Samsung membawa galaksi terbesar, Galaxy View ke Malaysia

Lebih besar dari iPad Pro, tapi tidak seberat TV 32-inci, adalah ciri-ciri Samsung Galaxy View, yang telah mula dijual di Malaysia. Galaxy View adalah tablet yang dikuasakan Android, dengan skrin sebesar 18.4-inci.

Samsung Malaysia di Facebooknya, hari ini memaklumkan penjualan Galaxy View. Ia berharga RM2,699 termasuk GST, harga yang sama dengan phablet Galaxy Note5. Bezanya, ia tidak memiliki slot kad sim, jadi sambungan internet hanya boleh dibuat menerusi Wi-Fi sahaja.

Samsung Galaxy View - percuma bag

Skrin Galaxy View memaparkan resolusi HD Penuh 1920×1080, dengan nisbah 16:9. Ia dikuasakan CPU 8-teras berkelajuan 1.6GHz, yang dipadankan dengan 2GB RAM. Storan dalamannya 32GB, bersama slot kad mikroSD untuk storan luar tambahan.

Galaxy View memiliki bateri sebesar 5,700mAh, dikatakan boleh bertahan sehingga 8 jam lamanya. Sebagai pemain multimedia dan hab hiburan, ia boleh dibawa ke mana-mana dengan mudah. Rekaan pemegang di belakang memudahkan ia dipegang, serta dua tahap penyokong sangga di belakang untuk sudut menonton berbeza.

Samsung Galaxy View depan hitam putih

Sebagai promosi awal jualan, Samsung Malaysia menawarkan beg Galaxy View bernilai RM199, secara percuma. Menonton strim video iflix, Netflix mahupun Youtube, pasti lebih menarik dengan skrin besar Galay View.

Untuk maklumat lanjut, layari laman produk Galaxy View.

Samsung Galaxy View - berdiri 1 Samsung Galaxy View - baring 1 Samsung Galaxy View - baring sisi Samsung Galaxy View - hitam depan Samsung Galaxy View - hitam belakang Samsung Galaxy View - strim video Samsung Galaxy View - perbandingan saiz dengan tablet dan telefon

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: