalah melalui portal aduan CFM di www.complaint.cfm.org.my. Selain itu, pengguna turut boleh menghubungi CFM di talian 1-800-18-2222.

[SUMBER]

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: