Tawaran Flash 2 lebih menarik dengan penjenamaan semula

Tahun baru menyaksikan langkah perniagaan yang baru. Flash 2, telefon pintar pertama dilengkapi kamera autofokus di depan dengan harga di bawah RM600, kini akan membawa jenama baru bersamanya. Tiada lagi Alcatel dan tiada lagi OneTouch. Ia dijenamakan semula di bawah jenama Flash, dengan model telefon dipanggil Flash 2.

Flash 2 adalah satu telefon pintar yang mendapat sambutan hangat di Malaysia, dengan harga hanya RM549 termasuk GST. Ia menjadi pilihan utama ketika Lazada Malaysia membuat jualan besar-besar pada 12 Disember tahun lepas. Untuk kategori telefon pintar berharga RM400 ke RM600, ia menduduki tempat pertama dalam jualan tersebut.

Yogi Babria dan Gary Boon mempamerkan Flash 2 yang baruYogi Babria (kiri) dan Gary Boon (kanan) mempamerkan Flash 2 dengan warna baru

Flash 2 pertama kali dilancarkan Oktober tahun lalu, dengan satu warna sahaja, Volcanic Grey. Dengan penjenamaan baru ini, ia akan tampil dengan dua lagi warna tambahan, Mica White dan Rose Gold. Ia akan boleh dibeli di kedai fizikal, tidak lagi terhad di dalam talian.

Selain ini, aksesori tambahan kit kamera belakang turut diperkenalkan. Kit kamera ini akan dijual secara pakej, bersama Flash 2. Dua jenis lensa terdapat di dalam kit ini, iaitu lensa makro dan lensa fish eye.

Kit lensa kamera untuk Flash 2 - lensa makro dan fish eye

Flash 2 kini menjalankan sistem operasi Android 5.1 Lollipop. Dalam majlis ini, ia diumumkan akan menerima kemaskini Android 6.0 Marshmallow, pada bulan Mac akan datang. Flash 2 menggunakan antaramuka Android yang asli, hampir tiada perubahan dibuat.

Apa yang menarik pada Flash 2? Ia adalah telefon pintar yang dilengkapi fungsi hebat, pada harga mampu milik. Flash 2 memfokuskan kepada fungsi kamera terbaik untuk pengguna, tanpa perlu memecahkan tabung simpanan.

Kit lensa kamera dipasang di Flash 2

Kamera belakang Flash 2 digelar gSight, menggunakan sensor ISOCELL, dengan resolusi 13MP dan apertur F2.0. Ia digandingkan dengan dwi-tona LED Flash, serta autofokus pengesanan fasa (PDAF) sepantas 0.1 saat.

Kamera depan Flash 2 lebih menarik. Ia diberi nama Profie Cam, dilengkapi autofokus dan LED Flash, dua fungsi yang sangat sukar ditemui pada telefon pintar lain. Ia menggunakan sensor OV5648 sebesar 1/4″, yang mampu menangkap lebih cahaya untuk selfie yang lebih cerah. Kamera depan ini mempunyai resolusi 5MP dengan apertur F2.2. Tak dilupakan lensa sudut lebarnya, membolehkan gambar diambil lebih luas.

Flash 2 mempunyai skrin HD sebesar 5-inci. Ia dikuasakan CPU Mediatek MT6753 64-bit, 8-teras berkelajuan 1.3GHz. Ia dilengkapi 2GB RAM LPDDR3, bersama 16GB storan dalaman dan slot kad mikroSD untuk storan luar.

Flash 2 memiliki dua slot kad sim, yang menyokong rangkaian 4G LTE. Baterinya pula sebesar 3,000mAh.

Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Flash 2.

dua warna baru Flash 2 - Rose Gold dan Mica White

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: