Raja strim video Netflix tiba di Malaysia

Jika ditanya servis strim video manakah paling dikenali ramai, pasti jawapannya adalah Netflix. Tetapi servis ini tidak dapat digunakan di Malaysia, dan khabarnya akan tiba di Singapura. Tetapi, kenyataan ini akan tinggal kenangan.

Tanpa diduga, Netflix hari ini membuka pendaftaran untuk pengguna di Malaysia. Ia boleh didapati menerusi lamanweb www.netflix.com/my. Ini bermakna, rakyat Malaysia boleh menikmati pelbagai kandungan video Netflix seperti filem dan drama, secara strim di Malaysia. Antara kandungan eksklusif Netflix adalah seperti siri House of Cards, dan juga Marvel’s Daredevil.

Jika anda masih tidak mengenali Netflix, ia adalah penyedia kandungan penstriman video seperti iflix. Malah, iflix wujud hasil ketiadaan penyedia kandungan penstriman video di Asia Tenggara ini.

Langganan Netflix di Malaysia, nampaknya tidak semurah iflix. iflix boleh dilanggan dari serendah RM8 sebulan. Untuk Netflix pula, terdapat tiga jenis pelan yang menawarkan kualiti video berbeza, serta had tontonan serentak.

Persamaan kesemua pelan Netflix ini adalah akses tanpa had ke semua kandungan filem dan siri TV di dalam pustaka Netflix, serta boleh ditonton di mana-mana peranti seperti tablet, telefon pintar dan juga pelayar di komputer.

Harga dan senarai pelan langganan Netflix di Malaysia

Pelan BASIC Netflix berharga RM33 sebulan, tidak sokongan video definisi tinggi (HD), dan hanya boleh ditonton di satu peranti dalam satu masa yang sama. Pelan ini sesuai untuk pengguna jalur lebar berkelajuan kurang dari 5Mbps.

Pelan kedua ialah STANDARD, dengan caj langganan RM42 sebulan. Ia menawarkan tayangan beresolusi HD, iaitu sekurang-kurangnya 720p dan boleh ditonton pada dua peranti serentak.Netflix mengesyorkan kelajuan jalur lebar sekurang-kurangnya 5Mbps untuk menstrim video HD ini.

Manakala pelan tertinggi, adalah PREMIUM dengan caj RM51 sebulan. Ia datang bersama sokongan tayangan beresolusi Ultra HD, iaitu resolusi melebihi 1080p. Kelajuan muat turun jalur lebar sekurang-kurangnya 25Mbps, adalah diperlukan untuk menstrim video di tahap Ultra HD ini. Pelan PREMIUM ini juga membolehkan pengguna menstrim kandungan video sehingga 4 peranti serentak.

Pelanggan baru Netflix, boleh menikmati 30 hari tontonan percuma. Tetapi mereka perlu mendaftar akaun baru beserta maklumat kad kredit, yang akan dicaj selepas tempoh percubaan percuma tamat. Pelanggan boleh membatalkan langganan Netflix, atau mengubah pelan bila-bila masa.

Netflix akan memproses bayaran ini menerusi sistemnya di luar Malaysia. Ini bermakna, bank atau kad kredit pengguna mungkin akan mengenakan cas pemprosesan luar negara. Sila rujuk kepada bank atau penyedia kad kredit tentang bayaran pemprosesan ini.

Aplikasi Netflix terdapat di hampir semua peranti pintar. Ia tersedia di dalam PlayStation, Xbox, Apple TV, Chromecast, TV pintar, pemain media pintar dan banyak lagi. Paling utama, ia boleh dimuat turun di Google PlayStore dan Apple Appstore, selain tontonan terus di pelayar menerusi lamanweb Netflix.

Tonton Netflix di mana-mana

Kepada pengguna sedia ada Netflix, yang setia melanggan VPN untuk mengakses kandungan Netflix, pasti berasa lega kerana boleh menjimatkan perbelanjaan mereka.

Bagi pengguna baru, adakah anda sanggup membayar premium serendah RM33, bagi mendapatkan kandungan video yang terdapat di dalam pustaka Netflix ini?

TheSkop

Portal Teknologi dan Gaya Hidup Paling Best di Malaysia

%d bloggers like this: