Pelaksanaan caj RM2 untuk bil bercetak TM ditangguhkan

Share Button

Heboh hujung tahun lalu apabila TM dikatakan akan mula mengenakan bayaran untuk bil bercetak, bagi perkhidmatan jalur lebar Streamyx dan UniFi. Ramai yang mempersoalkan kewajaran langkah tersebut, kerana tindakan itu agak tergesa-gesa dan notis yang teramat singkat.

Hari ini, TM mengeluarkan kenyataan, menangguhkan pelaksanaan mewajibkan pengguna menggunakan e-Bil kepada bulan Julai 2016. Ini bermakna, pengguna TM boleh terus menerima bil bercetak, tanpa caj tambahan.

Menurut TM, makluman pelaksanaan e-Bil TM telah diedarkan sejak Jun 2015. Dengan penangguhan ini, pelanggan yang tidak mendaftar untuk e-Bil selepas 1 Julai 2016, akan terus menerima bil bercetak mereka dengan caj bulanan minima sebanyak RM2.

Caj RM2 untuk bil bercetak ini, hanya dikenakan kepada pelanggan jalur lebar sahaja. Bagi pelanggan TM yang hanya melanggan perkhidmatan telefoni (tanpa jalur lebar), mereka akan terus menerima bil bercetak secara percuma. Namun, TM menggalakkan pelanggannya untuk memilih e-Bil.

Pelanggan yang mahu mendaftar e-Bil, boleh berbuat demikian dengan, mengemaskini alamat emel dan telefon bimbit dengan menghantar emel ke [email protected], atau datang ke cawangan TMpoint berdekatan, atau hubungi Pusat Panggilan TM di talian 100.

Dengan e-Bil, pelanggan akan menerima bil mereka secara elektronik, percuma melalui SMS dan emel. Para pelanggan juga akan dapat mengakses e-Bil melalui Portal TM pada bila-bila masa, di mana sahaja. Di portal tersebut, pelanggan boleh melihat bil TM mereka secara terperinci, sehingga enam bulan lepas.

e-bil TM lebih pantas mudah dan tiada kerisauan

Pelaksanaan e-Bil ini selaras dengan gaya hidup digital dan ke arah masa depan yang lebih hijau dan mesra alam. Sehingga kini, lebih 700,000 daripada lebih 4.4 juta pelanggan kediaman TM telah pun menggunapakai penyata e-Bil TM.

Maklumat lanjut tentang e-Bil TM, boleh dirujuk di ruang soal-jawab e-Bil TM.

 

Apa komen anda?